|
|
LANGKAHNYA sebagai penyanyi bermula pada usia 18 tahun. Sayangnya, rezeki pelantun lagu Cahaya Hati ini yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records kurang menjadi dan namanya kian suram. |
Bagaimanapun, itu bukan noktah kembara seni Firdee Akassya Rosli, 27, sebaliknya sejak tiga tahun lalu namanya kian menonjol sebagai pelakon. Kebanyakan watak yang dibawa meninggalkan kesan di hati penonton, bahkan dia mula mendapat kepercayaan ramai pengarah, baik di layar perak mahupun kaca.
Ternyata dia yang lebih dikenali sebagai Aqasha bisa menarik nafas lega berikutan kedudukannya semakin stabil.
“Untuk membina nama Aqasha saya mengambil masa kira-kira tujuh tahun. Ia bukan satu tempoh singkat dan menuntut kesabaran yang sangat tinggi.
“Syukur, masih ada ruang untuk saya dalam industri. Biarpun rezeki lebih kepada dunia lakonan, saya tidak ralat.
“Ini kerana baik nyanyian mahupun lakonan, kedua-duanya jiwa saya. Apa baiknya saya mengikut arus kerana percaya setiap apa yang terhidang depan mata adalah takdir,” katanya yang tidak membataskan kemampuan diri.
Ketika bertandang ke Balai Berita hampir tiga minggu lalu, Aqasha menjelaskan, dia masih dalam tempoh bercuti dan mungkin kembali ke lokasi penggambaran bulan ini.
Katanya, selepas menjayakan banyak penggambaran tahun lalu, dia memerlukan rehat dan ruang memperbaharui diri. Ia penting untuk mendapatkan input baru supaya lebih kreatif dalam penghayatan watak yang bakal dibawa selepas ini.
“Bila bekerja, saya tidak dapat fokuskan perhatian kepada diri sendiri dan buat apa yang saya mahu. Dengan bercuti, dapatlah saya habiskan masa dengan membaca dan menulis blog, sekali gus berkongsi maklumat terbaru dengan peminat.
“Dalam masa sama saya banyak berkurung dalam studio di rumah menyudahkan lagu yang lama tertunda selain menyiapkan projek alumni serta band kolej,” kata lulusan Diploma Kejuruteraan Bunyi International Collegue of Music ini.
Akuinya, minat terhadap dunia nyanyian tidak pernah luntur malah dia berharap muncul dengan single tidak lama lagi. Setakat ini beberapa lagu berjaya disiapkan dan disimpan dalam arkib.
“Untuk merealisasikan impian itu menuntut kewangan kukuh selain ruang waktu mencukupi. InsyaAllah tahun ini saya akan mengusahakan sesuatu ke arah itu.
“Bagi saya lambat tidak mengapa, asalkan hasilnya bagus dan memuaskan hati,” katanya yang tidak sukakan jalan pintas untuk berjaya dan mengelak dicop artis majalah.
Berbicara projek terbarunya, Aqasha berkata, tawaran banyak tetapi belum boleh disahkan. Bagaimanapun, kemungkinan besar pertengahan tahun ini dia menyambung penggambaran musim kedua siri Mertua vs Menantu.
“Saya tidak menyangka drama ini menjadi pilihan ramai setiap minggu, malah ia mencatat rating antara tertinggi di saluran Astro Prima.
“Antara resipi kejayaan siri ini adalah jalan ceritanya dekat dengan penonton. Meskipun memaparkan pergolakan rumah tangga, ia disampaikan secara ringan dan komedi, malah ia mengetengahkan pelakon kesayangan ramai, Erra Fazira.
“Saya bertuah kerana diletakkan dalam pasukan ini. Ia peluang bagus buat saya dan sangat berterima kasih dengan peluang yang diberi,” katanya.
Menyingkap sisi peribadinya, Aqasha jelas selesa mengemudi hidupnya sebagai jejaka solo.
Dia pasrah meskipun hubungan cinta yang disulam selama empat tahun bersama penyanyi dan pelakon, Tasha berakhir. Baginya, lebih adil buat wanita yang pernah bertakhta di hatinya andai mereka mengekalkan hubungan sebagai sahabat.
“Biasanya wanita suka dimanja dan mahukan lebih perhatian daripada kekasih mereka, sedangkan saya pula lebih suka fokuskan perhatian kepada diri sendiri.
“Bila di lokasi penggambaran atau studio, saya tidak suka diganggu. Mana ada wanita yang tahan dengan sikap saya.
“Saya tidak salahkan Tasha kerana saya belum bersedia untuk ada komitmen. Kami putuskan hubungan secara baik dan keputusan itu untuk kebaikannya juga,” kata Aqasha yang baru selesai penggambaran drama Julia Juli dan filem Rempit V3.
Berbicara lanjut perihal menamatkan zaman bujang, Aqasha tidak menafikan drama Mertua vs Menantu sedikit sebanyak mempengaruhi keputusannya untuk selesa hidup sebagai anak bujang.
Katanya, melihat cara hidup dan pemikirannya, ada baiknya jika persoalan ini dibiarkan dulu sehingga dia benar-benar bersedia.
“Kahwin memang senang tetapi mahu mengekalkannya bukan perkara mudah. Bila bergelar suami, saya bukan saja berurusan dengan isteri dan anak, tetapi keluarga mentua.
“Buat masa ini saya belum bersedia. Mujur keluarga memahami dan tidak pernah mendesak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: