Thursday, October 23, 2014

Promosi produk Negeri Sembilan


Noorshila (kiri) dan Nurrul Nadia menunjukkan produknya pada Pameran Keusahawan Negeri Sembilan baru-baru ini.


BERTITIK-tolak daripada pertanyaan seorang teman yang ingin tahu mengenai cara penyediaan makanan tradisi Negeri Sembilan dengan mudah dan ringkas, Itri Hanif memperoleh idea untuk mencipta pes segera dalam bentuk peket dan botol.
Dinamakan sebagai Nismilan, inovasi anak jati Kuala Pilah itu kini mempunyai 18 jenis pes menu makanan tradisional asli dari Negeri Sembilan.
“Setiap pes tersebut menggunakan bahan-bahan segar dan asli bagi menjamin kualiti sama seperti hidangan asal,” ujar Itri yang menggunakan resipi tradisi keluarganya.
Diusahakan bersama suaminya, Faizal Faiz, pes tersebut dibahagikan kepada dua jenis iaitu sedia makan yang dijual dengan harga RM7 dan sedia masak (RM5).
Antara jenis pes sedia makan ialah masak lemak cili api, sambal ikan bilis dan sambal sumbat ikan cencaru. Bagi sedia masak pula hidangan pes yang ada ialah masak lemak, rendang negeri dan ikan bakar.
“Produk kami boleh didapati dengan mudah di sekitar Kuala Pilah terutama di sepanjang jalan di Terachi yang banyak menjual makanan salai,” katanya.
Dia menambah, penjualan dalam talian produk keluarannya mendapat permintaan daripada pembeli luar negara seperti Sweden, Singapura dan Brunei.
Itri ditemui ketika Pameran Keusahawan Negeri Sembilan yang diadakan di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebanyak 37 usahawan Negeri Sembilan mempamerkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) daripada pelbagai produk makanan, perubatan dan pakaian pada program anjuran Mara itu.
Pengarah Mara Negeri, Negeri Sembilan, Mumfahir Suparja berkata, pameran itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para usahawan meluaskan lagi pasaran mereka selain memperkenalkan produk kepada pelanggan baharu.
“Kami berharap mereka dapat menggunakan peluang yang ada untuk mempromosikan produk ciptaan mereka dan menemui peluang perniagaan di luar Negeri Sembilan,” ujarnya.
Peluang
Salah seorang peserta, Hafieza Hassanah Abu Hasan berpuas hati dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang datang ke pameran selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Oktober lalu.
“Penganjuran pameran ini memberi peluang sama rata kepada usahawan tidak kira baru atau lama.
“Pendedahan tersebut juga memberi peluang kepada kami untuk bertemu pelanggan secara terus dan pada masa sama memperkenalkan produk yang dibawa,” ujarnya yang mengusahakan jenama busana muslimah, Hijabulous Hassnah.
Memperkenalkan tudung dua jenis tudung iaitu bawal dan selendang, Hafieza memberitahu jenama tudungnya menekankan keselesaan menerusi material yang digunakan.
“Saya menggunakan material seperti sifon dan satin kerana ia mudah dan selesa dipakai. Malah, pemilihan warna juga memainkan peranan penting kerana banyak memilih palet yang sukar didapati di pasaran,” ujarnya

Hafieza mengusahakan produk jenama busana muslimah, Hijabulous Hassnah.


Hijabulous Hassnah yang mempunyai sebuah gerai jualan di Tumpat turut beroperasi secara dalam talian menerusi Facebook dan Instagram.
Rempah Diraja yang mula diperkenalkan pada tahun lepas mula mendapat permintaan dari negara jiran, Singapura selepas memilih medium pemasaran yang sama.
Diusahakan oleh penyanyi popular 80-an, Noorshila Amin, produk itu mempunyai pelbagai fungsi dalam masakan sama ada untuk menggoreng, perapan atau bahan tambahan makanan.
“Ia juga boleh digunakan sebagai bahan pengganti serbuk kari atau bahan pemekat yang biasanya menggunakan tepung jagung,” ujar anak kepada penyanyi itu, Nurrul Nadia Norrizan.
Selain rempah, terdapat dua lagi produk yang diperkenalkan usahawan tersebut iaitu pes soto dan serbuk perasa.
Tempahan
Nurrul Nadia memberitahu, idea penciptaan produk itu tercetus apabila salah seorang pelanggan awal mereka mempromosikan Rempah Diraja di laman sosial.
“Selepas itu, kami mula menerima tempahan kerana pelanggan menggemari rempah tersebut yang boleh digunakan dalam pelbagai cara,” kata Nurrul Nadia.
Bagi Juliana Baharin, percubaan menceburi industri kulinari membuka cabang niaga baharu menerusi produk bakeri yang dinamakan Jaz’s Rich.
Keberaniannya membuahkan hasil apabila jenama Jaz’s Rich kini boleh didapati di tiga cawangan pasar raya borong Mydin iaitu di Seremban, Negeri Sembilan; Kuala Nerus, Terengganu dan Subang Jaya, Selangor.
“Kami turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi ejen dengan modal permulaan serendah RM50 sahaja.
“Ia boleh disertai oleh sesiapa sahaja khususnya pelajar institut pengajian tinggi dan suri rumah bagi menambah punca pendapatan,” jelas Juliana yang berasal dari Seremban.
Juliana menambah, orang ramai juga boleh menempah produk Jaz’s Rich untuk dijadikan cenderamata perkahwinan serendah RM0.99 manakala bagi pakej hamper bermula RM100 ke atas.
Pameran tersebut juga berobjektif untuk memperkenalkan tradisi dan budaya Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat perpatih.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti persembahan muzik, makanan tradisional selain memperkenalkan dialek negeri kepada orang awam.
Selepas Negeri Sembilan, Mara akan menganjurkan pameran dari usahawan Melaka pada bulan November dan Pulau Pinang pada Disember depan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: