Thursday, April 16, 2009

Cerut ciplak

Populariti cerut Cuba sememangnya tiada tandingan. Lantaran itulah, pelancong tetap mendapatkannya walaupun tiruan.


PEDRO sedang menggulung cerut palsu untuk dijual pada harga yang lebih murah daripada harga cerut asli.


"SAYA sentiasa ketakutan," kata Pedro sambil dengan cekap menggulung daun tembakau besar untuk dijadikan cerut Havana terkenal yang palsu di dalam sebuah bengkel haram di ibu kota Cuba.

Jika tertangkap di bengkel haramnya yang dikenali Chinchal, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara.

"Ini sebenarnya bukan untuk perniagaan tetapi keperluan untuk hidup," jelas Pedro di sebalik kesamaran cahaya bangunan usang tersebut.

Negara Cuba semakin menderita akibat krisis ekonomi teruk berpanjangan dan ditambah pula kejadian ribut taufan sebanyak dua kali pada tahun lalu.

Ini diburukkan lagi dengan tindakan kerajaan mengambil langkah tegas untuk membasmi perdagangan haram termasuk cerut. Mengikut laporan yang dikeluarkan di pameran perdagangan Cuba, didapati hasil penjualan cerut terkenal itu jatuh sebanyak tiga peratus pada tahun lalu.

Buat masa sekarang, pekerja-pekerja seperti Pedro tidak merancang untuk berhenti menjalankan perniagaan yang menguntungkan itu walaupun mereka berdepan dengan risiko.


PARA petani dari daerah barat Pinar del Rio membekalkan daun-daun tembakau kepada pembuat cerut haram.


Anak muda berusia 33 tahun, memakai subang dan berpakaian sukan itu mempelajari seni kraf membuat cerut di kilang-kilang tempatan yang mengeluarkan jenama terkenal seperti Cohiba, Romeo y Julieta dan Montecristo.

Dia biasanya meraih pendapatan bulanan sebanyak RM81 dan enggan mendedahkan tambahan pendapatan yang diperolehnya sejak berkecimpung dalam pasaran gelap, lima tahun lalu.

Dengan kecekapan tangan Pedro, dia boleh menghasilkan 100 batang cerut setiap hari. Sekotak yang berisi 25 batang cerut dijual pada harga antara RM144 sehingga RM192 iaitu empat atau lima kali ganda lebih murah daripada harga sebenar.

Sejak kebelakangan ini, kerajaan pimpinan Presiden Raul Castro menegaskan keperluan untuk mempertahankan nilai revolusi pulau itu yang berusia 50 tahun dalam kempen-kempennya menentang korupsi.

Kempen-kempennya itu telah memberi impak kepada pendapatan tahunan tembakau yang bernilai AS$390 juta (RM1.4 bilion).


AKTIVITI menciplak dan pasaran gelap adalah dua malapetaka yang benar-benar memberi kesan buruk kepada imej cerut Havana.


"Aktiviti menciplak dan pasaran gelap adalah dua malapetaka yang benar-benar memberi kesan buruk kepada imej cerut Havana.

"Selain daripada produk-produk yang dihasilkan adalah palsu, ia turut merosakkan rangkaian perniagaan yang telah dibina selama ini," kata Pengarah Undang-Undang Anglo-Cuba kumpulan Habanos, Adargelio Garrido.

Setiap pelancong dibenarkan membawa pulang dua kotak cerut tetapi pihak berkuasa masih lagi merampas antara 1,500 dan 1,700 kotak setiap bulan yang dibuat secara haram di bengkel-bengkel seperti Pedro.

Para petani dari daerah barat Pinar del Rio iaitu tempat lahirnya tembakau Cuba yang bermutu tinggi membekalkan daun-daun tembakau manakala pekerja-pekerja kilang mencuri kotak-kotak kayu, kertas gulung, setem dan sijil-sijil sah yang lain.

"Tidaklah begitu susah untuk mendapatkan bekalan dari kilang-kilang kerana pemantauan tidak dilakukan serentak. Keadaan ini membuatkan ia tidak sesuai untuk pemeriksaan," kata salah seorang daripada penjual-penjual pasaran gelap, Juan, 42.

Pedro menceritakan, dia terjebak dengan perdagangan cerut haram sejak lima tahun lalu ketika bapanya jatuh sakit. Dia menjalankan operasi di rumah lamanya dan menukar salah satu biliknya menjadi bengkel haram.

"Tiada sesiapa tahu tentang perkara ini, termasuklah ahli keluarga saya. Ia amat berbahaya.

"Saya mahu berhenti atau bekerja di luar Cuba untuk memperoleh pendapatan yang berpadanan dengan kerja yang dibuat," ungkapnya dengan nada perlahan sambil menyusun cerut di atas meja yang dikelilingi daun-daun tembakau yang bertaburan di lantai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: