|
|
LANGKASUKA sememangnya nama sebuah kerajaan Melayu lama yang telah membentuk kerajaannya yang hebat pada sekitar abad ke-2 dahulu. Kerajaan ini terletak diantara negeri Kedah tua dan Pattani di selatan Thai, sebelum kerajaan Langkasuka dikuasai oleh sebuah lagi kerajaan Melayu lama yang juga cukup hebat dan besar pada zamannya iaitu Kerajaan Sriwijaya sekitar abad ke-7. Kehebatan dan kebesaran Langkasuka ini telah menjadi legenda yang turut disebut dalam catatan Laksamana Cheng Ho dan tidak kurang telah membentuk mitosnya sendiri.
Kisah legenda dan mitos yang melingkari kehebatan kerajaan Melayu lama ini sudah cukup untuk menjanjikan dasar sebuah filem epik yang menarik dan spektakular. Dengan keupayaan industri filemnya yang besar, Thai telah menghasilkan sejumlah filem epik dan berbudget besar antaranya Suriyothai, King Neresuwan, Kunpan. Queens of Langkasuka (Permaisuri Langkasuka) merupakan epik dan filem bercita-cita besar terbaru yang diarahkan oleh Nonzee Nimibutr, pengarah generasi baru Thai yang turut bertanggungjawab mengangkat seni filem Thai di persada antarabangsa apabila filemnya Nang Nak mencipta fenomena di beberapa festival filem dunia. Filem Nang Nak berjaya mengembalikan penonton generasi baru kembali menonton dan menyukai seni filem Thai. Nonzee kemudian menghasilkan filem Jan Dara.
Queens of Langkasuka yang ditulis oleh Win Lyovarin bagaimanapun tidak mengangkat elemen sejarah yang menjadikan kerajaan ini hebat dan besar. Sebaliknya Win Lyovarin lebih tertarik kepada aspek mitos dan fantasi yang melingkari kerajaan yang diperintah oleh seorang raja wanita iaitu Puteri Hijau (Jurunee Suksawat) dan turut dibantu oleh Puteri Biru (Jacqueline Apithananon) dan Puteri Ungu (Anna Ris) serta pendekarnya yang gagah Jarang (Chupong Changprung).
Kekuatan dan kehebatan Langkasuka bagaimanapun sedang diancam oleh Putera Rawai yang bersekutu dengan sekumpulan lanun yang mempunyai ketua yang hebat dengan ilmu sakti luar biasa yang dikenali sebagai Du Lum.
Tetapi yang menjadi punca perebutan antara kumpulan lanun, si Putera Rawai dan Puteri Hijau adalah meriam raksasa yang telah dicipta oleh seorang lelaki Cina Kim Lium (Jakkrit Phanichphatikran) dan seorang lelaki Belanda (Andre Machielsen). Bagaimanapun kapal yang membawa meriam raksasa telah karam ke dalam laut di situ.
Filem ini cuba menggabungkan beberapa plot dalam sebuah cerita yang menyebabkan jalan ceritanya tidak lancar dan kemas. Queens of Langkasuka turut mengangkat kisah Pari (Ananda Everingham), anak yatim dari perkampungan orang laut tersebut yang sering menjadi sasaran para lanun tersebut. Pari diselamatkan oleh seorang mahaguru (Surapong Chatree) yang mempunyai kehebatan ilmu sakti dan berusaha mengajar Pari dengan ilmu tersebut.
Pari yang berjaya menyelamatkan Puteri Ungu daripada kumpulan lanun tersebut kemudian menjalin hubungan mesra, tetapi Puteri Ungu sebenarnya hendak dikahwinkan dengan Putera dari Pahang (Jesdaponn Phuldee) yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Langkasuka. Sebaliknya Pari juga sedang berhadapan dengan kisah zalim masa lalu yang mana kekasihnya semasa kecil telah dibunuh kejam oleh para lanun tersebut.
Dengan kemudahan teknologi digital, bukan terlalu sukar buat Nonzee Nimibutr mencipta adegan-adegan spektakular yang sememangnya lebih sulit jika dihasilkan secara manual. Bagaimanapun berbanding dengan filem epik Thai sebelum ini seperti Suriyothai dan King Neresuwan (arahan Prince Chatrichalerm Yukol) nampak kedua-dua filem tersebut jauh lebih besar dari aspek binaan set, kekuatan pelakon dan ciptaan efek khasnya.
Sememangnya filem Queens of Langkasuka turut memaparkan binaan set yang menarik terutamanya pada keindahan set istana Langkasuka yang memancarkan hiasan ukiran yang halus. Begitu juga kostum yang dipakai oleh pembesar istana Langkasuka yang memperlihatkan pakaian Melayu dengan tengkolok serta songket yang digunakan memperlihatkan kerapian dalam rekaan kostum.
Filem ini juga memperlihatkan koreografi adegan aksi pertempuran yang menarik dan padat terutama adegan dalam gua lanun. Adegan pertempuran yang melibatkan aksi pendekar jarang dikoreografikan dengan pengaruh silat, seni mempertahankan diri orang Melayu.
Bagaimanapun efek digital yang digunakan untuk adegan pertempuran, seperti ketibaan ratusan buah kapal untuk menyerang Langkasuka dan binaan set yang memperlihatkan istana Langkasuka tidak dihasilkan dengan cukup mantap dan halus.
Disebabkan filem ini lebih banyak tumpuan kepada adegan pertempuran yang memungkinkan lebih banyak penggunaan efek khas atas tujuan mencipta elemen spektakular menyebabkan elemen penting iaitu alur penceritaan yang lebih fokus pada perwatakannya terabai. Hasilnya kita hanya menyaksikan lebih banyak adegan aksi dan penggunaan efek khas tetapi gagal menyelami kekuatan penceritaan. Apatah lagi apabila unsur mitos dan fantasi menjadi keutamaan untuk memungkinkan permainan efek tetapi nilai sejarah yang menjadi dasar kekuatan cerita diketepikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: