ANTARA adegan dalam Shinjuku Incident. Biarpun menempuh pelbagai dugaan di negara orang, namun mereka kuat mempertahankan maruah bangsa. |
Jackie Chan dakwa Shinjuku Incident papar realiti pendatang China di Jepun
PERTEMUAN santai namun berlangsung dalam suasana penuh mesra memperlihatkan manifestasi keakraban aktor aksi lagak dan kung fu popular, Jackie Chan dengan khalayak di negara ini.
Riak keletihan masih terpapar di wajahnya kerana ketika sidang media, dia baru tiba dari Singapura dan pada malam pula perlu segera berlepas ke Beijing, China untuk menyambung penggambaran filem terbarunya.
Bagaimanapun, keterujaan untuk berkongsi pengalaman mengenai filem terbaru, Shinjuku Incident yang menemui penonton tempatan sejak 2 April lalu mengatasi segala-galanya.
Sidang media lebih setengah jam di sebuah hotel terkemuka di tengah-tengah ibu negara, itu turut disertai aktor kelahiran Berkeley, California, Amerika Syarikat, Daniel Wu.
“Banyak pengalaman baru yang saya tempuhi sepanjang penggambaran Shinjuku Incident,” kata Jackie mengenai filem lakonan pertamanya dengan sutradara, Derek Yee.
Buat pertama kali kata aktor kelahiran Victoria Peak, Hong Kong itu, dia berjanji dengan Derek untuk tidak terbabit dalam segala urusan penggambaran kecuali cuma menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon.
Dedah Jackie, banyak perkara baru mengenai lakonan yang perlu dilaluinya sepanjang menyiapkan filem yang berkisar mengenai pendatang China di Jepun.
“Buat pertama kali saya terpaksa berlakon adegan atas katil cuma mungkin babak itu tidak dapat ditonton penonton Malaysia kerana dipotong. Ini juga pengalaman pertama saya berlakon sebagai orang kampung.
“Filem ini memberikan saya pengalaman pertama membawakan watak hitam di mana saya teruk dipukul dan tewas dalam pertarungan.
“Mungkin pada permulaan ada peminat tidak dapat menerima pembaharuan dalam lakonan terbaru ini. Ketika menjayakan promosi filem ini di Jepun, peminat di sana menangis malah ramai merungut kerana saya teruk dipukul dan mati. Mereka tidak menyukainya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Jackie, identitinya sebagai pelakon aksi dan kung fu tidak sesekali hilang kerana penonton masih boleh menyaksikannya menerusi filem terbaru yang sedang menjalani penggambaran di Beijing.
Mengulas kerjasamanya dengan Derek, Jackie berkata, 15 tahun lalu pengarah itu pernah menawarkannya satu watak dalam sebuah filem namun ditolak.
“Saya enggan menerimanya kerana ia bukan filem aksi. Tetapi kali ini saya bersedia menerimanya kerana saya memang mengagumi sentuhan Derek. Untuk menyiapkan skrip Shinjuku Incident, Derek melakukan kajian selama 10 tahun. Selain itu mesejnya yang kuat juga membuat saya tertarik untuk terbabit dalam filem ini,” katanya.
Antara pengalaman yang tidak mampu dilupakan apabila dia yang membawakan watak Steelhead terpaksa berbogel dengan Daniel untuk adegan mandi ketika mula tiba di Jepun.
“Saya sendiri agak cuak untuk melakukannya namun atas tuntutan skrip, kami melakonkan juga adegan itu,” katanya.
Watak Steelhead katanya, diterima kerana dia tidak merasa sebarang keterujaan atau cabaran untuk mengulangi semula aksi lasak seperti yang pernah dibawanya dalam Rush Hour dan Police Story.
Bercerita lanjut mengenai filem itu, Jackie mengakui, agak terkilan apabila Shinjuku Incident diharamkan tayangan oleh kerajaan China disebabkan terlalu banyak paparan adegan ganas.
“Saya dan Derek sudah menonton keseluruhan filem yang kembali disunting tetapi berasa tidak berbaloi untuk ditayangkan kerana ia menjadi sebuah filem lain.
“Menghormati kreativiti dan kesungguhan Derek, kami sepakat melupakan saja hasrat menayangkan filem itu di China kerana Shinjuku Incident dihasilkan untuk tayangan seluruh dunia,” katanya.
Magis Shinjuku Incident
DANIEL wu yang pernah membintangi lebih 40 filem berkata, dia menemui pelbagai pengalaman hebat sepanjang penggambaran dan antara yang menarik apabila dapat bekerjasama dengan krew Jepun.
“Ia memberikan pengalaman baru kerana dapat mempelajari dua budaya kerja berbeza namun magis seni itu menjadikan filem ini cukup meninggalkan kesan,” katanya.
Pelakon yang dilabel “The Young Andy Lau” ini berkata, berada di Tokyo mengimbas semula kenangan manis ketika belajar di negara Matahari Terbit itu sewaktu berusia 16 tahun.
“Saya tidak berdepan sebarang masalah kerana Tokyo mempunyai populasi masyarakat Cina yang agak besar. Cuma yang membuat saya terkejut mereka masih menjunjung budaya asal malah menguasai bahasa Mandarin dengan baik,” katanya.
Berbicara mengenai watak Jie, Daniel berkata, pada awalnya dia cuba menyesuaikan karektor itu berdasarkan imaginasi daripada kelompok ekstrim di Hong Kong.
“Jie sudah lama menetap di Tokyo, jadi saya perlu menyesuaikan karektor itu serasi dengan proses adaptasi yang dilaluinya.
“Peranan itu agak sukar untuk direalisasikan kerana Jie umpama melalui satu putaran kehidupan yang berbeza dari awal hingga akhir filem,” katanya. Shinjuku Incident adalah filem ketiga yang menemukan pelakon berusia 34 tahun ini dengan Jackie selepas New Police Story dan Rob-B-Hood.
Sinopsis Shinjuku Incident
AWAL 1990-an, seorang mekanik traktor dari China, Steelhead (lakonan Jackie Chan) memasuki Jepun secara haram untuk mencari kekasihnya, Xiu Xiu (Xu Jinglei). Steelhead bersama teman baiknya, Jie bertemu di Shinjuku dan melakukan kerja buruh untuk mendapatkan wang. Namun, akhirnya Steelhead mendapat tahu Xiu Xiu sudah berkahwin dengan ketua Yakuza, Eguchi (Naota Takenaka). Dia bagaimanapun, meneruskan hidupnya di Jepun. Steelhead dihormati oleh masyarakat Cina di Shinjuku dan bekerja dengan Eguchi untuk mendapatkan kerakyatan Jepun. Namun, apa yang keamanan yang dicari bertukar sebaliknya apabila sebahagian pengikutnya dipergunakan Yakuza untuk menjual dadah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: