Friday, October 10, 2014

Peniaga nangka cari inisiatif


  • Air tebu dijual Mohd Selodi merupakan 100 peratus asli tanpa gula tambahan.Air tebu dijual Mohd Selodi merupakan 100 peratus asli tanpa gula tambahan.

BENTONG - Sambutan terhadap perniagaan buah nangka di sepanjang jalan Raub menuju ke Bentong menjadikan ia satu persaingan hebat antara sesama peniaga yang mengusahakan hasil jualan buah tersebut di tepi jalan Bilut di sini.

Oleh sebab itu, salah seorang peniaga mengambil inisiatif untuk lebih kreatif dalam meraih pendapatan bulanan yang lebih baik sambil meneruskan penjualan di kawasan tersebut.

Peniaga terbabit, Mohd Selodi Md Ghazali, 32, berkata, disebabkan persaingan tersebut, dia mula membuka kedai Air Tebu Piaww 916 bersebelahan kedai nangkanya.

“Saya lihat terlalu banyak peniaga yang menjual nangka di sepanjang jalan utama Kuala Lumpur menuju ke Kelantan ini justeru mewujudkan satu persaingan yang tinggi.

“Oleh itu saya memikirkan jalan lain bagi meningkatkan pendapatan saya dengan menjual air tebu ini kerana saya lihat masih belum ada peniaga yang menjual air tebu di sepanjang jalan ini,” katanya.

Tambahnya, air tebu yang dijual tidak mempunyai sebarang perisa tambahan termasuk gula, dan ia menggunakan 100 peratus air tebu.

“Tebu ini sebahagiannya saya ambil dari orang kampung di Felda Lurah Bilut yang menanam tebu dan sebahagiannya dari Mempaga,” katanya.

Menurutnya, dengan kos sara hidup yang semakin meningkatkan kini, inisiatif terbabit perlu dilakukan agar dapat menjana pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan dia, isteri dan lima anaknya.

Menurutnya, dia sudah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan buah nangka sejak sekitar empat tahun lalu dan mula meminati bidang perniagaan sejak kecil kerana terpengaruh dengan abangnya yang merupakan peniaga tembikai.

“Ketika saya datang ke Felda Lurah Bilut kerana berkahwin dengan isteri saya yang merupakan orang asal sini, saya tidak mempunyai kerja tetap.

“Saya pernah bekerja di kilang getah, pernah juga menjadi pemandu bas di samping membuat perniagaan atas talian. Duit yang saya peroleh dari pelbagai kerja yang saya lakukan itu saya simpan sedikit sebagai modal untuk saya memulakan perniagaan secara serius.

“Duit yang di simpan, saya gunakan sebagai modal untuk membina gerai buah nangka di tepi jalan ini dan kemudiannya saya buka pula gerai air tebu,” katanya.

Mohd Selodi tekad untuk tidak mengambil sebarang pinjaman perniagaan kerana bimbang dibebani hutan selain memberitahu perniagaan yang dijalankan adalah berpandukan ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, niat saya berniaga untuk mencari rezeki menyara persekolahan anak-anak dan saya berhasrat menghantar ke semua mereka ke Maahaf Tahfiz.

“Selain itu, saya juga berniaga dengan harapan agar duit itu nanti dapat gunakan untuk kerja-kerja amal sebagai bekalan saya di akhirat kelak,” katanya.

Selain menjual buah nangka dan air tebu, Mohd Selodi turut menjual kerepek buatan penduduk kampung dan produk baru yang diperoleh daripada Karnival Maha yang lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: