![]() |
| |
TIDAK ramai pelakon Thailand mampu mencipta nama di Malaysia. Bukannya lakonan mereka tidak menyakinkan tetapi jurang bahasa telah menyukarkan kemasukan mereka ke pasaran Malaysia.
Namun populariti filem seram, Shutter yang diterbitkan pada tahun 2004 telah memperkenalkan nama Ananda Everingham kepada audiens Malaysia. Ditambah dengan wajah kacak seiras Orlando Bloom, Ananda lebih senang diingati.
Jejaka kacukan Australia dan Laos itu juga fasih berbahasa Inggeris yang menjadikan dia lebih senang didekati. Pernah menjejak kaki ke Malaysia untuk mempromosikan filem sebelumnya, Me Myself (2007) dan The Coffin (2008), ramai sudah mengenali Ananda yang peramah itu.
Maka, apabila dia tidak dapat hadir untuk mempromosikan karya terbarunya, Queens of Langkasuka, ramai yang kecewa. Malah, Ananda yang ditemu bual menerusi telefon di pejabat RAM Entertainment memberitahu dia teringin untuk melawat Kuala Lumpur (KL) sekali lagi.
Dalam nada kecewa, dia suka melawat negara luar untuk mempromosikan filem lakonannya terutama KL. Katanya, setiap kali berada di KL, dia berasa seronok kerana bandar raya itu mempunyai banyak persamaan dengan Bangkok.

"Saat mempromosi filem adalah masa untuk saya bercuti. Saya akan mencuri masa berjalan dan mencuba makanan berlainan. Malah, masa bekerja ini merupakan masa saya akan dimanjakan. Jadi saya amat sedih kerana tidak dapat melawat KL kali ini," kata Ananda tanpa berselindung.
Bercerita mengenai wataknya sebagai Pari, seorang gipsi laut dalam filem terbarunya, Ananda memberitahu daripada 70 hari penggambaran, 50 hari rakaman dijalankan di pulau berlainan sekitar Thailand. Manakala, masa enam hari dihabiskan di dalam kolam untuk merakamkan babak di dalam air.
"Saya mula berenang sejak berusia 12 tahun. Maka penggambaran ini bukan satu masalah bagi saya.
"Malah, saya berasa selesa berada di dalam air daripada di darat. Salah satu sebab saya dipilih untuk berlakon dalam filem ini disebabkan saya pandai berenang dan menyelam.
"Namun, ramai orang yang tidak tahan telah jatuh sakit. Ada babak di bawah air yang melibatkan manusia dan ada yang merupakan patung. Maka, ada ramai juga yang takut untuk berada dalam air dengan patung-patung itu. Gambaran itu amat menakutkan," jelas Ananda yang bakal terlibat dalam filem aksi, Red Eagle.
Mengisahkan peperangan antara lanun, Black Raven dan kerajaan Langkasuka, Pari ingin membalas dendam selepas lanun jahat itu membunuh isteri, keluarga serta orang di kampungnya.
![]() |
| |
Mempelajari kuasa yang mampu berkomunikasi dan mengawal hidupan laut, filem epik ini menggabungkan sedikit fantasi serta sejarah lama Pattani.
Diarahkan oleh Nonzee Nimibutr, karya ini pada mulanya diberi judul Queens of Pattani. Namun, atas konflik yang berlaku di Pattani, filem ini ditukar judul bagi mengelakkan sebarang masalah melibatkan politik.
Tidak pernah terlibat dalam produksi mega yang seperti ini, Ananda menyatakan pengalaman berlakon dengan krew skala begitu besar adalah sesuatu yang baru.
"Hampir 400 orang diperlukan di lokasi penggambaran filem itu. Selalunya saya hanya berlakon dengan lebih kurang 60 orang krew sahaja. Maka keakrabannya amat berlainan.
"Dalam filem skala besar pula, saya hanya datang untuk menjayakan babak saya dan pulang. Maka, saya jarang berjumpa dengan krew atau pelakon lain kecuali mereka yang ada babak dengan saya," cerita Ananda.
![]() |
| PENAMPILAN terbaru Ananda khusus untuk filem Queens of Langkasuka. |
Menyifatkan Queens of Langkasuka sebuah filem yang unik, karya ini juga dijayakan oleh bakat dari China, Jepun dan Eropah. Menyarankan orang ramai untuk menonton filem ini yang menggunakan banyak kesan efek khas, karya ini menerima sambutan memberangsangkan di Thailand semasa ditayangkan hujung tahun lalu.
"Kolam yang digunakan adalah sedalam tujuh meter dan dikelilingi dengan skrin biru. Hidupan laut dan kubu Langkasuka juga merupakan kesan khas. Saya difahamkan hampir 300 syot yang dijayakan dengan kesan khas," ujarnya dalam perasaan teruja.
Mengalami kecederaan ringan semasa penggambaran, Ananda yang memiliki sifat lalai sudah biasa dengan kecederaan. Namun, filem ini tidak memerlukan dia melakukan banyak aksi kecuali berenang.
Mengambil masa untuk bercuti seketika sebelum memulakan kerja pada bulan Ogos, Ananda sebenarnya sedang berehat kerana terlibat dalam satu kemalangan kira-kira empat bulan lalu.
![]() |
| ANANDA yang meminati pengarah Woody Allen mahu mencuba berlakon filem komedi. |
"Selain daripada berlakon, saya mempunyai minat mendalam terhadap motosikal. Walaupun sudah banyak kali terlibat dalam kemalangan motosikal, ini merupakan yang paling teruk. Saya ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) selama beberapa hari dan berada di hospital selama tiga minggu.
"Kaki saya pula dibalut simen selama dua bulan dan kini masih menjalankan terapi. Maka, tulang kaki saya belum sembuh sepenuhnya buat masa ini. Jadi percutian ini adalah sesuatu yang 'dipaksa'," katanya yang tidak pernah bercuti sejak empat tahun lalu.
Mahu mencuba untuk berlakon di Malaysia jika diberi peluang, jejaka berusia 27 tahun ini tidak mempunyai watak-watak khas yang ingin dijayakan.
Cuma jika boleh, dia mahu mencuba filem komedi seperti karya arahan Woody Allen. "Saya suka filem-filem Woody Allen. Selain komedi, saya juga mahu mencuba filem muzikal walaupun tidak pandai menyanyi atau menari," tambahnya yang menyukai filem Vicky Cristina Barcelona.




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: