Adlin |
Menanti tugasan sebagai pengacara ABPBH2008 dengan penuh debaran
LAGAK selambanya ketika mengacarakan Anugerah Skrin (ASK 2008) November lalu bersama-sama Nurul Syuhada, membuka laluan baru kepada Adlin Aman Ramlie membina nama sebagai hos anugerah.
ukan calang-calang pengacara yang memperoleh peluang berdiri di pentas berprestij yang disaksikan jutaan penonton. Tugas yang digalas menjadi hos anugerah mungkin kelihatan mudah tetapi kemampuan pengacara untuk membuatkan penonton terus melekat di kaca televisyen itulah yang akan menguji kredibiliti seseorang pengacara.
Adlin sudah pun membuktikan kredibilitinya pada ASK 2008 yang lalu, dan kini sekali lagi kemampuannya bakal diuji apabila dia dipertanggungjawab mengendalikan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahad ini.
Ramai yang percaya Adlin mampu menggalas tugas yang pernah dipegang Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Raja Azura sejak beberapa tahun lalu, namun anak kepada pelakon veteran Ruminah Sidek dan Allahyarham AR Tompel tetap menyimpan debaran apatah lagi bakal bekerja buat pertama kalinya dengan Sharifah Shahira.
"Setakat ini saya masih belum mengetahui lagi keserasian dengan Sharifah Shahira kerana kami belum pernah berkerja sama. Apa yang akan cuba saya lakukan adalah untuk bertenang dan cuba sedaya upaya menjadi fleksible supaya perjalanan pada malam itu nanti menjadi lancar.
"Saya juga akan berusaha untuk menjadikan kombinasi antara saya dan Shahira nampak menarik pada malam itu nanti. Bagi saya tugas ini cukup menyeronokkan kerana saya dapat bergelumang dalam satu bidang yang baru.
Memang tidak dinafikan ASK 2008 membuka ruang untuk saya melangkah setapak lagi dalam kerjaya seni, mungkin penganjur dan peminat mahu melihat sesuatu yang baru," katanya.
Menurutnya, mereka mungkin ingin melihat lenggok pengacara lain dan mahu memberi ruang kepada lebih ramai pengacara baru seperti dirinya untuk diketengahkan lagi.
"Saya yakin penonton ABPBH sebelum ini sudah serasi dengan corak pengacara terdahulu. Saya tidak dapat menidakkan kehebatan pengacara terdahulu, namun saya akan berusaha untuk memastikan tanggungjawab sebagai hos ABPBH yang pertama kali saya galas itu dapat dilunaskan dengan baik," kata Adlin yang bakal menggayakan sut sentuhan pereka fesyen, Michael Shu.
Kerjaya Adlin sebagai pengacara bukanlah baru tetapi dia pernah mengacarakan program Jangan Tidur di TV3. Rancangan yang ke udara pada sebelah malam itu dijangka bakal menemui penonton dengan musim terbaru tidak lama lagi.
Walaupun profesyen pengacara sudah lama tersenarai dalam profilnya, namun Adlin tetap merasakan perbezaan antara mengendalikan program rakaman dan anugerah dan beranggapan pembabitannya masih lagi baru serta masih perlu banyak belajar untuk memantapkan lagi gaya persembahannya.
Pengacara itu bagaimanapun berjanji akan menjalankan tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya dengan menjadi dirinya sendiri tanpa perlu meniru gaya mana-mana pengacara sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: