Sunday, April 19, 2009


MASIH terngiang-ngiang bicara rakan yang pernah menemubual beberapa penyanyi solo dan berkumpulan dari Indonesia satu ketika dulu. Lupakan seketika nama besar seperti Slank, Dewa 19, Gigi, Ari Lasso dan Sheila On7 kerana nama itu sudah sebati dengan penduduk negara ini.

Ketika itu, yang ditemubual namanya sungguh asing di negara ini. Siapalah Kerispatih, Matta, Bunga Citra Lestari, Nidji, Kotak dan Kangen Band (sekadar menyebut beberapa nama).

Namun, ketika ini tanyalah mengenai mereka dan pasti ada yang boleh menjawab, malah lagu mereka turut menjadi siulan.

Realitinya, penaklukan seperti itu akan terus berulang kerana adanya permintaan.

Selebriti Metro Ahad yang dibawa ke Jakarta baru-baru ini oleh Tropic Jaya Entertainment berkesempatan bertemu beberapa band dan penyanyi solo yang sudah meraih populariti di Indonesia.

Drive, Cosmic, Mala & The Bandit, Hello dan Ariss tampil dengan eksperimen muzik masing-masing, malah mereka sangat berharap dapat meraih populariti di negara ini seperti yang dibuktikan rakan terdahulu.

Namun, cabaran buat mereka kerana kita ada Meet Uncle Hussein, Hujan, Bunkface, Estranged, Pesawat dan Yuna yang semakin melebar pengaruhnya.



DRIVE

BAND ini pernah mengadakan 27 persembahan dalam tempoh sebulan. Mereka turut mengakui menggunakan tiga telefon bimbit Blackberry khusus untuk membalas komen dihantar peminat di laman web Drive, Facebook dan friendster.



Dianggotai Erdian Aji Prihartono (Aji-vokalis), Adi Sukarno Suryo (Adi-drum), Ilhamsyah Dyego (Dygo- bass) dan Budi Raharjo (Budi-gitar), Drive kini sibuk mempromosi album kedua berjudul Kita Untuk Selamanya yang berpaksikan muzik pop rock.



Untuk album kedua, Drive menerbitkan sendiri album itu berbanding album pertama yang diterbitkan Piyu (kumpulan Padi). Mereka mempertaruhkan single berjudul Melepasmu diikuti Sesal.

Menurut Aji, Drive bertuah kerana diterima kelompok peminat muzik di Indonesia dan masih mampu bertahan sehingga hari ini.

“Bukan mudah untuk Drive bertapak dalam industri muzik di sini (Indonesia). Persaingannya terlalu hebat.

“Bayangkan, yang saya tahu, sebulan lalu saja ada 15 single baru dipromosikan. Justeru, perlu ada kekuatan untuk diterima dan terus bertahan,” katanya.

Aji berkata, Drive menampilkan muzik yang dekat dengan pendengar dan mengutamakan persembahan secara ‘live’.

“Kekuatan kita mungkin turut didorong faktor persembahan. Persembahan secara ‘live’ yang mantap dan bertenaga menjadi keutamaan Drive,” katanya yang turut mengakui soal tuah mempengaruhi jatuh bangunnya sesebuah band.

Menurut Aji, dalam suasana muzik Indonesia yang sentiasa terbuka dan tiada pantang tertentu, dia hairan mengapa sukar untuk band atau penyanyi solo dari Malaysia menembusi pasaran Indonesia, sekali gus meraih populariti di negaranya.

“Kenapa ya? Sekarang di Indonesia putaran muziknya seperti Malaysia, malah di Malaysia ada band yang muziknya lebih baik,” katanya yang mengetahui mengenai Estranged.



COSMIC

ALBUM sulung Cosmic berjudul Dunia Tanpa Henti dilancarkan pada Ogos tahun lalu. Mendapat sentuhan Piyu (Padi) sebagai penerbit, Cosmic yang dianggotai oleh Benda (vokalis), Bobby (gitar), Hans (gitar), Durent (bass) dan Ryan (drum) tampil dengan genre post-pop.

Menurut Benda, genre dipilih adalah muzik pop yang mencerminkan anak muda, dan ‘easy listening’.

“Muzik kami dibaluti nuansa rock, metal, emo, British dengan penerokaan bunyi lebih moden. Ia sebagai penguat karakter di setiap lagu serta muzik yang dihasilkan,” katanya.

Benda berkata, Cosmic kini mempertaruhkan single kedua berjudul Bila selepas berjaya dengan single pertama, Sebuah Kisah.

Katanya, selain lagu dan muzik, Cosmic mempertaruhkan persembahan secara ‘live’ yang mantap.

“Maaf jika saya berkata begini. Ada segelintir band hanya berpuas hati dengan apa yang dihasilkan, walaupun hasilnya kurang kualiti.

“Cosmic tidak begitu kerana kita sentiasa berusaha menjadi yang lebih baik,” katanya.



MALA & THE BANDIT

BERBEZA daripada kebiasaan di Indonesia kerana kumpulan ini memilih muzik pop dance atau mudahnya, muzik disko untuk album yang dihasilkan.

Dianggotai Mala atau nama sebenarnya Siti Malahayati Lubis (vokal) dan Budi PM (keyboard & Synthesyzer Programmer), Mala & The Bandit muncul dengan album sulung berjudul All You Can Beat.

Mala yang sebelum ini pernah menghasilkan album solo berkata, album ini tetap menampilkan lirik lembut serta mendayu tetapi muziknya ‘dance’.

“Ia umpama jika menangis boleh menggoyangkan kepala. Satu kelainan yang cuba kami hasilkan dan nampaknya boleh diterima,” katanya.

Menurut Mala, hampir keseluruhan lagu dalam album ini diwarnai dengan karakter muzik disko tahun 1980-an yang dipadukan dengan corak ‘dance music’ popular ketika ini.

“Album ini menampilkan sembilan lagu dan lagu Kenangan Indah dipilih sebagai single pertama,” katanya yang pernah menjadi disc jockey (DJ) di sebuah kelab di Jakarta dan model.



HELLO

BAND yang terbentuk pada 19 Disember 2007 di Yogjakarta ini melalui tempoh singkat bergelar artis rakaman. Sekali saja diujibakat, mereka diterima bernaung di bawah Nagaswara dan muncul dengan album sulung — Say Hello pada Ogos 2008 berpaksikan muzik pop moderate.

Dianggotai oleh Widi (vokalis), Gavet (keybord), Gani (gitar), Prima (bass) dan Dedy (drum), usaha Hello mempertaruhkan single pertama, Ular Berbisa ternyata berjaya menaikkan nama band itu.

Malah pada Mac lalu, daripada tujuh band yang dicalonkan, Hello diberi penghormatan apabila dipilih mengadakan persembahan bersempena acara ‘March On Stage’ di Hard Rock Cafe Jakarta, sekali gus nama band itu diabadikan di laman web Hard Rock seluruh dunia.

Menurut Widi, kemunculan Hello bukan kerana wang, sebaliknya band ini mahu membuktikan kemampuan mereka dan terus berkarya bagi memenuhi minat mereka terhadap muzik.

“Kita sedar risiko bergelar artis rakaman. Namun kita yakin apabila kita berkarya dengan hasil berkualiti dan memenuhi cita rasa banyak pihak, kita mampu untuk terus diminati.

“Walaupun persaingan dalam bidang ini berat, ia kita anggap sebagai motivasi,” katanya.



ARISS

PENYANYI yang memilih muzik pop jazz ini melalui pelbagai rintangan sebelum bergelar artis rakaman. Sejak 2000 pelbagai pertandingan disertai, antaranya Akademi Fantasi Indosiar 2005 dan Indonesia Idol 2006.

Ariss atau nama sebenarnya Ari Sanjaya, 28, muncul dengan album sulung — Biarkanlah Cinta pada Mei 2008. Menampilkan single Andai Saja, Ariss berkata, konsep albumnya berbeza dengan penyanyi Indonesia lain.

Katanya, menjadi impiannya untuk tampil berbeza jika bergelar artis rakaman.

“Album ini menonjolkan nuansa ‘chil’ dan ‘easy listening’ sehingga susunan muziknya terasa sangat berbeza daripada muzik penyanyi Indonesia lain.

“Beberapa lagu turut diberi sentuhan ‘swing’ dan ‘blues’, menjadikan album ini mempunyai kepelbagaian dan unik,” katanya yang turut mencipta lagu berjudul Percaya Selalu di dalam albumnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: