Peranan sebagai anggota Ruffedge tidak akan diketepikan
INDUSTRI nyanyian yang kurang memberangsangkan mendorong ramai penyanyi mencari alternatif untuk mengukuhkan taraf ekonomi mereka tanpa terlalu bergantung kepada nyanyian semata-mata.
Kelembapan dunia muzik begitu ketara apabila kebanyakan penyanyi lebih selesa memilih untuk tidak menghasilkan album penuh kerana bimbang penjualan album mereka tidak mampu balik modal.
Pelbagai cara dilakukan untuk meningkatkan taraf ekonomi. Jika kebanyakan artis cenderung kepada perniagaan makanan, anggota Ruffedge, Azan Addin pula memilih cabang berbeza namun mempunyai kena mengena dengan kerjaya nyanyian apabila memilih perniagaan pakaian.
Hubungan baik dengan pengasas pakaian hip hop jenama Echo Park juga memberi kelebihan kepada Azan apabila mendapat kepercayaan pemiliknya Alex Yong untuk membuka cawangan francais jenama berkenaan. Cawangan yang terletak di SACC Mall, Shah Alam adalah cawangan ke 12, Echo Park di seluruh Malaysia.
“Perkenalan kami bermula pada 2002 apabila Echo Park menjadi penaja pakaian Ruffedge. Ia kemudian disusuli dengan usaha sama menghasilkan jenama pakaian Ruffluv. Tahun lalu, saya terfikir kenapa tidak manfaatkan hubungan baik dengan Alex itu untuk menceburi bidang perniagaan pakaian yang ada kena mengena dengan kerjaya nyanyian saya.
“Selepas perbincangan dengan Alex serta abang ipar saya yang juga rakan kongsi dalam perniagaan ini, kami kemudian sepakat mengusahakan francais jenama Echo Park.
“Saya rasa tak salah ceburi perniagaan pakaian asalkan ia masih lagi ada kena mengena dengan kerjaya saya. Sebelum ini pun saya pernah melukis komik dan seni reka. Ada juga beberapa idea unik lain sedang saya fikirkan tetapi masih lagi dalam perancangan. Saya juga yakin keadaan ekonomi sekarang tidak akan menjejaskan perniagaan saya kerana satu hari nanti ia akan pulih juga,” katanya yang ditemui selepas pelancaran butiknya Sabtu lalu.
Antara artis yang hadir memeriahkan acara pada petang itu ialah kumpulan Ruffedge, Private Whizz, Rosin, Sheila OIAM, Altimate, Radhi OAG dan ramai lagi.
Menurut Azan lagi, keyakinan untuk terbabit di dalam perniagaan itu juga didorong oleh semangat diberikan oleh Ahmad Izham Omar kepadanya.
“Ahmad Izham memberi keyakinan bahawa Ruffedge sudah menjadi satu jenama yang sudah dikenali. Kami sudah berada dalam industri ini selama 11 tahun dan mempunyai pengikut yang tersendiri.
“Selama tempoh itu, Ruffedge belum pernah pudar lagi di mata peminat. Jadi inilah masanya untuk kami menuai hasil yang disemai selama ini,” kata Azan lagi.
Memilih Shah Alam untuk memulakan perniagaannya, Azan berkata dia memilih lokasi berkenaan kerana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Klang yang akan memudahkan peminat jenama untuk mendapatkan Echo Park tanpa perlu meredah kesesakan jalan raya untuk ke ibu negara.
Walaupun kini komitmen Azan bertambah apabila bergelar usahawan pula, namun dia tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya selaku anggota Ruffedge yang kini dimantapkan dengan kehadiran dua anggota baru Nine dan Iwan serta anggota sedia ada Zain.
Bagaimanapun, Ruffedge yang kini tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman tidak berhasrat untuk menghasilkan album penuh. Sebaliknya Ruffedge turut mengguna pakai kaedah yang popular ketika ini iaitu dengan mempertaruhkan single terlebih dulu. Kumpulan itu baru saja muncul dengan dua single Jangan Berhenti dan Rintihan Pengemis serta bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi.
Biarpun tidak melakukan promosi untuk dua lagu berkenaan, Azan berkata reaksi yang diterima daripada peminat amat menggalakkan dan akan melakukan promosi yang rancak sempena kemunculan single terbaru Ruffedge nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: