Monday, April 20, 2009

Usia bukan penghalang BDB


AKSI BDB sewaktu mereka mengadakan persembahan khas mereka di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, pada 2003 sempena kemunculan album Reunion.


MUNGKIN ada yang akan memberi persepsi negatif apabila Istana Budaya (IB) dan Box-Office Malaysia mahu menganjurkan konsert Black Dog Bone (BDB) di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur (KL), pada 8 hingga 10 Mei ini.

Ini kerana, kumpulan dari Singapura itu sudah 32 tahun tidak mengadakan konsert besar-besaran selepas konsert pertama mereka di Stadium Negara, KL, pada tahun 1977 yang disaksikan hampir 20,000 penonton.

Apatah lagi, pada usia melebihi 50 tahun, tentu ada pihak yang akan memberi pandangan skeptikal terhadap persembahan terbesar BDB di panggung yang bertaraf dunia itu kelak.

Bagi penyanyi utama kumpulan itu, Jatt, semua faktor dan pandangan sempit tersebut sedikit pun tidak melemahkan semangat demi membuktikan sengatan mereka dalam bidang muzik masih tetap berbisa sama seperti dulu.

Malah, dalam waktu yang singkat selepas bergabung semula beberapa bulan lalu, kumpulan enam anggota itu akan bangkit semula menerusi konsert yang akan mengenakan tiket berharga RM65, RM85, RM155 dan RM205 itu.

“Memanglah, kalau diikutkan usia kami memang sudah tua, tetapi semangat kami dalam bidang muzik sentiasa muda. Biasanya orang kita akan cakap, sudahlah... tua-tua macam ini kasilah anak-anak muda main muzik. Sudah tua, pencen sahajalah.

“Tetapi kalau orang Barat lain. Semakin tua pemuzik mereka, semakin dihargai bakat mereka dalam bidang muzik. Kami tidak kecil hati, sebaliknya akan membuktikan kemampuan kami pada usia sebegini,” katanya ketika ditemui Mega selepas sidang media di IB, baru-baru ini.

Konsert yang akan menampilkan dua tetamu istimewa iaitu Jay Jay dan Rahim Othman akan dijadikan pentas membuktikan keunggulan BDB.

Menerusi konsert yang akan berlangsung selama dua jam 30 minit itu, BDB akan membuktikan kepada para peminat bahawa usia tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk beraksi dengan baik di atas pentas tersebut.

“Pada konsert itu nanti, kami mahu membuktikan kepada para peminat termasuklah kumpulan-kumpulan pemuzik baru bahawa usia bukannya penghalang untuk bermain muzik dengan baik.

“Apa yang penting ialah semangat, komitmen dan keyakinan yang perlu ada pada diri setiap penyanyi serta pemuzik dalam mana-mana kumpulan untuk membuktikan bakat mereka yang sebenar walaupun sudah berusia,” ujarnya.

Sehubungan itu, dalam tempoh sebulan lebih, BDB kini giat melakukan pelbagai persiapan fizikal dan mental bagi memastikan apa yang mereka rancang pada konsert itu akan berjalan lancar.

Antaranya kata Jatt, atau nama sebenarnya Tahir Ali, 53, beliau telah menjalani senaman kecergasan di gimnasium supaya staminanya ketika menyanyi dan bermain dram akan mencapai tahap yang maksima.

“Selain menyanyi, saya juga akan bermain dram bersama BDB pada konsert itu nanti. Sebab itu, saya akan memerlukan banyak tenaga sepanjang beraksi di atas pentas selama hampir dua jam tanpa henti,” jelasnya.

Persembahan BDB yang ditubuhkan pada 1972 di Singapura itu juga akan diiringi oleh kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.

Sementara, susunan muziknya pula akan digubah oleh komposer terkemuka, S. Atan yang diundang khas bagi membantu menjayakan persembahan yang diilhamkan oleh Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

James masih bujang

PEMAIN keyboards BDB, James merupakan satu-satunya anggota kumpulan itu yang paling pendiam dan menyimpan banyak rahsia peribadi yang tidak banyak diketahui oleh para peminatnya.

Beliau yang berusia 55 tahun, merupakan satu-satunya anggota BDB yang masih belum berkahwin selepas putus cinta dengan buah hatinya 20 tahun lalu.

Kata James, dia tidak dapat melupakan peristiwa itu menyebabkan sehingga kini masih belum bertemu dengan gadis yang sesuai dengan pilihan hatinya.

“Saya pernah bercinta dengan seorang gadis Cina pada tahun 1989, tetapi hubungan kami tidak lama. Kami hanya sempat bercinta selama enam tahun.

“Selepas itu, saya terpaksa berpisah dengannya apabila mendapat tahu dia ada teman lelaki yang baru. Itu adalah cinta pertama dan terakhir saya. Bukannya serik bercinta tetapi umur saya pun semakin lanjut.

“Mungkin tiada rezeki untuk saya mendirikan rumahtangga,” katanya yang masih mampu tersenyum ketika menceritakan pengalaman silamnya itu.

Sepanjang hidup membujang, James banyak memberi tumpuan terhadap bidang muzik dan perniagaan yang diceburinya seperti perkhidmatan menyewa bas di Singapura yang diusahakannya.

Jelasnya, aktiviti-aktiviti dalam bidang muzik dan perniagaan yang diceburinya itu secara tidak langsung dapat melupakan pengalaman pahit yang pernah ditempuhinya itu.

“Selain mempunyai perkhidmatan menyewa bas sejak lebih 20 tahun lalu saya juga menyediakan khidmat sebagai jurutera bunyi untuk pelbagai jenis rakaman sama ada di Singapura dan juga Taiwan.

“Masa terus berlalu di mana semua aktiviti yang saya lakukan itu secara tidak langsung telah mengubat hati saya yang luka. Saya terima hakikat itu kerana ini mungkin sudah takdir dalam hidup saya,” jelasnya akur.

James kini menghabiskan sisa-sisa hidupnya sendirian dan banyak menggunakan medium muzik sebagai salah satu cara bagi menghiburkan hatinya termasuklah dengan mengadakan persembahan di IB kelak.

“Konsert BDB yang akan adakan di Istana Budaya kelak diharap akan meninggalkan kenangan yang manis buat saya dan anggota-anggota kumpulan BDB. Saya harap para peminat akan berhibur bersama-sama saya kelak pada konsert itu,” katanya lagi.

Royalti lagu BDB RM60,000 setahun

S. Atan merupakan komposer yang sukar untuk dipisahkan dengan populariti lagu-lagu BDB sejak album pertama kumpulan itu berjudul Sindir-Sindir Sayang pada 1976 sehinggalah album Kembali Lagi pada 1986.

Ini kerana, komposer berasal dari Singapura ini banyak mencipta lagu yang telah dimuatkan dalam album-album BDB sebelum ini termasuklah yang berjudul Dulu Dan Sekarang.

Album yang diterbitkan pada 1978 itu merupakan antara album BDB yang mendapat sambutan hangat daripada para pendengar sama ada di Singapura dan juga Malaysia pada ketika itu.

Menurut S. Atan, disebabkan populariti dan kekerapan siaran lagu-lagu BDB terutamanya di stesen-stesen radio, sehingga ke hari ini dia msih mendapat royalti hasil lagu-lagu ciptaannya itu.

“Pada setiap tahun, saya mendapat RM60,000 daripada MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia) hasil lagu-lagu BDB yang saya cipta.

“Sebagai contohnya, lagu Dulu Dan Sekarang pernah berada di carta teratas lagu-lagu popular di radio Singapura selama 13 minggu berturut-turut. Lagu itu saya cipta melodinya, manakala liriknya ditulis oleh Haron Abd. Majid.

“Itu antara pencapaian terbaik dalam lagu-lagu ciptaan saya dan saya juga bersyukur dan kagum dengan kemampuan BDB membawakan lagu itu dengan baik sekali,” katanya kepada sewaktu ditemui pada majlis itu.

Malah, selepas 31 tahun lagu seperti Dulu Dan Sekarang masih diminati ramai termasuklah seringkali dinyanyikan semula penyanyi generasi baru pada pertunjukan pentas yang diadakan di merata-rata tempat.

Bagaimanapun, S. Atan kurang senang apabila ada segelintir penyanyi lain yang cuba menyanyikan semula lagu-lagu ciptaannya yang dipopularkan oleh BDB dalam nafas atau susunan muzik yang baru.

“Saya memang kurang senang dengan trend seperti itu kerana ia sedikit sebanyak akan merosakkan susunan dan melodi asal lagu-lagu ciptaan saya.

“Sebab itu, saya sudah berpesan pada BDB supaya jangan buat macam itu. Kalau boleh, saya mahu BDB menghormati keputusan saya sebagai pencipta paling banyak lagu-lagu mereka,” ujarnya penuh harapan.

Anggota asal tarikan utama

BAGI kumpulan yang telah berpecah selama 29 tahun seperti BDB, bukan suatu perkara yang mudah untuk menghimpunkan semula anggota-anggota asal kumpulan tersebut.

Penerbit pertunjukkan pentas, Box-Office Malaysia juga menghadapi masalah bagi mengumpulkan semula enam anggota kumpulan yang berusia 50 tahun ke atas itu.

Pengarah Urusan Box-Office Malaysia, Ali Bakar misalnya, terpaksa menghubungi semula Jatt bagi menganjurkan konsert BDB di IB dari 8 hingga 10 Mei ini.

Ali Bakar menyifatkan konsert BDB tiga malam berturut-turut itu tidak seharusnya dilepaskan oleh para peminat yang merindui persembahan mereka di atas pentas sejak 32 tahun lalu.

“Keistimewaan konsert ini ialah kami menampilkan kesemua anggota asal BDB di atas satu pentas. Bagi yang tidak pernah menyaksikan konsert BDB, inilah peluang yang tidak harus dilepaskan kerana kita tidak tahu bila lagi akan dapat menyaksikan persembahan mereka,” katanya.

Sebagai rekod, walaupun pernah dibubarkan lebih dua dekad, tetapi BDB pernah ditubuhkan semula pada 2003 dalam penghasilan album Reunion dan mengadakan persembahan khas di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, pada tahun tersebut.

Kata Ali Bakar lagi, komitmen dan persetujuan BDB untuk bergabung semula di atas satu pentas merupakan suatu pengorbanan yang seharusnya dihargai oleh para penonton.

“Ini kerana, selepas berpuluh-puluh tahun meninggalkan persembahan di atas pentas besar, mereka tetap sanggup tampil berlatih semula lagu-lagu BDB yang sudah lama mereka lupakan.

“Masron anggota BDB yang kini berusia 60 tahun lebih contohnya, terpaksa mengambil masa untuk berlatih bagi meniup trompet selain menyanyi.

“Oleh kerana semangat yang kuat dalam bidang muzik serta permintaan daripada para peminat BDB, mereka sanggup melakukan semua itu. Saya yakin konsert ini bukan setakat mengimbas nostalgia BDB tetapi juga para peminat yang lama merindui mereka selama ini,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: