- Johan & Saleha
Namun baru sahaja membenih rasa cinta di hati, Saleha terpaksa memilih untuk berpisah kerana cinta itu tidak mendapat restu keluarganya.
Bagaimanapun semua itu bukan benar-benar terjadi sebaliknya ia adalah sebahagian dari perjalanan cerita mereka dalam filem Balada Pencinta.
Menurut Saleha, biarpun pertama kali digandingkan dalam filem arahan Khir Rahman itu, namun dia cukup selesa dengan karakter Johan yang banyak membantunya.
“Biarpun pertama kali digandingkan dengan Johan, tetap tidak susah buat saya mencari keserasian apatah lagi sebelum memulakan penggambaran, kami akan melakukan sesi latihan terlebih dahulu untuk mendapatkan keserasian itu.
“Johan juga banyak memberi dan memberikan komitmen penuh terhadap wataknya sebagai Amir. Dia juga pelakon yang sangat disiplin, tenang dan tidak buat hal sendiri di lokasi.
Jadi saya amat selesa apabila digandingkan dengan dia,” ujar Saleha ketika ditemui selepas tayangan Balada Pencinta di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Saleha berkata, dia membawakan watak sebagai Saleha yang sudah kematian bekas kekasih yang mempunyai wajah dan perangai sama seperti Johan. Namun dia sudah ditunangkan dengan pilihan keluarga dan sering dikongkong keluarganya yang juga orang berada.
“Pertama kali bekerja dengan abang Khir memberikan pengalaman yang cukup manis buat saya. Abang Khir banyak membantu dan memberi kebebasan, bagaimana cara saya mahu sampaikan watak Aisyah.
“Cuma Aisyah banyak bermain dengan emosi kerana dia sering dikongkong keluarga terutama ibunya dan Alhamdulillah saya dapat menghayati perwatakan Aisyah,” katanya.
Sementara itu, Johan berkata, dia amat mengagumi bakat lakonan Saleha kerana gadis berwajah Pan Asia itu sangat pandai menghayati wataknya.
“Ini merupakan filem pertama gandingan dengan Saleha tetapi selepas itu saya digandingkan dengan Saleha dalam filem TUjuh. Pada pengamatan saya, Saleha cukup pandai menghayati wataknya dan saya sendiri nampak kelainan antara wataknya dalam filem ini dan filem Tujuh.
“Dalam filem ini kami ada menjayakan beberapa babak bercinta, tetapi ada batasnya kerana dalam filem ini Saleha memakai tudung. Tapi tidak susah untuk kami lakukan, apatah lagi sebelum masuk ke set, kami akan berbincang terlebih dahulu apa yang akan kami buat untuk babak seterusnya,” katanya.
Selain Johan dan Saleha antara barisan pelakon lain yang turut menjayakan filem terbitan Grand Brilliance adalah Sein Hussein, Azhan Rani, Norisz Ismail, Miera Liyana, Iedil Putra, dan penampilan khas Faizal Hussein. Balada Pencinta akan ditayangkan mulai 24 Oktober ini.
Beli gitar kerana Amir
Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya dalam filem ini, Johan berkata kerana mahu mendalami wataknya sebagai Amir (seorang busker jalanan, yang pernah melalui zaman gelap sebagai salah seorang ahli kumpulan gangster), dia sanggup mencari gitar yang sudah berusia 10 tahun.
“Memandangkan Amir di dalam filem ini digambarkan tidak mempunyai apa-apa selain gitar yang sudah berusia 10 tahun yang di pinjam dari kawannya untuk memulakan hidup baru, maka saya mencari sebuah gitar yang sudah berusia 10 tahun untuk dijadikan sebagai prop saya di dalam filem ini.
“Alhamdulillah mungkin kerana rezeki, saya jumpa gitar akustik itu di Melaka dan saya terus beli dengan harga RM2000. Gitar itu saya gunakan dalam filem ini dan saya simpan sebagai kenangan.
“Biarpun dalam filem ini saya membawakan watak seorang busker, tetapi saya tidak menyanyi kerana saya rasa suara abang Khir lebih sedap dan biarlah dia sahaja yang menyanyi. Jadi saya hanya bermain gitar dan berlakon sahaja kerana bukan senang untuk berlakon sambil bermain gitar,” jelasnya.
Shila istimewa?
Tidak lengkap andai tidak berbicara mengenai penyanyi Shila Amzah apabila bertemu Johan kini, namun pelakon yang semakin terkenal berusia 26 tahun ini menegaskan dia hanya berkawan rapat dengan Shila.
“Jujur, saya dengan Shila memang kami rapat. Hanya kawan rapat. Sebelum ini pun saya tak pernah meletak janji pada mana-mana wanita dan saya juga bukan kaki perempuan. Saya pun tak pernah mengaku bercinta dengan mana-mana perempuan sebelum ini.
“Kalau boleh, saya nak jujur dengan semua orang. Bila ada spekulasi yang timbul tentang kami, saya rasa syukur sebab ramai yang nak ambil tahu tentang kami. Saya bersyukur dapat kenal Shila. Dia cantik dan baik,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang perancangannya yang meletakkan sasaran untuk bertunang sebelum penghujung tahun ni, Johan berkata buat masa ini belum ada sebarang persiapan untuk proses tersebut dan hanya mampu menyerahkan segalanya pada ketentuan takdir.
“Kita hanya mampu merancang. Saya dah cuba sedaya upaya untuk meletakkan azam untuk bertunang pada penghujung tahun ini. Tapi jika jodoh itu belum sampai, saya terima,” jelasnya.
Saleha mahu lebih versatil
Selepas itu, kehadiran gadis berusia 23 tahun ini dalam drama atau filem hanya bersandarkan watak lemah lembut atau gadis yang baik.
Mengakui dia mengimpikan untuk melakonkan banyak watak, ujar adik kepada Sam Bunkface ini dia sebenarnya mahu menjadi pelakon yang versatil.
“Saya memang mahukan kelainan dalam setiap watak yang saya bawakan kerana ingin menjadi pelakon yang versatil sekali gus mampu mempelbagaikan watak dalam drama atau filem yang dilakonkan.
“Sehingga kini saya masih berasa tidak puas dan mahu memberikan mutu lakonan yang terbaik bagi mengembangkan lagi bakat seni yang ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saleha berkata, dia baru sahaja selesai menjalani dua telefilem iaitu Cerita Sebenar Mengenai Bibah dan Dari Sinar Mata yang akan ditayangkan di TV9.
Selain itu, filem-filem lakonannya seperti Mamak Cupcake, Aku Abang Long Rajawali akan ditayangkan tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: