Thursday, October 23, 2014

Pinjaman bak talian hayat



SEKITAR pukul 5 petang, seorang lelaki berusia lewat 20-an memeriksa keadaan motosikalnya buat kali terakhir sebelum memulakan perjalanan sejauh 500 kilometer (km) dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur.
Muhd. Sofi Mohd. Isa, 29, turut mengira semula stok barangan yang diisi dalam dua buah beg yang dibawanya itu mencukupi untuk tempoh selama seminggu.
Bertemankan sahabat karibnya, Ikram Mohd. Shariff, 31, mereka perlu tiba di Kuala Lumpur sebelum pukul 12 tengah malam.
Kedua-dua pemuda itu memerlukan rehat yang cukup sebelum memulakan perniagaan di sekitar ibu kota bermula dari pukul 7 pagi sehingga 11 malam keesokan harinya.
Rutin tersebut berlanjutan selama setahun apabila setiap seminggu atau dua minggu sekali, Muhd. Sofi perlu pulang ke Alor Setar untuk mengambil stok dan kembali ke Kuala Lumpur bagi menjual produk berasaskan makanan sunah Rasulullah SAW dari Yemen itu.
Berniaga di masjid
Bermula dengan skala kecil menjual madu asli, minyak habbatus sauda dan minyak wangi daripada kasturi, Muhd. Sofi memberitahu, pada peringkat awal perniagaan, dia menyasarkan di surau dan di sekitar ibu kota.
“Setiap kali tiba di kawasan masjid dan surau, saya memohon kebenaran kepada ahli kariah untuk berniaga di kawasan pintu pagar masjid. Di situ, saya mengedarkan risalah mengenai produk yang kami pasarkan.
“Cabaran utama pada ketika itu ialah untuk meyakinkan pelanggan. Maklum sahaja, kami tidak mempunyai kedai, bawa barang dengan menggunakan motosikal biasa. Produk yang paling mahal pada ketika itu ialah madu asli Yemen yang berharga RM100 (250 gram) dan RM400 (500 gram).
“Peringkat awal perniagaan lebih tertumpu kepada penerangan produk dan makanan sunah nabi sebelum saya mengumpul testimoni. Selain itu, kami turut mengamalkan sistem toleransi jika pelanggan tidak berpuas hati dengan hasil yang diingini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kira-kira setahun selepas itu, Muhd. Sofi dan rakannya berjaya memiliki beberapa tapak di pasar malam antaranya di Damansara. Selepas itu, dia memasang impian untuk menyediakan pusat sehenti pelbagai produk makanan dari Asia Barat dan produk tempatan yang halal.

AHMAD SHADAN RANI (dua kanan) menyerahkan buku Aspirasi Keusahawanan kepada Muhd. Sofi di Iyamani G-Mart di Ampang Waterfront, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sekitar tahun 2011, Muhd. Sofi menjalin hubungan baik dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) kerana ketika itu dia sedang mencari dana untuk menyuntik modal bagi penambahan stok dan pengubahsuaian premis.
Kos untuk menyediakan stok yang cukup di kedai itu menjadi keutamaan Muhd. Sofi dan dia membuat kajian mengenai perbankan pinjaman kewangan tersebut.
Menurut beliau, pinjaman secara konvensional agak sukar kerana pihak bank hanya memproses permohonan peminjam yang mempunyai slip gaji dan kadang-kadang ia terpaksa melalui kerenah birokrasi yang rumit. Namun, beliau tidak berdepan dengan masalah itu sepanjang membuat permohonan pinjaman dengan skim mikro kewangan BSN.
“Kali pertama berurusan dengan BSN, saya memohon pinjaman sebanyak RM15,000 dan berjaya membuka sebuah premis seluas 140 meter persegi.
“BSN meluluskan pinjaman dalam tempoh kira-kira dua minggu. Perkhidmatan yang disediakan oleh BSN amat baik kerana pihak bank sering memaklumkan kepada kami status terkini permohonan pinjaman.
“Selepas pinjaman diluluskan, wakil BSN turun padang untuk memantau pergerakan perniagaan saya selain memberikan tip bagi memajukan perusahaan,” katanya yang kini menjadi Pengarah Urusan Iyamani Global Sdn. Bhd. (Iyamani Global) dan pemilik bersama Iyamani G-Mart.
Iyamani Global yang kini merupakan perniagaan rakan kongsi milik bersama Ikram dan Shamsul Musa, 34, berjaya melangsaikan pinjaman sebanyak RM15,000 dalam tempoh kurang lima tahun.
Luaskan empayar
Setelah empat tahun, Iyamani Global meluaskan empayar dalam menyediakan produk makanan dan minuman dari Asia Barat selain mempunyai butik pakaian Islam dan pusat rawatan bekam.
Cawangan kedua Iyamani G-Mart dibuka pada tahun 2012 melibatkan kos pinjaman sebanyak RM50,000 melalui skim mikro kewangan yang sama.
Graduan Ijazah Pengajian Islam, Universiti Al-Yamaniah, Sana’a, di Yemen itu mahu mengejar impian bersama dua rakan kongsinya dengan menjadikan Iyamani Global sebagai hab produk berasaskan sunah Rasulullah SAW, membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan menambah cawangan Iyamani G-Mart.
‘Musuh’ utama usahawan PKS ialah kewangan. Ia membabitkan pusingan modal, keuntungan, penyediaan stok dan gaji pekerja.
Tanpa sokongan kewangan yang kukuh, perniagaan mereka terdedah dengan masalah muflis dan kekangan untuk melebarkan sayap perniagaan.
Lantaran itu, skim mikro kewangan yang diperkenalkan sejak tahun 2007 atas ilham mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk semua usahawan PKS antara elemen penting survival perniagaan masing-masing.

HO mengusahakan produk berasaskan aromaterapi dan bahan semula jadi keluaran Australia dengan jenama Rose Crown.


Dokumen
BSN antara 10 institusi perbankan di Malaysia yang menawarkan produk pinjaman minimum RM5,000 sehingga RM50,000 dengan faedah yang rendah. Sejak tujuh tahun lalu, skim tersebut sudah membantu lebih 30,000 usahawan PKS.
Syarat kelayakan skim mikro kewangan BSN dikhaskan untuk warga Malaysia berusia antara 21 hingga 60 tahun dan mempunyai lesen perniagaan selain menjalankan perniagaan minimum selama enam bulan.
Pinjaman mikro boleh dilakukan mengikut kehendak peminjam bermula dari RM5,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran semula pinjaman maksimum selama lima tahun.
Pinjaman tersebut terbuka kepada usahawan PKS yang menceburkan diri dalam sektor pemborongan, perkhidmatan, peruncitan dan pembuatan.
Dokumen yang diperlukan ialah salinan kad pengenalan peminjam, salinan daftar perniagaan atau lesen perniagaan, salinan penyata bank dalam tempoh enam bulan.
Berdasarkan piagam pelanggan BSN, sekiranya kesemua maklumat permohonan lengkap, keputusan akan dimaklumkan dalam tempoh enam hari bekerja. Jika gagal, permohonan semula boleh dikemukakan dan maklum balas akan diterima dalam tempoh 21 hari.
Sementara itu, senyuman manis dan layanan mesra menjadi moto pengusaha pusat rawatan kecantikan dan spa, SIS Beauty.
Bertubuh kecil molek, wajah pemilik pusat kecantikan itu jauh lebih muda daripada usianya yang mencecah lewat 50-an. Berpengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan penjagaan diri dan kecantikan berasaskan aromaterapi, pada awalnya Janice Ho sering bergantung kepada simpanan peribadi dalam memastikan kelancaran perniagaannya.
Bagaimanapun, tiga tahun lalu, Ho mula mengenali produk kecantikan berasaskan aromaterapi dan bahan semula jadi keluaran Australia dengan jenama Rose Crown.
Dia memasang impian untuk menjadi pengedar tunggal produk yang sudah bertapak selama dua dekad di Australia itu.
Kekangan yang dihadapi oleh Ho ialah kewangan kerana proses pelesenan, kebenaran membawa masuk produk dan mengeksport produk di negara ini menelan belanja sehingga mencecahRM50,000.
Ho berasakan, menjadi pengedar tunggal dan mempunyai pusat kecantikan serta spa dengan jenama khusus menjadi platform terbaik dalam perniagaannya.

MUHD. SOFI melihat produk makanan yang terdapat di premis miliknya.


Eksport
“Selepas melakukan kajian, Rose Crown merupakan produk kecantikan semula jadi dan aromaterapi sesuai untuk wajah wanita di Malaysia.
“Selain itu, kemampuan produk tersebut bertahan di Australia selama lebih daripada 20 tahun menguatkan lagi azam saya,” katanya yang juga Pengarah SIS Beauty Sdn. Bhd.
Tidak mempunyai pendapatan tetap dan nilai faedah tinggi yang dikenakan syarikat perbankan melalui pinjaman konvensional antara sebab utama Ho memilih skim mikro kewangan BSN.
Malah, dia perlu mendapatkan wang sebanyak RM50,000 dalam tempoh terdekat untuk mempercepatkan proses mengeksport Rose Crown selain menambah kelengkapan pusat kecantikannya.
“Saya meneliti setiap bank sebelum membuat keputusan melakukan pinjaman. Berdasarkan pemantauan, saya dapati syarat yang ditawarkan BSN tidak membebankan.
“Kadar faedah serendah 6.38 peratus ia tidak menyusahkan usahawan kecil seperti kami untuk membayar semula pinjaman,” katanya kini mempunyai stokis di bahagian selatan, utara dan Lembah Klang.
Kongsinya lagi, proses yang cepat selain bebas kerenah birokrasi memudahkan peminjam untuk berkomunikasi dengan pegawai terbabit.
Sehingga kini, Ho mempunyai stokis di Johor Bahru, Johor; Taiping dan Ipoh di Perak.


1 comment:

  1. Adakah anda memerlukan pinjaman? Anda telah ditolak oleh Bank-Bank dan anda ingin mendapatkan pinjaman untuk memenuhi semua keperluan anda? tak ada masalah. Tanpa mengambil kira keadaan kewangan anda, kami menawarkan pinjaman gadai janji, pinjaman Perniagaan, pinjaman peribadi, kami menawarkan pinjaman untuk perkongsian lain-lain tawaran awam dan persendirian, hartanah, kewangan dan lain-lain. Kami menawarkan pinjaman pada jangka panjang dan pendek. kita profesional boleh dipercayai, cekap dan berpengalaman mengenai kewangan yang memberi tumpuan kepada kejayaan anda. Matlamat kami adalah untuk menyediakan penyelesaian pinjaman yang terbaik dalam bidang perkhidmatan pinjaman bagi pelanggan-pelanggan kami. Kami memberi kelulusan segera jika berbaloi, hubungi saya melalui alamat e-mel peribadi saya pada:Email:westlakefinance@usa.com hari

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: