|
BUNYI geseran tayar dan dentuman kuat masih segar dalam ingatannya. Diimbas kembali, ia seakan babak yang dirakamkan dalam filem terbaru terbitan Metrowealth Movies Production (MMP), Jangan Tegur. |
Akui Nadia Mustafar, peristiwa hitam itu berlaku ketika dia bersama-sama rombongan MMP dalam perjalanan ke Singapura untuk menghadiri majlis tayangan filem berkenaan.
“Waktu itu, saya, Ahmad Idham dan David Teo bersama beberapa rakan lain baru saja memasuki lebuh raya. Entah bagaimana, seorang lelaki secara tiba-tiba melintas jalan untuk ke seberang.
“Yang peliknya, jalan yang kami dilalui itu bukan jalan kampung sebaliknya Lebuh Raya Utara Selatan yang sarat dengan kenderaan laju. Malah, lelaki yang melintas itu langsung tidak memandang ke kiri atau ke kanan untuk melihat sama ada selamat melintas ataupun tidak.
“Mungkin sudah ditakdirkan ajalnya. Walaupun sudah membrek dan mengelak, kenderaan kami masih lagi tidak berupaya untuk berhenti dan akhirnya terlanggar lelaki itu. Kerana pelanggaran yang agak kuat, lelaki berkenaan seorang warganegara Bangladesh tercampak beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tutur aktres ini, peristiwa ngeri itu masih menghantuinya. Dek terkejut dengan kemalangan itu, Nadia demam beberapa hari.
“Selepas membuat laporan polis, kami terpaksa meneruskan perjalanan ke Singapura menaiki kenderaan lain. Walaupun hampir seminggu kejadian itu berlaku, ia masih lagi bermain dalam fikiran saya.
“Walaupun sudah berusaha untuk melupakannya, saya masih terfikir hal itu. Setiap satunya jelas tergambar di kotak fikiran saya. Sehingga kini saya masih trauma mengingatkan peristiwa itu. Mujur saya dan rakan lain selamat.
“Begitupun, saya rasa ini semua kebetulan. Tidak perlu mengaitkannya dengan filem Jangan Tegur meskipun dalam cerita itu babak seperti ini turut dipaparkan pada pembukaan tayangannya,” katanya.
Mengulas mengenai karier, rezeki yang diterimanya selepas bersalin boleh dianggap murah. Katanya, semua yang diperolehi itu adalah rezeki untuk anaknya, Qaliff Izham yang kini berusia sebulan setengah.
“Alhamdulillah, tidak lama lagi saya akan mula bekerja seperti biasa. Untuk kali ini, saya bakal membintangi telefilem arahan Adam Hamid berjudul Lelah Latah.
“Selain itu, saya juga akan mengacarakan sebuah program berbentuk kesihatan sebanyak 13 episod untuk RTM. Begitupun, judulnya masih belum lagi diterima,” katanya.
Tambah Nadia, dia amat berharap filem Jangan Tegur yang mula dimainkan di layar besar sejak 9 April lalu mendapat sambutan daripada penonton. Katanya, berdasarkan jalan cerita dan komitmen yang sudah diberikan oleh pelakon filem berkenaan, tidak keterlaluan sekiranya ia mampu mencecah kutipan pecah panggung.
“Jangan Tegur menceritakan kisah yang seram terjadi dalam masyarakat kita seperti rasukan dan gangguan makhluk halus. Perkara mistik yang sudah diketahui ramai ini setidak-tidaknya dapat menarik perhatian peminat filem seram.
“Lagipun, semua pelakon dan kru produksi sudah memberikan segala yang terbaik untuk filem ini. Harap-harap, ia mampu memecah kutipan pecah panggung.
Jika dihitung, watak digalas Nadia dalam filem ini antara yang terbesar pernah dilakonkannya untuk produksi filem.
Bercerita pengalamannya berlakon dalam produksi seram, Nadia turut tidak terlepas daripada gangguan makhluk halus. Katanya, ketika sesi penggambaran di Bukit Melawati, dia terasa seperti dibaling dengan kayu oleh seseorang.
“Dua kali saya dibaling dengan kuat. Namun apabila menoleh tidak ada seorangpun di belakang. Ketika itu, saya teringat kata orang kalau terjadi apa-apa jangan ditegur. Selepas itu, saya terus pergi mendapatkan rakan-rakan yang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: