Saturday, April 11, 2009

Kelainan untuk Ayu


AYU dan Faizell berbincangmengenai busana yang akan digayakan pada ABPBH 2008, esok.

Pereka pakaiannya, Faizell menggabungkan songket dan sifon

WAJAH eksotik dimiliki penyanyi kelahiran Sabah bernama Ayu Damit membuatkan pereka muda Faizell Azraff tertarik untuk menghasilkan rekaan buatnya.

Mungkin sedikit mencabar untuk membuatkan Ayu kelihatan cantik pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, malam esok, tetapi Faizell mengambilnya sebagai satu ujian yang dapat menguji kredibilitinya sebagai seorang pereka baru.

Kulit hitam manis Ayu menyebabkan Faizell harus bijak bermain warna. Rona lembut dari warna krim dan coklat menjadi pilihan untuk acara permaidani merah dan digayakan penyanyi bersuara lantang itu ketika membuat persembahan di pentas ABPBH 2008 nanti.

Bakal menggabungkan songket dan sifon, Faizell memilih gaun potongan paras lutut untuk penyanyi bertubuh kecil ini bagi menampakkan Ayu kelihatan lebih tinggi.

"Ayu sering tampil dengan gaun labuh setiap kali menghadiri majlis anugerah. Jadi apa salahnya cuba sesuatu yang lain, kali ini dengan gaun paras lutut kerana ia juga boleh membuatkan Ayu kelihatan tinggi.

"Bekerja dengannya tidak begitu sukar. Cuma dia mahukan warna yang sesuai untuk kulitnya serta penampilan yang tidak terlalu seksi. Dia juga jenis yang mengikut kata asalkan kena dengan cita rasanya," kata Faizell yang pertama kali terbabit di dalam ABPBH tahun lalu.

Pereka berusia 27 tahun itu tidak mempunyai pendidikan khusus dalam seni reka. Sebaliknya ia didorong atas dasar minat, pengalaman bekerja di sebuah butik di Ampang Park digunakan sebaik mungkin oleh jejaka dari Perak ini untuk menimba ilmu dalam seni rekaan fesyen.

Selain itu, dia juga banyak merujuk kepada majalah dan buku, dari situ dia mula belajar dan kini sentuhannya mula mendapat perhatian ramai setelah kemunculannya dalam ABPBH 2007. Artis pertama yang menggayakan sentuhannya tahun lalu juga bukan calang-calang iaitu penyanyi terkenal Fauziah Latiff.

"Memang tidak dinafikan, selepas muncul dalam ABPBH 2007, rezeki saya semakin murah. Bukan saja untuk acara anugerah, saya turut menerima tempahan untuk majlis rasmi serta membuat rekaan untuk pakaian pengantin," katanya yang menyimpan hasrat untuk menghasilkan rekaan buat Ayu sejak Anugerah Juara Lagu yang lalu.

Sementara itu Ayu pula berkata, dia merasa bertuah apabila namanya disenaraikan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular. Katanya, peminat kini ternyata lebih terbuka dan bijak menilai antara bakat dan rupa.

Gadis yang semakin bijak berbicara berbanding setahun lalu setelah mengikuti kursus komunikasi bersama Fatimah Abu Bakar menganggap pencalonan bermakna satu lagi beban terpikul dibahu.

"Bagi Ayu ini adalah satu kejayaan sepanjang kerjaya sebagai penyanyi apabila tersenarai sebagai salah seorang finalis ABPBH. Ayu tidak sangka baru setahun lebih dalam dunia nyanyian dan di tengah kebanjiran ramai artis baru, nama Ayu boleh tersangkut.

"Walaupun Ayu tahu kemenangan sukar untuk digapai melihat kepada senarai calon lain yang hebat-hebat, tetapi Ayu tetap anggap semua ini sebagai satu tanggungjawab berat yang harus dipikul. Apabila peminat memilih kita, bermakna kita perlu persembahkan sesuatu yang lebih baik untuk mereka," katanya yang mengenakan set mutiara hitam Tahitian bernilai RM304,800 dan mutiara putih laut selatan bernilai RM403,550.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: