Sunday, April 19, 2009

Belakang kamera


UMPAMA bulan jatuh ke riba! Itulah perumpamaan tepat menggambarkan rezeki Jason Chong yang kini bergelar sutradara filem.

Meskipun rezekinya di depan kamera kurang menyerlah, aktor yang popular menerusi sitkom komedi Fara ini lebih menumpukan kerjayanya di belakang tabir.

Menyorot kerjayanya terdahulu, Jason yang bergelar pengarah komersial akhirnya beralih pula kepada drama. Tidak lama kemudian, dia akhirnya berpeluang mencipta nama sebagai pengarah filem.

Akui Jason, apa yang diperolehnya kini umpama ‘pucuk dicita, ulam mendatang’. Sudah lama dia menunggu peluang untuk mengarahkan produksi filem, namun baru kini rezeki itu terbentang di depan matanya.

“Sebelum ini, sudah lama saya bercadang mahu mengarah filem. Namun, ia menjadi fokus saya untuk beberapa tahun akan datang. Namun apabila saya rasa bersedia, peluang bergelar pengarah terus diberi oleh Danny (X-Factor) selaku penerbit filem Belukar.

“Menariknya, tawaran berkenaan hadir bersama peluang bergelar rakan kongsi untuk syarikat produksi milik Danny iaitu Preston Zaidan Production. Selepas berfikir panjang, saya gagahkan diri menerima peluang itu,” katanya.

Tambah Jason, walaupun belum bersedia sepenuhnya, namun tidak salah untuk mencuba. Berdasarkan keyakinan diri dan kepercayaan diberi Danny, Jason percaya dia mampu berkarya dengan baik.

“Saya perlu bersungguh-sungguh untuk filem pertama. Saya tidak mahu dikritik kerana buat kerja sambil lewa. Lagipun, Belukar umpama nyawa untuk saya terus hidup dalam bidang ini.

“Kerana kepercayaan Danny, saya turut menghasilkan skripnya. Walaupun sebelum ini saya memiliki beberapa set skrip yang sudah siap, rasanya lebih baik kami tampilkan idea baru bersama jalan cerita segar, lebih-lebih lagi ia pengalaman pertama untuk kami berdua dalam bidang masing-masing,” katanya.

Demi menjaga kualiti karya besarnya, Jason turut menempah sebuah kamera digital berharga lebih RM100,000. Katanya, modal diberi merangkumi pembelian kamera supaya hasilnya nanti terjamin.



“Pembelian kamera ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, saya biasa menggunakan kamera jenis itu ketika penggambaran komersial dan percaya kualiti yang terhasil daripada penggunaannya lebih baik daripada kamera yang biasa digunakan.



“Ditambah pula jalan cerita menarik, pelakon mantap dan visual jelas pasti menarik minat penonton. Buat masa ini hasil yang saya peroleh sememangnya boleh dibanggakan,” katanya yang memandang tinggi terhadap filem ini.

Mengulas mengenai jalan cerita Belukar, ia mengisahkan mengenai seorang wanita yang hidup kaya raya hasil penipuan terhadap syarikat insurans. Kata Jason, filem ini dijelmakan seakan-akan filem berjudul Italian Job mahupun Ocean Eleven.

“Begitupun, ia sedikit berlainan jika mahu dibandingkan dengan kedua-dua filem itu. Menariknya, ia dirakam dalam cara kita sendiri dan ia turut memfokus terhadap kisah percintaan.

“Aksi dan cinta memang tidak boleh dipisahkan lagi kerana dua elemen ini dapat menarik perhatian penonton. Namun, kelainan dan kesegarannya pasti mengujakan.

“Penggambaran dilakukan di sekitar Sabah. Mungkin dalam masa terdekat kami cuba mencari pihak pengedar yang mahu bekerjasama kerana jika tiada aral, Belukar bakal dipertontonkan akhir tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: