Tuesday, April 14, 2009

Adibah tegur persembahan Isma


AKSI Isma ( kanan) dan Zul yang menjolok mata ketika berduet menyanyikan lagu Kau Mawarku pada konsert minggu kelima AF7 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PENGKRITIK jemputan program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada konsert minggu kelima malam Sabtu lalu, Adibah Noor merupakan antara yang paling peka dan berterus terang dalam menyuarakan kritikannya.

Pada konsert itu misalnya, peserta pertama yang mengadakan persembahan, Isma ditegur kerana gaya persembahannya yang dianggap kurang manis kerana berlaga pipi, berpelukan dan menerima ciuman daripada suaminya, Zul sewaktu mereka berduet lagu berjudul Kau Mawarku.

Sungguhpun mereka merupakan pasangan suami isteri, namun adegan-adegan seperti itu boleh mengundang rasa kurang senang para penonton, apatah lagi ia disiarkan secara langsung menerusi kaca TV hinggalah ke Brunei.

Adibah Noor secara berterus-terang mengkritik persembahan Isma dan Zul kerana kurang senang terhadap perlakuan mereka itu.

"Walaupun awak pasangan suami isteri, tetapi kenalah juga jaga persembahan sebab masyarakat kita tidak biasa dengan adegan-adegan 'ganas' macam itu.

"Lagipun rancangan ini ditonton oleh seisi keluarga termasuk kanak-kanak," komen Adibah secara spontan sejurus selepas Isma selesai mengadakan persembahan itu.

Isma dan Zul yang memperlihatkan adegan-adegan yang sangat romantis itu mungkin bagi melepaskan rindu masing-masing selepas beberapa minggu terpisah gara-gara program realiti TV tersebut.

Biar apapun alasan mereka termasuklah mungkin untuk menarik perhatian para penonton, simpati pengundi khidmat pesanan ringkas (SMS) ataupun bagi menguatkan lagi gaya persembahan, tetapi ia bukanlah suatu idea yang bernas kerana ia dianggap kurang sopan.

AF7 dilihat sama seperti musim-musim sebelumnya di mana program TV realiti yang ditentukan para pemenangnya menerusi undian SMS itu seolah-olah menjadi medan untuk melepaskan rindu para pesertanya.

Selain Isma dan Zul, Astro turut mengubat kerinduan seorang lagi pesertanya iaitu Claudia apabila membawakan anak lelakinya, Christian naik ke pentas selepas beliau menyanyikan lagu Kau Muzik Di Hatiku berduet dengan Vince AF1.

Gimik kerinduan yang sama turut dipersembahkan buat Aril apabila Astro membawakan dua barangan peribadi peserta itu iaitu bantal peluk dan beruang Teddy untuk dipersembahkan kepadanya.

Astro sepatutnya memikirkan gimik-gimik lain dan tidak gimik-gimik murahan seperti itu bagi mengelakkan para penonton berasa mual kerana ia merupakan adegan-adegan 'kitar semula' yang popular dalam AF sejak dari dulu.

Mungkin dengan adanya gaya dan gimik persembahan Isma itu ia sedikit sebanyak telah membantu mempertingkatkan undian SMS peserta terbabit.

Menerusi konsert itu, Isma berada di carta teratas dengan menerima undian SMS 18 peratus diikuti Hafiz (17 peratus), Yazid (15 peratus), Akim (10 peratus), Aishah (10 peratus), Claudia (9 peratus), Aril (9 peratus), Qhaud (8 peratus) dan Sidi (5 peratus).

Ekoran menerima peratusan undian SMS terendah, Sidi yang berduet menyanyikan lagu Cinta Yang Sempurna dengan Zahid AF2 tersingkir daripada meneruskan perjuangan ke final AF7.

Sidi yang mengadakan sidang akhbar selepas konsert itu tidak menafikan gandingannya bersama Zahid agak goyah kerana kurang menyerlah berbanding aura yang dimiliki oleh juara AF2 itu.

"Saya akui emosi diri banyak mempengaruhi kelemahan saya ketika mengadakan persembahan. Cabaran itu makin kuat apabila konsert AF7 memasuki minggu keempat. Selain itu, saya juga kurang bergaul dengan orang lain.

"Itu adalah antara punca kelemahan saya. Saya juga sebelum ini tidak pernah berpisah dengan isteri saya terlalu lama. Saya misalnya, tidak diberi peluang membuat panggilan telefon kepada isteri saya selama berada dalam AF.

"Cuma Jumaat lepas, barulah saya mendapat peluang itu. Mungkin saya rindu, lama tidak jumpa isteri saya. Itu adalah antara cabaran saya di AF," ujarnya.

Hafiz dan Aril jadi pilihan?

SEPERTI biasa, AF7 juga mempunyai peserta-peserta kegemaran ramai penonton termasuklah di kalangan pengkritik program itu sendiri.

Adibah Noor contohnya, mengakui tertarik dengan bakat serta personaliti yang dimiliki oleh dua peserta AF7 iaitu Hafiz dan Aril yang dilihatnya mampu untuk mara hingga ke final.

"Saya nampak dua orang peserta AF7 iaitu Hafiz dan Aril mungkin mempunyai harapan cerah untuk mara ke final. Tetapi pertandingan ini ditentukan oleh SMS dan para penonton. Siapa pun boleh memang," komennya.

Selain Adibah, dua lagi pengkritik pada konsert AF7 ialah penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim dan komposer serta pemuzik, Edrie Hashim.

Konsert minggu kelima AF7 dilihat sedikit mencabar berbanding konsert minggu-minggu sebelumnya kerana ia menampilkan persembahan duet setiap peserta dengan penyanyi undangan yang kebanyakannya adalah peserta AF terdahulu.

Pengetua atau principal AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina tidak menafikan cabaran yang terpaksa dilalui oleh anak-anak muridnya dalam persembahan konsert minggu kelima itu.

"Untuk konsert minggu kelima, fokus lebih kepada komunikasi dua penyanyi yang berduet. Ia umpama 'perbualan' dua penyanyi di atas pentas seperti mereka sedang 'berdialog'. Sebab itu, faktor emosi cukup dititiberatkan ketika berduet.

"Konsep ini masih baru dalam AF7 di mana ia merupakan cabaran buat para peserta. Kalau ada kelemahan, itu perkara biasa buat para pelajar AF7 yang masih baru beberapa minggu dalam akademi ini.

"Ini kerana, kalau belajar di kelas performing arts ia mengambil masa tiga tahun, tetapi para pelajar AF7 baru belajar satu minggu untuk berduet," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, buat masa ini pihaknya belum bersedia mengumumkan hadiah-hadiah yang akan diraih oleh para pemenang AF7 kelak.

"Buat masa ini, kami masih lagi berbincang dengan pihak-pihak penaja tentang hadiah-hadiah yang bakal diperolehi oleh para pemenang AF7. Apabila tiba masanya kelak, kami akan umumkan apakah hadiah-hadiah tersebut," komennya.

Isu berhubung hadiah-hadiah yang bakal diterima oleh para pemenang AF7 menimbulkan tanda tanya kerana ini merupakan kali pertama program TV realiti itu gagal mengumumkan hadiah.

Paling mencetuskan persoalan ialah apabila para peserta AF7 masih belum mengetahui hadiah-hadiah yang bakal mereka perolehi biarpun konsert program TV realiti itu kini sudah pun diadakan sebanyak lima kali!

Dengan penyingkiran Sidi atau nama sebenarnya Mohd. Rashidi Mohamad Isa, 27, AF7 kini diteruskan oleh lapan lagi pesertanya iaitu Claudia, Aishah, Isma, Hafiz, Akim, Yazid, Qhaud dan Aril.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: