Saturday, April 11, 2009

Parang melekat di kepala

GOMBAK: Niat murni seorang lelaki mengambil alih sementara tugas abangnya mengawal sebuah bangunan di Taman Amaniah Mulia, Batu Caves di sini, bertukar tragedi apabila dia diserang dan ditetak sekumpulan penjenayah yang cuba merompak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi, Azhar Ramli, 39, terpaksa berlari sejauh lebih 15 meter dalam keadaan sebilah parang masih tertusuk di kepalanya untuk mendapatkan pertolongan selepas ditetak seorang daripada penjenayah terbabit ketika dia cuba menghalang niat jahat mereka.

Difahamkan, sebelum itu, abangnya, Azmi Ramli, 41, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di bangunan berkenaan meminta bantuan Azhar menggantikannya buat sementara waktu apabila perutnya meragam, lalu bergegas pulang ke rumah kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Difahamkan, pada mulanya, seorang daripada lelaki terbabit cuba memecah masuk bangunan berkenaan sebelum menyerang dan menetak kepala mangsa menggunakan parang kerana cuba menghalangnya.


Menceritakan detik cemas itu, Azhar berkata, sebaik melihat lelaki itu cuba memecahkan pintu sebuah kedai di premis berkenaan menggunakan sebatang besi, dia segera menjerit meminta tolong.

“Lelaki itu terus menyerang dan menetak kepala saya menggunakan sebilah parang. Tetakan pertama menyebabkan parang yang digunakan melekat di kepala sebelum saya melarikan diri mendapatkan pertolongan.

“Saya sempat melarikan diri sejauh 15 meter sebelum dua lagi rakan lelaki itu yang turut berada di kawasan sama menahan saya. Mereka yang juga bersenjatakan parang terus memukul saya berulang kali sehingga hampir pengsan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia terselamat daripada ajal atau kecederaan lebih parah kerana semua lelaki terbabit hanya memukulnya menggunakan belakang parang.

“Lebih memeritkan apabila seorang daripada lelaki itu mencabut parang yang melekat di kepala saya menyebabkan darah membasahi baju.

“Hanya Allah yang tahu kesakitan yang saya tanggung ketika itu...nak pitam dibuatnya,” katanya.

Selepas 10 minit dibelasah kumpulan itu, dia dicampakkan ke longkang di belakang bangunan terbabit sebelum penjenayah terbabit beredar.

Azhar berkata, dia berjaya keluar dari longkang dan terpaksa berjalan sejauh lebih 10 meter untuk mendapatkan pertolongan orang ramai.

“Saya bernasib baik kerana bertemu seorang lelaki yang berlegar di kawasan ini. Dia kemudian menghantar saya pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia dibawa ke Hospital Selayang oleh Azmi bersama keluarganya untuk rawatan kecemasan.

Katanya, akibat tetakan itu, dia menerima 10 jahitan pada kepala selain lebam di seluruh badan.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: