Perihal berita RTM
Ketika siaran berita perdana RTM pukul 8 malam ditukar kepada berita Tamil, Siti antara penonton yang terkejut. Bukan terkejut main-main tapi terkejut beruk jadinya. Siti pun tertanya-tanya sendirian, kenapa berita Tamil? Perlu sangatkah berita dalam bahasa Tamil hingga berita bahasa Melayu diterajang kepada lewat malam?
Orang kata Siti berfikiran lama. Fikiran baru mesti ada pembaharuan biar pun pembaharuan itu seperti sekadar baru saja. Tak apalah, orang akan kata yang ini baru dan yang itu lama.
Sejak berita perdana RTM ditukar kepada berita Tamil, Siti sudah tidak menonton lagi berita di RTM. Siti tak faham bahasa Tamil, kalau Siti faham sekalipun Siti akan pilih bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita.
Tapi akhirnya RTM menerima hakikat bahawa stesen itu kehilangan lebih 400,000 penonton sejak diberi sentuhan baru kepada berita perdana. Jumlah itu bagi Siti bukan kecil kerana untuk mendapat penonton sekarang bukan perkara mudah. RTM menjuarai graf kehilangan penonton, stesen lain alami peningkatan penonton.
Mujurlah RTM kembali ke pangkal jalan dengan membawa semula berita perdana pukul 8 malam berbahasa Melayu. RTM kembali seperti asal yakni sebelum diberi pembaharuan. Sebenarnya tidak semua yang baru akan menjadi tarikan kalau tidak kena gayanya.
Eloklah apabila RTM menyedari usaha memberikan pembaharuan kepada stesen itu tidak semuanya berjaya. Bab lain Siti tidak pasti, termasuklah menjadikan RTM 1 saluran berita sepenuhnya. Betulkah tindakan itu? Kita lihat kemudian.
Tapi buat permulaan selepas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mendapat menteri baru, kita mengharapkan RTM akan menjadi lebih baik. Malah stesen televisyen lain juga akan lebih baik kerana sekarang stesen televisyen di bawah kementerian ini.
Apabila berita perdana kembali seperti sediakala, Siti rasa terharu. Siti penonton setia RTM tapi selepas hati Siti diguris dengan berita Tamil, Siti pun menjadi tidak setia lagi. Sekarang Siti akan membina kembali minat dan harapan kepada RTM.
SITI JARUM: Debaran menunggu 090909.
Sejarah drama swasta
Drama swasta bermula di RTM pertengahan tahun 80-an. Ketika itu Menteri Penerangan adalah Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Konsep pengswastaan program drama oleh RTM bertujuan mendapatkan drama-drama lebih bermutu daripada terbitan RTM sendiri.
Ketika itu ada yang menganggap Unit Drama RTM tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menampung slot drama yang bertambah. Lalu diberikan tanggungjawab kepada syarikat yang menerbit filem membuat drama televisyen.
Dalam masa yang singkat saja drama swasta menjadi satu fenomena dan apabila wujud TV3, pengswastaan drama diperluaskan lagi. Tapi hakikat yang tidak dapat dinafikan drama terbitan dalaman RTM dan TV3 suatu waktu dulu jauh lebih baik daripada drama swasta.
Sekarang Rais kembali ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Ketika berjumpa Rais baru-baru ini, Siti melontarkan soalan tentang gagasan awal drama swasta dengan hasil yang diperlihatkan sekarang.
Rais memberikan jawapan dengan nada yang cukup berhemah tapi Siti dapat menangkap kekecewaan beliau dengan sebahagian besar drama swasta sekarang.
Kata Rais kepada Siti, beliau akur dengan kekurangan peralatan dan kekangan belanja untuk membuat drama. Tapi yang paling kurang kata Rais adalah ini (sambil menunjukkan ke kepala beliau).
SITI JARUM: Sangat setuju.
Nabil, peluklah
Dua tiga hari lepas Siti mendapat panggilan bertalu-talu fasal pelawak bernama Nabil memeluk anak gadis orang dan disiarkan secara langsung di televisyen. Siti tak dapat memberi reaksi atau jawapan kepada persoalan pemanggil kerana Siti tidak menonton. Malah Nabil pun Siti tak berapa kenal.
Tapi dalam kolum Tolong Jawab di Pancaindera hari ini, barulah Siti tahu hujung pangkal kontroversi Nabil pelawak yang baru buat lawak itu memeluk artis wanita yang juga kekasihnya. Kekasih? Ala apa-apa sajalah.
Siti hendak memberi makluman kepada pembaca bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Nabil itu adalah kenyataan peribadi dia. Kenyataan itu bukan mewakili golongan artis yang lain. Kalau kita anggap semua artis berfikiran macam Nabil, tidak adillah kepada artis yang menjunjung tata dan susila yang tinggi.
Antara lain kata Nabil, dia sama sekali tidak menyesal memeluk anak dara orang. Malah kalau dia menyesal seolah-olah orang yang dipeluk itu terlalu hina. Katanya lagi, dia peluk kerana terkejut diumumkan sebagai juara.
Kata Nabil lagi, perbuatan dia memeluk anak dara orang tidak akan menjejaskan ekonomi negara pun. Dalam kata lain, perbuatan begitu boleh dilakukan kerana tidak menjejaskan negara.
Cerdik juga rupanya pelawak ini buat lawak. Seperti yang Siti kata awal tadi, ini kenyataan Nabil. Mungkin kenyataan dalam keadaan dia terkejut atau dia perasan sedang berlawak. Maka dia pun berkata-katalah ikut sedap mulut dia tentang tata susila dan menulis semula hukum adab sopan mengikut fahamannya.
Kepada Nabil, Siti nak syorkan peluklah siapa yang dia suka kerana ekonomi negara bukan terletak kepada Nabil. Lagi pun artis kita telah diberikan lesen moral yang besar. Perkara yang tak boleh dilakukan oleh orang biasa, adalah perkara biasa bagi artis.
Kalau mereka tidak menganggap perkara biasa, Siti percaya Nabil sudah demam menggigil kerana melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma hidup kita. Tapi sebaliknya Nabil selamba malah berbangga pula. Syabas.
SITI JARUM: Tak lawak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: