• Syarikat Bumiputera perkenal antivirus Dari kiri: Abbyamir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani, Sohaimi dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Nazim Rahman.

1Machine System Sdn Bhd (1Machine), syarikat di bawah bimbingan Technology Park Malaysia, akan mula memasarkan perisian keselamatan internet keluarannya, Perisai kepada agensi kerajaan selain pasaran serantau dan global melalui kerjasama dengan Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Ketua Pegawai Eksekutif 1Machine Abbyamir Sapie berkata, kerjasama itu menunjukkan usaha kerajaan membantu syarikat Bumiputera bagi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerjasama seperti ini beri manfaat dan kejayaan jangka panjang untuk usahawan Bumiputera dan kepada negara.

“Kami harap ia akan jadi platform pengenalan antivirus Perisai kepada sektor kerajaan dan swasta,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara kedua pihak di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi PMB Datuk Sohaimi Shahadan berkata, 1Machine memiliki potensi kerana merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang menghasilkan sistem antivirus.

“Antivirus Perisai boleh jadi inspirasi kepada orang muda di Malaysia yang ingin mulakan perniagaan supaya berfikir di luar kotak kebiasaan," katanya.