Bagaikan di awangan apabila diumumkan namanya dalam Top 5 Artis Komedi Wanita Popular
AGAK jauh daripada publisiti namun lonjakan populariti yang diterima selepas menyertai program amal, Sehati Berdansa disusuli satu persatu drama lakonannya menemui penonton di layar kaca membuahkan sesuatu yang bermakna dalam karier seni, Amyza Aznan.
Selama 14 tahun mengabdikan diri dalam dunia lakonan, anak kelahiran Alor Gajah, Melaka tidak pernah mengimpikan pengiktirafan atau gelaran. Apa yang utama bagi Amyza, lakonannya meninggalkan kesan kepada peminat selain pengarah serta penerbit berpuas hati dengan hasil kerja diberikan.
Mengimpikan anugerah, kata Amyza adalah sesuatu yang tidak pernah ada dalam angan-angannya meskipun jauh di sudut hati, dia akur pengiktirafan mampu membawa kariernya ke satu tahap baru.
Dengan merendah diri katanya, sukar untuk dirinya mempercayai kerana selama ini nama yang membolosi Top 5 sememangnya popular dan sering menerima limpahan publisiti sama ada di media cetak atau elektronik.
Disebabkan itu dia berasa terasa dirinya bagaikan berada di awang-awangan tatkala dimaklumkan namanya membolosi Top 5 kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.
"Beberapa kali saya bertanya kembali, apakah ia benar atau sekadar gurauan? Saya berada dalam situasi antara percaya dan tidak kerana selama 14 tahun ini kali pertama saya melepasi Top 5.
"Disebabkan itu saya sangat terkejut kerana tidak menyangka peminat memberi penghargaan yang cukup tinggi atas hasil kerja saya selama ini," katanya teruja namun bersyukur dengan rahmat tidak diduga itu.
Pernah dulu selepas melahirkan cahaya mata, isteri kepada Khairil Izhar Mohd Nazir ini ragu memikirkan ruang untuk dia memperluaskan bakatnya. "Namun semua telahan saya beransur pergi apabila pengarah terus memberikan kepercayaan. Tawaran yang diberikan juga pelbagai, ada berat dan ringan cuma mungkin kebelakangan ini saya lebih menyerlah dalam drama komedi," katanya yang baru selesai penggambaran telefilem, Donat.
Kongsi Amyza, ketika tawaran lebat mendampinginya dia cuba bersikap tidak kelabu mata. Dia tidak mahu merebut semua peluang di depan mata hanya untuk mempertahankan populariti.
"Saya mengutamakan disiplin. Biarpun sudah lama dalam industri, saya tidak pernah mengambil ringan soal pengurusan masa. Pernah ketika bekerja dalam satu produksi bersama Sheila Rusly, saya terlewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan yang teruk.
"Berkali-kali saya menelefon, malah sempat membuat panggilan video kerana tidak mahu ada yang meragui alasan yang diberikan.
"Saya begitu menjaga soal kerja kerana bidang ini adalah periuk nasi dan punca pendapatan," kata ibu kepada Andre Mikhail, 3 tahun dan Adrian Adam, setahun.
Kembali berbicara mengenai pencalonannya dalam ABPBH 2008, kerap Amyza berseloroh, dia seperti sudah menjangka siapa yang akan membawa pulang trofi itu.
Bukan meragui kemampuan sendiri, cuma Amyza realistik beberapa finalis lain mempunyai kekuatan serta pengaruh mereka yang sukar untuk dinafikan. "Jujurnya, saya tidak banyak berlakon drama komedi dan kebanyakan watak komedi yang dibawakan hanya peranan kecil. Tetapi mungkin watak kecil itulah peminat nampak.
"Saya sendiri seperti tidak percaya apabila ramai muka baru tersenarai dalam kategori artis komedi kali ini. Ia di luar jangkaan," katanya.
Bergaya dengan sentuhan Khairi Sufi
SELOROH Amyza lagi, dia berasa janggal dihias cantik dan dipakaikan aksesori mahal kerana selama ini jarang menghadiri acara anugerah glamour.
Namun itu tidak bermakna Amyza kekok apabila diminta beraksi di depan kamera. Gayanya yang bersahaja turut mencuri perhatian pereka muda, Khairi Sufi untuk menata gayanya pada malam kemuncak ABPBH 2008 nanti.
Disebabkan ini pengalaman pertama Amyza memasuki Top 5, Khairi cuba mengilhamkan sesuatu yang bakal membuat dramatis itu menjadi tumpuan lensa.
"Saya memilih fabrik sifon rona coklat untuk melatari rekaan gaun yang mempunyai sentuhan era Greek kerana ia bersesuaian dengan personaliti dan warna rambut Amyza.
"Untuk diselaraskan dengan tema Sentuhan Tenun, saya menekankan penggunaan panel songket di bahagian bawah untuk membangkitkan elemen menarik pada gaun itu," katanya.
Kali pertama bekerja dengan Amyza, akui Khairi dia selesa kerana pelakon itu memberinya sepenuh kebebasan untuk mengilhamkan rekaan yang bersesuaian.
Pada pertemuan itu, Amyza ternyata begitu menggemari sentuhan Khairi yang memberikan pesona apabila penampilannya dilengkapkan dengan aksesori mutiara Laut Selatan Tahiti tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM290,000.
Info:
Nama Penuh: Amyza Azan
Tarikh Lahir: 18 Julai 1974
Asal: Alor Gajah, Melaka
Profesion: Pelakon, penyanyi dan pengacara
Hobi: Menyanyi, menari dan memasak
Suami: Khairil Izhar Mohd Nazir
Tarikh Perkahwinan: 12 September 2004
Lokasi Pernikahan : Masjid Sultan Hishamudin, Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai, Negeri Sembilan
Anak: Andre Mikhail, 3 tahun dan Adrian Adam, setahun
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: