|
TITIK perubahan industri muzik global bermula sekitar tahun 2000 apabila pendapatan daripada jual beli muzik secara digital mengatasi penjualan album secara fizikal (atau dalam bentuk cakera padat).
Menurut laporan Persekutuan Industri Fonografi Antarabangsa (IFPI), keuntungan yang diperoleh daripada penjualan album digital meningkat sebanyak 4.3 peratus ($5.9 bilion/ RM19.2 juta) dari tahun 2013 hingga suku pertama tahun ini.
Sementelah, kadar muat turun single secara digital telah meningkat sebanyak 11 peratus dan penjualan album secara digital pula menaik sebanyak 24 peratus.
Hal ini membuktikan bahawa industri muzik kini sedang mengalami fasa evolusi baharu yang mengubah trend pendengar mendapatkan muzik dalam konteks yang lebih jelas lagu yang mereka inginkan dengan kaedah lebih cepat dan efisien.
Perkara itu dipersetujui oleh Mior Luqman Hakim atau lebih popular dikenali sebagai Myo, salah seorang daripada enam anggota kumpulan indie, Oh Chentaku yang melihat perkembangan jual beli album secara digital memudahkan cara dan mampu menjana pendapatan lebih sistematik.
“Platform digital telah banyak membantu band indie dalam usaha memasarkan produk mereka kepada khalayak, faktor kos biasanya menjadi penghalang untuk artis merakamkan sesebuah album namun apabila munculnya pelbagai teknologi canggih, bebanan itu dikurangkan dan kos itu boleh disalurkan untuk promosi jelajah atau konsert.
“Namun tidak dinafikan masih ada pendengar yang mahu membeli album dalam versi fizikal kerana mahu menjadikan item berkenaan sebagai kenang-kenangan dan bersifat keberadaan. Maksudnya mereka boleh melihat, mendengar dan merasa dalam satu masa,” ujarnya yang menjadi salah seorang panel jemputan sempena forum Music Business 101: Power People pada persidangan dan pameran KL Converge 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
KL Converge 2014 merupakan platform berlatarkan persidangan dan pameran industri digital dan kreatif anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Ia merupakan persidangan bagi komunikasi, penyiaran, teknologi digital dan kandungan kreatif seperti filem, animasi, muzik dan drama.
Single vs album
Dalam pada perdebatan mengenai isu album yang dijual secara fizikal dan album digital, pertimbangan juga harus diletakkan pada penciptaan lagu single yang menjadi wahana lebih pantas meraih perhatian khalayak massa.
Kata Myo, trend terkini melihat satu single sahaja sebenarnya sudah memadai untuk mendapatkan pendedahan maksimum dan populariti. Ada antara penyanyi yang hanya muncul dengan satu single kemudian terus hilang tanpa sempat mencipta album penuh.
“Penciptaan single penting bagi seseorang artis terutama yang baru memulakan langkah sebagai penyanyi. Album sebenarnya cuma kad pengenalan kepada seseorang penyanyi dan kepentingan utamanya untuk mengembangkan sayap ke negara asing. Kalau lagu itu mesra pendengar dan sering diputarkan di radio tidak mustahil satu single saja sudah mencukupi!” tegasnya.
Perkara itu dilihat selari dalam arus industri muzik di Amerika Syarikat kerana menurut data yang telah dikeluarkan oleh sebuah syarikat rakaman indie di Amerika Syarikat, Tom Silverman & Tommy Boy Records, jumlah jualan yang diperoleh daripada jual beli secara digital meningkat dari $2.6 bilion (RM8.5 bilion) pada tahun 2006 menjadi $14.8 bilion (RM48.8 bilion) pada tahun 2011.
Populariti single lebih efektif berbanding album disokong oleh penerbit dan komposer terkenal Audi Mok. Katanya sebuah single cukup untuk menyerang kelompok masyarakat tertentu.
“Kuasa single mampu mencipta satu niche dalam sesuatu khalayak masyarakat. Apabila ramai yang mendengar dan menyokong single itu, penyanyi dan album (jika ada) akan sendirinya meraih dinamik,” ujarnya.
Bukti paling jelas juga apabila Anugerah Industri Muzik (AIM) telah mula memansuhkan kategori album dan digantikan dengan single (atau lagu) bermula tahun 2009 (AIM 17) ekoran kemerosotan jumlah penghasilan album di Malaysia ketika itu.
Enam buah kategori album telah dimansuh dan ditukarkan kepada kategori lagu iaitu Album Pop Terbaik, Album Pop Etnik Terbaik, Album Rock Terbaik, Album Hip Hop Terbaik, Album Nasyid Terbaik dan Album Inggeris Tempatan Terbaik sementara Album Dangdut Terbaik dimansuhkan sepenuhnya.
Justeru, pandangan itu tidak disokong oleh Naib Presiden Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Darren Choy. Tegasnya, kaedah mempromosikan single berbanding album telah terbukti menyebabkan banyak syarikat rakaman dan peruncit tempatan di Indonesia gulung tikar.
“Tolak ke tepi masalah cetak rompak yang telah melanda kebanyakan negara Asia Tenggara sejak lebih 10 tahun lalu, apabila kebanyakan artis bertindak mengeluarkan hanya satu single pada satu tempoh masa peruncit bakal mengalami gangguan daripada produk untuk dipasarkan.
“Mereka terlupa wujudnya cakera padat, kaset dan suatu masa dahulu piring hitam yang menjadi tanda pengenalan seseorang penyanyi kerana asyik terleka memuat turun atau mendengar satu lagu (single) sahaja.
“Mengambil contoh di negara Korea Selatan pula, rata-rata penjualan cakera padat penyanyi pujaan mereka masih mendapat sambutan yang memberangsangkan. Formula rahsia mereka adalah pembungkusan produk yang sangat menarik,” tambah Audi.
Servis muzik strim
Faktor perkembangan penghasilan single melebihi jumlah album sekali gus mendorong syarikat antarabangsa menyediakan platform dengan format portal muzik untuk kemudahan pendengar mendapatkan lagu yang mereka idamkan.
Kelebihan portal muzik yang bersifat servis muzik strim itu antara lainnya menyediakan servis khusus untuk didengar atau dibeli oleh pendengar berdasarkan genre dan kategori artis tertentu.
Beroperasi secara dalam talian, servis muzik strim dijalankan dengan kemudahan aplikasi telefon pintar seperti Android, iOS, Symbian, Windows Mobile dan Linux.
Memandang daripada sudut positif, kewujudan portal-portal muzik antaranya iTunes, Spotify, Deezer, Pandora dan Rhapsody telah mengurangkan masalah cetak rompak yang menjadi punca utama kemerosotan penghasilan album. Malah, ia sekali gus memusnahkan beberapa laman sesawang yang menyediakan kemudahan muat turun lagu secara percuma seperti Megaupload.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan IFPI, Frances Moore telah menyelar tindakan sesetengah syarikat teknologi termasuk Google dan Wikipedia yang membantah tindakan penguatkuasaan Akta Anti Cetak Rompak Dalam Talian dan Akta Perlindungan Harta Intelek di bawah undang-undang Hadopi setelah diperkenalkan oleh negara Perancis.
Penguatkuasaan dua akta terbabit telah berjaya mengurangkan perkongsian percuma sebanyak 26 peratus dan membendung cetak rompak dalam talian sejak diperkenalkan 2009.
Sementara itu, beberapa syarikat penyedia perkhidmatan internet telah diarahkan untuk menyekat laman sesawang pro cetak rompak di beberapa buah negara seperti New Zealand, Itali, Belgium, Austria, Finland, Malaysia dan India.
Malah, kata Presiden Perniagaan Digital Global Universal Music, Rob Wells perkembangan servis muzik strim menjadi pemacu baharu keuntungan industri muzik.
“Sehingga kini kami tidak melihat sebarang penurunan daripada segi penggunaan servis muzik strim. Kami jangkakan syarikat terbabit bakal berkembang lebih pesat dalam tempoh 12 bulan akan datang,” ujarnya.
Jangkaan itu turut disokong oleh Darren selaku Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura. Ujarnya, syarikat rakaman dan artis paling beruntung kerana mereka akan dibayar setiap kali lagu-lagu mereka didengar di platform portal muzik berkenaan.
Memberikan contoh di negara Australia, penggunaan iTunes telah menjangkau 80 peratus penduduk di negara terbabit yang memuat turun atau membeli lagu yang mereka minati. Hal itu membuktikan bahawa pendengar semasa lebih suka mendengar muzik berbanding ‘memiliki’ muzik.
“Sama seperti YouTube, servis muzik strim menjana pendapatan melalui iklan dan yuran langganan. Walaupun Spotify contohnya baru beroperasi selama setahun di Malaysia, selepas berkolaborasi dengan syarikat telekomunikasi tertentu pengguna servis muzik strim tersebut meningkat mendadak dan lebih 100,000 pengguna membayar untuk yuran langganan bulanan servis berkenaan,” kata Darren.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: