Friday, April 3, 2009

ABPBH 2008: Nora tampil gaya Bohemia

TANGGAL 12 April ini di Arena Stars Of Genting, pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, pelakon comel dan ibu tunggal kepada Putera Rayqal sah akan melaram rekaan bekas adik iparnya yang dilahirkan kembar iaitu Putri Azalea dan Putri Yasmin menerusi label mereka, PU3 yang beroperasi di The Curve, Damansara.

"Kami tidak ada masalah bekerjasama dengan mereka. Malahan kembar ini juga antara teman berlepak pada waktu lapang. Sudah dua tahun kami mengenali antara satu sama lain.

“Rekaan kembar ini sangat cantik, mengikuti peredaran zaman dan mereka antara perintis gaya di Malaysia yang cukup Nora kagumi," kata Nora yang mesra disapa `Yong' oleh Azalea mengikut gaya panggilan lazim orang Perak.

Nora juga sering diundang menjadi model dan menggayakan rekaan mereka. Putri Azalea atau mesra disapa Cho yang turut hadir ketika fotografi ini berlangsung berkata, dia dan kembarnya, Yasmin akan menggunakan pelbagai fabrik untuk Nora.

Yasmin bagaimanapun tidak hadir ke sesi fotografi ini kerana berada di Indonesia menghadiri majlis perkahwinan rakannya. Katanya lagi, gaya yang bakal dipadankan nanti bertentangan dengan kebiasaan Nora.

"Gaya rekaan itu nanti lebih cenderung ke arah Bohemia dengan jalinan fabrik sifon, sutera Satin dan beberapa lagi jenis fabrik. Korset mungkin menggunakan kain songket. Nora akan nampak lebih elegan dan matang," katanya yang seronok mendapat anak buah baru, Qal dan mengakui hubungannya dengan Nora sentiasa rapat.

Mengenai Sentuhan Tenun, Azalea melihat usaha yang diketengahkan Berita Harian sebagai mengangkat semula martabat karya khazanah tempatan yang patut dibanggakan. Menurut Azalea, tidak salah mengadunkan elemen tradisional dan moden kerana selagi ia tidak mencacatkan keindahan fabrik yang semula jadi, ia wajar diteruskan.

“Sesekali tak salah kita adunkan gaya kontemporari menggabungkan songket dengan fabrik lain kerana sebagai pereka fesyen kita tidak boleh bataskan kreativiti yang ada. Saya sokong semangat Berita Harian membangkitkan aura Melayu pada ABPBH ini,” katanya mengakhiri bicara.

Info PU3

  • Tiada kaitan dengan nama sitkom Puteri dan sebenarnya nama itu diambil daripada nama penuh mereka yang bermula dengan Puteri, iaitu Putri Azalea Ashram dan Putri Yasmin Ashram Ramli, berusia 27 tahun.
  • Beroperasi sejak dua tahun lalu, namun kembar ini mula mendekatkan diri dengan atmosfera fesyen tempatan baru setahun di samping menaja pakaian kepada selebriti.

  • Rekaan mereka mengikut arus zaman dan bergantung kepada cita rasa dan personaliti mereka yang dirasakan bersesuaian. Mengetengahkan koleksi pakaian siap tanpa berpegang kepada tema atau peralihan musim tertentu. Konsep dipilih adalah moden dan kasual, malah kebanyakan rekaan dihasilkan lebih cenderung kepada aliran fesyen yang menjadi ikutan mereka berdua.

  • Mensasarkan koleksi pakaian mereka termasuk aksesori bersesuaian daripada umur 16 hingga 50 tahun.

  • Selain Nora Danish yang gemar menggayakan jenama PU3, Sazzy Falak dan Yasmin Hani antara yang setia berkunjung ke butik mereka jika ada koleksi terbaru. Telefon: 03-77263306 dan e-mel: azalea@ pu3designs.com atau kunjungi butik PU3 di The Curve, Mutiara Damansara.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: