
PEMILIHAN kumpulan yang terkenal tahun 70-an, Black Dog Bone (BDB) untuk mewarnai sambutan Hari Ibu pada Mei nanti, menjadi keputusan paling tepat.
BDB akan muncul dalam konsert istimewa bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 8, 9 dan 10 Mei bermula pukul 8.30 malam.
Selepas mengalami perpecahan sejak 27 tahun lepas, ahli BDB masih bersatu dan sering bertemu. Itu memang tidak dapat dinafikan.
Walaupun rata-rata ahli kumpulan berasal dari Singapura itu sudah berusia 50 tahun ke atas dan membuat haluan masing-masing, namun mereka tetap bertemu apabila ada kelapangan.
BDB dibarisi oleh Jatt selaku penyanyi dan pemain drum, Izhar (gitar), Masron Ali (trompet dan trombon), Hamid Ahmad (bass), James Chai (tenor, saksofon, flute dan tamborin) dan Michael Heng (keyboard).
![]() |
| SIAPA sangka Black Dog Bone masih wujud selepas 36 tahun ditubuhkan." |
Hubungan akrab mereka masih jelas terpancar. Pembubaran BDB bukan jadi penghalang kepada mereka untuk memutuskan perhubungan yang terjalin.
Menurut vokalis dan pemain drum BDB, Jatt, ahli kumpulan ini mengamalkan sikap saling menghormati sesama sendiri.
Itu tonggak utama yang menyebabkan mereka masih mampu duduk semeja, berborak seperti biasa walaupun BDB sudah berpecah.
"Tipulah kalau ada ahli dalam satu-satu kumpulan tidak pernah berselisih pendapat dan bermasam muka. Sedangkan lidah lagi tergigit, sama sahaja perumpamaan untuk perkahwinan.
"Kami pernah gaduh hingga hendak tertumbuk ahli kumpulan sendiri, namun nasib baik semuanya dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat.
"Kalau ada perasaan marah atau tidak puas hati sekalipun, kami tetap berbincang baik-baik. Ini kerana kami mahu mengelakkan sebarang perasaan tidak selesa di antara satu sama lain.
"Kami tetap bergurau macam orang biasa. Gurauan ini adakalanya bersikap sinikal, namun kami tidak mudah ambil hati atau melenting tidak tentu pasal.
"Kalau ada teguran, kami akan sampaikan dengan bahasa yang elok. Malah kami tidak kisah untuk memberi teguran membina sesama sendiri demi kebaikan bersama," akui Jatt sambil dipersetujui oleh ahli lain.
![]() |
| KEMBALI bersatu atas nama muzik, (dari kiri) Hamid, James, Jatt, Izhar, Masron dan Michael. |
Sambung Jatt lagi, kalau tiada sesiapa yang sibuk dengan komitmen kerja, mereka akan bertemu walaupun tidak sekerap dahulu.
"Untuk konsert di IB ini sendiri, kami jalani latihan selama dua kali seminggu di Singapura. Latihan tetap berjalan walaupun mungkin ada di antara ahli tidak dapat hadir.
"Namun, kalau hujung minggu pula, boleh dikatakan hampir semua ahli kami dapat hadir dan mengadakan latihan bersama-sama untuk konsert ini.
"Masing-masing teruja untuk melakukan persembahan di KL setelah lama tidak menyanyi sebagai sebuah kumpulan," ungkap Jatt teruja.
Jelas Izhar pula, konsert di IB nanti dianggap cukup signifikan untuk perjuangan BDB setelah mereka bersurai sekali gus membuat hal masing-masing.
"Kami yang diibaratkan mati hidup semula berasa sungguh bersyukur kerana diberikan peluang untuk kembali bersatu sambil mengingati semula kenangan bersama BDB sebelum ini.
![]() |
| AWET muda. Anggota termuda Black Dog Bone, Jatt memiliki vokal yang masih mantap. |
"Kami terkejut dan terharu apabila pihak IB, Box Office (M) dan Kumpulan Utusan mengundang kami untuk menjayakan persembahan besar-besaran di dewan berprestij IB.
"Walaupun berat tanggungjawab yang diberikan, namun kami tidak akan mempersia-siakan peluang keemasan ini.
"Lantaran itu, kami akan memperlihatkan persembahan terbaik selama tiga hari berturut-turut ini demi memberikan kepuasan kepada penonton yang hadir.
"Sudah pastilah ada yang datang dengan jangkaan tinggi melangit terhadap konsert BDB nanti, oleh itu kami akan berusaha untuk menggembirakan hati semua pihak. Itu janji kami.
"Konsert ini ibarat ujian untuk menonjolkan kemampuan BDB. Kalau gagal, maka kami juga akan gagal," ungkapnya serius.
Ditubuhkan pada 1973, hingga kini peminat tetap menyanjungi BDB sebagai antara kumpulan terhebat yang pernah memberi warna tersendiri kepada dunia muzik Malaysia dan Singapura.
Lagu-lagu seperti Si Gadis Ayu, Khayalan, Geram, Dahulu Dan Sekarang adalah antara karya yang menjadi siulan anak-anak muda akhir tahun 70-an dan terus diminati hingga kini.
Kelebihan BDB tidak sekadar mempersembahkan lagu-lagu berentak rock dan pop sahaja, malah kumpulan ini juga boleh menyanyikan lagu balada, joget, disko dan dangdut.

Justeru, kehadiran BDB di pentas IB nanti dilihat tidak hanya mampu mengubati kerinduan peminat, malah turut mengembalikan nostalgia yang pernah dikecapi masa dahulu.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Box Office, Ali Bakar yang percaya sambutan peminat terhadap BDB akan menjadi hebat disebabkan ini merupakan konsert terbesar kumpulan itu di negara ini selepas 32 tahun.
"Masih ramai sebenarnya peminat yang menantikan konsert ini kerana sudah terlalu lama BDB tidak membuat konsert di Malaysia.
"Saya yakin konsert ini dapat mencatat jualan tiket yang membanggakan kelak," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut di IB, Kuala Lumpur minggu lalu.
Kata Ali lagi, walaupun menjangkau usia melebihi 30 tahun tidak mengadakan konsert secara besar-besaran, BDB juga masih punya ramai peminat, selain lagu-lagu mereka yang tergolong sebagai malar-segar.
"Konsert BDB kali ini dianggap cukup istimewa kerana ia bukan sahaja mampu mengimbas nostalgia peminat sedia ada, bahkan peminat generasi baru juga berpeluang mendengar alunan lagu-lagu mereka yang pernah popular sebelum ini.
"Lagu-lagu BDB juga dianggap masih relevan untuk didengar sampai bila-bila apatah lagi kumpulan ini menampilkan ahli-ahlinya yang boleh menyanyi, selain Jatt sebagai penyanyi utama," jelasnya.
Konsert itu juga diserikan dengan persembahan istimewa dua bekas ahli kumpulan Carefree, Jay Jay dan Rahim Othman.
Menerusi konsert anjuran IB dengan kerjasama Kumpulan Utusan dan Sinar FM itu, tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM65, RM85, RM155 dan RM205.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: