Friday, April 3, 2009

Inilah diriku...Elyana




Cukup sekadar berada dalam kelompok lima terbaik Penyanyi Wanita Popular

SUDAH sedekad pembabitan usianya dalam dunia nyanyian dan calon Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2008 ini masih utuh di persada seni.

Sudah lama meninggalkan pentas anugerah berprestij ini, nama penyanyi berusia 22 tahun ini pernah dilakar pada 2002 selepas berjaya dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular.

Ia bukti bahawa penyanyi muda ini masih mempunyai kelompok peminat yang setia menyokong haluan kerjayanya. Malahan sejak tahun 2003, si cantik manis bernama Elyana ini terus memantapkan lagi laluan seninya apabila mula bergelar pelakon.

Filem Dunia Baru, selain drama bersiri Renjis antara lakonannya yang membuktikan bahawa Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal ini ternyata mampu mempelbagaikan kebolehannya. Bahkan tidak keterlaluan kalau dikatakan dia mempunyai bakat semula jadi dalam dunia lakonan.

Tapi pintasnya sewaktu sesi fotografi di Rafflesia The Pearl Centre, biarpun dunia lakonan semakin disukai, dia masih belum tegar meletakkan bidang ini sebagai kerjaya utama.



Katanya, dunia nyanyian masih menjadi kecintaan yang terus membara. “Saya tidak nafikan, lakonan bukanlah semudah yang disangka. Lakonan memerlukan iringan kekuatan mental dan fizikal. Sekarang pun saya begitu sibuk menyiapkan penggambaran drama 26 episod, Katrina Kamelia bagi siaran Astro Prima dan bergandingan dengan Nabil Mentor,” katanya yang pernah berlakon filem Gong dan cakera padat video, Seriau.

Sewaktu diumumkan memenangi kategori Artis Baru ketika itu, Elyana yang mesra membahasakan dirinya sebagai Nana tidak dapat hadir kerana datuknya meninggal dunia. Namun kali ini, selepas beberapa kali tidak dapat memeriahkan ABPBH, Elyana begitu teruja dan gembira untuk menyaksikan kegemilangan kemuncak malam itu nanti berterusan.

“Kali terakhir Nana tercalon dan menang pada 2002. Selepas itu nama Nana seperti tidak melekat sehinggalah pada anugerah tahun ini. Perasaan sudah lama tak terbabit cukup berlainan. Malahan Nana tidak berharap untuk pulang dengan trofi kedua. Saingan kali ini cukup hebat, lihat saja nama Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Stacy.

“Cukup sekadar berada dalam kelompok lima terbaik, tapi soal rezeki Nana sendiri tidak tahu nak cakap apa. Apa yang penting, Nana dapat sama-sama memeriahkan majlis dan memberi sokongan kepada ABPBH yang terus memartabatkan warisan seni kita dalam konteks popular,” katanya yang hadir ke Rafflesia, Park Royal, KL ditemani kekasih hatinya.

Elyana bakal menyarungkan persalinan rekaan Zery Zamry dan disolek oleh Amy Janz.

Mengaku sedang berkasih

MENELUSURI kisah peribadinya, Elyana juga antara selebriti yang cukup kencang dengan pelbagai kisah kurang enak. Namun katanya, kalau belum bersedia dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Antara kisah kontroversi yang timbul seperti dia tinggal serumah dengan kekasihnya, ‘buncit’ gara-gara buatan orang, termasuk kisahnya dengan Ally Iskandar yang diandaikan sudah tumbuh putik cinta.

“Nana dengan dia (Ally) hanya berkawan. Biarlah orang nak cakap apa. Semakin kita menafikannya, semakin pelik pula tanggapan sesetengah orang terhadap persahabatan kami.

“Nana memang tidak ada ramai kawan. Sesekali jumpa dan apabila sudah serasi, Nana boleh jadi rapat dengannya,” katanya yang sudah mempunyai kekasih hati (bukan Ally) sejak tiga tahun lalu.

Lumrah kehidupan, baginya setiap manusia tidak pernah dilahirkan dalam keadaan sempurna, malah tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Katanya setiap kontroversi yang tak diundang terpaksa ditelan biarpun penafian sudah dilakukan. “Tak kira siapa kita mahupun apa juga pangkat kita, pastinya kita tidak akan terlepas daripada diuji. Tiada apa yang perlu terasa, kerana inilah namanya kehidupan.

“Selagi Nana mampu bertahan dalam dunia seni dan Nana akan terus bekerja dalam bidang demi minat yang ada,” ungkapnya lagi.

Soal peribadi, tanpa berselindung Elyana sudah mula serius memikirkan masa depan yang lebih baik bersama kekasihnya. Malahan hal untuk ke arah gerbang perkahwinan sudah lama dirancang, namun sebagai manusia biasa, dia akur, Tuhan saja menentukan.

“Berbanding soal lain, memang Nana sudah mula memikirkan soal kehidupan akan datang. Rezeki boleh datang daripada mana-mana arah. Kalau sudah ada, pasti ada rezeki.

“Begitu juga dalam soal jodoh. Malah, Nana boleh katakan sudah mula terbayang soal kehidupan berkeluarga dan anak-anak,” katanya yang percaya kepada kata hati dan tidak teragak-agak untuk berkahwin andai jodoh kuat menyatukan dirinya dengan kekasih.

Gaya seperti maharani Mesir

PADA malam kemuncak ABPBH 2008 pada 12 April nanti, Elyana bakal menggayakan rekaan Zery Zamry selain menggunakan khidmat tatarias, Amy Janz. Kain kaftan merah rekaan Zamry itu cukup melekat ditubuh Elyana dan minta saja apa mood yang diingini, dia mampu merealisasikan.

“Dekat dekat tiga tahun saya mengenali Zery. Sebelum bertemu dengannya, Nana akui susah juga untuk kekal dengan mana-mana pereka fesyen dalam tempoh yang panjang. Amy Janz juga antara juru solek kegemaran Nana. Mereka ialah individu yang boleh mengubah Nana menjadi lain daripada kebiasaan.

“Memang orang lain susah nak fahami corak gaya Nana. Tapi tidak dengan Zery yang mengetengahkan konsep yang bersesuaian dengan Nana. Kami senang bekerjasama dan dia juga antara kawan Nana tidak sekadar hubungan antara artis dengan pereka fesyen,” katanya.

Sementara itu, Zery, 25, menyifatkan Elyana sebagai selebriti yang mempunyai cita rasa tersendiri dalam soal bergaya. Mula dikenali sejak 2005 dalam industri fesyen tempatan, nama Zery memang dilihat cukup sinonim dengan Elyana.

Lulusan ijazah fesyen, UiTM Shah Alam ini berpendapat bahawa Elyana bijak membawa busana yang dipakai tampak bernyawa.

“Kalau dia ada idea dan cadangan selalunya dia akan usulkan kepada saya. Yang saya perhatikan, dia mampu membawa gaya pakaian pelik yang tidak semua artis boleh lakukan. Letak apa saja fesyen kepadanya, dia bijak menghidupkan pakaian itu dengan cara yang tersendiri,” katanya yang baru saja membuka butik di deretan rumah kedai beralamat nombor 16C, Tingkat Dua, Jalan Tengku Ampuan Zabedah K, 9/K, 40100 Shah Alam (belakang Hotel Concorde).

Mengenai draf dan usul yang akan dilakukannya terhadap Elyana menjelang malam kemuncak nanti, Zery akan menggunakan kain songket berwarna hitam dan perak dengan sedikit sentuhan glam rock. Katanya lagi, soal sama ada Elyana akan berkaki ayam atau bersepatu atau tidak, semuanya dibiarkan menjadi tanda tanya.

“ABPBH kali ini saya ingin mengubah dirinya daripada remaja ke arah yang lebih matang. Saya mungkin akan menggunakan songket di bahagian atas atau di belakang. Menambah seri, saya akan letakkan perincian ‘sequine’ dengan kain sulam dari India daripada Euromoda. Tak dilupakan kain songket gamelan warisan Terengganu,” katanya yang boleh dihubungi di zeryzamry.blogspot.com

Info

Kerjaya seni Elyana


  • Baru menyambung kontrak bersama FMC Music selama lima tahun lagi dan percaya bahawa setiap syarikat rakaman ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Katanya, masalah teknikal itu lumrah dan berlaku di mana-mana. Demi mengenang jasa syarikat rakaman yang mula menaikkan namanya di persada seni, tak salah kiranya jika dia terus bekerjasama dengan FMC.

    Profil Elyana

    Nama Sebenar: Erneelya Elyana Emrizal

    Usia: 21 tahun

    Tarikh Lahir: 5 Julai 1987

    Asal: Shah Alam, Selangor

    Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik

    Kerjaya: Penyanyi dan pelakon

    Mula Menyanyi: 14 tahun

    Album: Satu, Segalanya, Bicara Mata Ini dan Jadi Diriku

    Penghargaan

  • Solekan dan rambut: Amy Janz (012-2763600)

  • Busana: Zery Zamry (017-6519056)

  • Koleksi barang kemas: Rafflesia The Pearl Centre
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: