
Minggu lalu, juri tetap program realiti One In A Million musim ketiga (OIAM3), Syafinaz Selamat dan Paul Moss memberi satu kejutan dengan mengumumkan tiada lagi imuniti akan diberikan kepada peserta.
Berita tersebut yang berkuat kuasa minggu lalu membenarkan penonton menjadi juri dan memilih siapa antara enam peserta akan kekal dan yang akan tersingkir minggu ini.
Menurut Syafinaz yang ditemui pada majlis sidang media sebaik persembahan berakhir menjelaskan pemansuhan imuniti itu sudah dirancang oleh pihak produksi dan mendapat persetujuannya dan juga Paul.
"Nanti masa final penonton juga akan tentukan siapa yang layak menang, jadi tugas saya dan Paul sampai di sini sahaja. Selepas ini terpulang kepada penonton untuk kekalkan mana-mana peserta yang digemari.
"Cuma pesan saya, pilihlah mereka yang benar-benar layak untuk menang dan yang memberikan persembahan bagus," katanya.
Paul yang digeruni peserta dek kejujurannya memberi komen memberitahu, imuniti itu dimansuhkan tepat pada masanya.
"Memang tepat pada masanya, lagipun sampai bila kami hendak berikan imuniti sedangkan program ini merupakan program realiti. Jadi biarlah tugas itu diberikan kepada penonton kerana mereka juga yang akan menentukan juaranya nanti," ujarnya.
Tiga peserta terbaik
Bercakap mengenai persembahan peserta minggu lalu, rata-ratanya memberikan pendapat yang serupa termasuklah juri.
Mereka menyifatkan daripada enam peserta yang tinggal hanya tiga peserta dilihat memberikan persembahan hebat sekali gus menjadi pilihan juri untuk dibawa ke final yang akan berlangsung tiga minggu sahaja lagi.
Mereka ialah, Tomok, Amylea dan Esther manakala Nine, Simon dan Aweera pula dilihat hanya memberikan persembahan bertaraf 'biasa' sahaja.
"Saya suka apa yang dilakukan mereka bertiga, dan nampak saingannya. Tomok juga melakukan sesuatu yang di luar kebiasaannya dan ia menjadi, begitu juga dengan Esther yang sentiasa konsisten dan Amylea yang nampak berbeza dan bertenaga.
"Tiga orang lagi, suara mereka semua bagus tiada yang teruk, cuma persembahan mereka tidak sampai ke hati," kata Paul.
Tomok yang membawakan lagu, Umbrella nyanyian asal Rihanna dan susunan lagu itu diubah dilihat mampu membawakan lagu itu dengan caranya sendiri.
![]() |
| |
Vokalis kumpulan Newboyz itu nyata gembira dengan komen positif pihak juri dan berharap peminat dapat menerima perubahan yang cuba dibawakan.
"Saya cuba ambil apa yang juri komen dan adaptasi komen tersebut dalam persembahan saya. Mula-mula takut juga tetapi bila lihat penerimaan yang positif saya bertambah yakin.
"Kalau untuk ke final itu saya tidak berani nak komen sebab, kuasa bukan di tangan saya. Semua peserta berharap untuk ke final begitu juga saya," ulasnya.
Namun, Paul menegur Simon dan Aweera yang memilih lagu ketinggalan zaman dan dilihat cuba meniru penyanyi asal.
"Anda sekarang berada pada tahun 2009, anda harus periksa kalendar yang lagu itu berada pada zaman mana? Saya tidak suka apabila peserta cuba meniru gaya dan suara penyanyi asal yang mustahil untuk kelihatan lebih baik daripada mereka," ujar Paul lagi.
Rizu teruskan perjuangan
Biarpun tersingkir, namun jejaka bertubuh kecil dan bersuara besar itu sedikitpun tidak mahu mengalah memperjuangkan minatnya terhadap muzik.
"Apa yang terjadi, saya terima sebaiknya dan saya sebelum ini dah tetapkan dalam minda menerima apa saja keputusan untuk diri saya.
"Insya-Allah, saya ada perancangan lain untuk kerjaya seni. Saya akan teruskan proses pengeluaran album solo saya yang sebelum ini tertangguh selama enam tahun.
"Terima kasih kepada juri, Syafinaz dan Paul kerana dengan komen merekalah membuatkan saya jumpa siapa diri saya yang sebenar," kata Rizu yang tampak agak sedih dengan penyingkirannya itu.

Malah, Rizu turut memberitahu kontraknya bersama Broadway Entertainment akan tamat bulan ini dan itu membolehkan dia mencorak sendiri kerjaya seninya.
"Saya akan berjumpa dengan Boon Tan untuk berbincang dan dilepaskan, seterusnya bergantung pada keadaan,"

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: