Thursday, October 23, 2014

Pelancong nadi Lembah Hunza



PENGUNJUNG yang datang ke Lembah Hunza mahu mengelak bahang musim panas yang akan berakhir pada bulan ini.


WALAUPUN kehadiran pelancong luar negara mencatat penurunan yang ketara selepas kejadian serangan berdarah tahun lalu, lokasi indah di utara Pakistan, Lembah Hunza masih mendapat kunjungan daripada penduduk tempatan. Tiada rekod rasmi yang mengesahkan
peningkatan tersebut tetapi kebanyakan pemilik hotel mampu tersenyum gembira kerana pertambahan pelancong domestik yang membanjiri penginapan di sekitar destinasi itu.
Pengunjung yang datang ke Lembah Hunza rata-rata cuba mengelak bahang musim panas yang bakal berakhir pada bulan ini. Ramai pelancong mengambil gambar kenangan di lokasi purba, Baltit Fort di kawasan bandar di Karimabad. Ia menjadi saksi kepada tinggalan sejarah abad pertama yang turut diindahkan dengan saujana pandangan hutan menghijau dan puncak bersalji tumpuan kepada pendaki seluruh dunia.
Kes pembunuhan 10 orang pendaki luar di kem penginapan pergunungan Nanga Parbat tahun lepas mengakibatkan kejatuhan kedatangan pelancong antarabangsa. Bagi mengatasi masalah tersebut, pelbagai kempen dilakukan untuk menarik pelancong dalam negara menerusi media massa.
Biarpun perubahan positif mula ketara, penduduk tempatan berasa kurang senang dengan perbezaan kepercayaan dan budaya yang dibawa oleh pelancong yang kebanyakannya berasal dari timur Punjab dan Karachi. Wujud rungutan yang mengatakan tindakan biadab para pelancong tersebut selain dikatakan menjadi punca utama kepada masalah pencemaran.
“Tahun ini, tiada pelancong luar negara, hanya warga tempatan. Mereka tidak membeli barangan yang dijual di sini,” ujar Saddar Karim yang mempunyai sebuah kedai barangan mendaki.
Terkenal sebagai lokasi yang menjanjikan pemandangan menakjubkan di samping hospitaliti berteraskan Islam, penduduk tempatan sangat menghargai kedatangan pelancong luar negara memandangkan mereka banyak membantu pembangunan sosial dan fizikal Lembah Hunza .
Sekolah
Sejak kedatangan mereka lewat abad ke-20, sebanyak 12 buah sekolah dibina dan pelaburan tinggi bagi meningkatkan taraf hidup penduduk terutamanya di kawasan kampung.
Salah satunya ialah Sekolah Awam Memorial Hasegawa yang dibina pada tahun 1995 bagi mengenang pendaki terkenal dari Jepun, Tuseno Hasegawa. Sekolah itu memper­kenalkan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi selain memainkan peranan penting kepada peningkatan kawasan itu.
“Pelancongan antarabangsa memberikan sumbangan besar dalam mengangkat sosio ekonomi Lembah Hunza dan kami sangat bersyukur kepada usaha itu,” ujar Saddar.
Pengurus Baltit Fort, Sherbaz Kaleem berkata, ketika musim puncak sebelum tahun 2001, jumlah pengunjung luar negara dianggarkan antara 200 hingga 300 orang sehari. Kemasukan pelancong merudum selepas peristiwa 9/11 di Amerika Syarikat tetapi mula meningkat sejak sedekad lalu.
Perubahan itu terus terhenti Jun lepas apabila berlakunya pembunuhan di kem penginapan pendaki di Nanga Parbat yang kini mendapat gelaran secara meluas di seluruh dunia sebagai Gunung Pembunuh.
Ia merupakan serangan paling dahsyat yang berlaku di negara yang mempunyai masalah dengan senjata nuklear sejak 10 tahun lalu itu. Sherbaz memberitahu, sejak kes pembunuhan tersebut, ramai pelancong luar negara membatalkan tempahan awal ke Lembah Hunza. Kini, pengunjung di Baltit Fort hanya antara dua hingga tiga orang dalam sehari.
“Mereka turut berada dalam ketakutan apabila ada yang membuat ugutan supaya keluar dari pada kawasan ini,” ujarnya.

JUMLAH pengunjung luar negara dianggarkan antara 200 hingga 300 orang sehari sebelum tahun 2001.


Pencemaran
Pemilik agensi pelancongan, Hunza Holiday, Ahmed Ali memberitahu, mereka kini mengubah strategi pemasaran dengan memberi tumpuan kepada pelancong tempatan.
“Sudah tiba masanya kami menumpukan pengunjung domestik berbanding luar negara kerana mereka tidak terkesan kepada isu politik dan keselamatan. Selain itu, ia juga membantu untuk merapatkan jurang perbezaan budaya yang berlaku di Pakistan,” ulasnya.
Namun, kedatangan pelancong tempatan tidak disukai kerana mereka dikatakan menjadi punca kepada pencemaran alam.
“Mereka membuang sampah merata-rata sehingga membawa masalah pencemaran yang teruk di sini,” keluh pemilik rumah tumpang, Ahmed.
Masyarakat setempat juga mengadu bahawa amalan tradisi termasuk penganut Syiah berfahaman Ismailiah turut mengancam keadaan di kawasan tersebut. Ia diakui oleh pemerhati sosial tempatan, Aziz Ali Dad yang berkata, perbezaan ketara dapat dilihat antara pelancong tempatan dan luar negara.
“Pelancong luar lebih prihatin kepada tradisi tempatan dan menunjukkan hormat kepada mereka. Perkara tersebut tidak terjadi dalam kalangan pelancong tempatan.
“Sebahagian daripada pelancong tempatan tetap dengan identiti Wahabi Islam yang diamalkan di selatan Pakistan sehingga mewujudkan perselisihan faham yang mengancam ritual agama dan budaya tempatan,” ujarnya
Ketika melakukan lawatan di Baltit Fort baru-baru ini, Sherbaz pernah ditanya oleh sekumpulan pelajar dari Punjab mengenai perbezaan pendapat agama di Hunza.
“Mereka hairan kerana ada penduduk tempatan yang meminum wain dan tidak mengerjakan solat dengan sempurna,” katanya.
Dia tidak menjawab soalan tersebut tetapi hanya tersenyum bagi mengelakkan ia berlanjutan kepada pergaduhan dan percanggahan pendapat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: