• Diana Amir

“INILAH contoh yang baik, kerana minta restu ‘bapa’,” begitulah luahan Penerbit Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), Mejar (K) David Teo apabila seorang daripada artisnya, Diana Amir, ingin menamatkan zaman bujang.
David, yang menemani Diana pada majlis sidang media pengumuman pernikahan pelakon itu di pejabat Metrowealth International Group (MIG) di sini pada petang Jumaat lalu, berkata, pengumuman ini adalah bertepatan memandangkan Diana sebelum ini ingin melangsungkan perkahwinannya pada tahun ini selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.

Katanya, dia dan pihak pengurusan MIG, bertungkus-lumus ingin merealisasikan impian Diana dan tunangnya, Mohd Habib untuk menjadi ‘Raja Sehari’, walaupun pelakon itu hanya menyatakan hasratnya dalam masa yang singkat, iaitu bulan lalu.

“Saya mahu Diana bahagia. Saya restu hubungannya sebelum ini. Diana adalah talent dan anak angkat saya yang baik. Walaupun dia juga pernah ditegur, tapi dia jadikan teguran saya sesuatu yang membina.

“Saya dengan talent semua sudah macam bapa angkat mereka, jadi kita akan menasihati dan membantu memberikan kerjasama terbaik untuk kebaikan mereka.

“Saya lihat, Diana tiada masalah apabila dia memilih orang yang sepadan, baik dan beriman dan tidak menjalinkan hubungan cinta lokasi,” katanya yang bukan saja bertindak sebagai majikan, bahkan sebagai ‘bapa’ kepada semua artis di bawah naungan syarikatnya itu.

Tambah David, dia juga kagum dengan sikap Diana yang sering meminta nasihat dan berbincang dengannya mengenai kehidupan peribadi.  Sikap Diana yang  jujur dan tidak pernah membelakanginya itu membuatkan dia lebih terbuka dan ingin membantu artisnya itu.

Diana pilih konsep Islamik ‘Crystal Garden’
Sementara itu, Diana Amir, 27, yang mengumumkan pernikahan dengan tunangnya, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Habibbullah A Rahman, 26, pada 25 Oktober ini sangat bersyukur apabila pihak pengurusan MIG sanggup membantunya melaksanakan detik bersejarah dalam hidupnya.
Diana berterima kasih kepada pihak MIG yang sentiasa menyokong dan membantunya dari awal kemunculannya sehingga kini.

“Alhamdulillah saya mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan untuk pengumuman majlis pernikahan saya.

“Pengurusan yang banyak membantu untuk menjayakan majlis ijab kabul saya. Walaupun jadual saya yang padat, pihak pengurusan berusaha memastikan saya menyempurnakan pernikahan saya pada tahun ini,” katanya pada sidang media itu.

Pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim berkata, majlis akad nikahnya akan berlangsung di Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya, pada jam 9 malam.

Memilih konsep Crystal Garden, Diana berkata,  dia mahu majlis pernikahan itu berlangsung mengikut  cara Islam dengan turut mendapatkan bantuan  beberapa ustaz dari persatuan Usrah Fitrah yang disertainya.

“Saya tak mahu ia dilihat kebaratan . Saya mahu tonjolkan konsep Islam sebenar dalam sesebuah acara pernikahan,” ujarnya yang melangsungkan pertunangan bersama Habibbullah pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarganya.

Menurut Diana , majlis pernikahannya itu juga akan diadakan secara sederhana dan mengikut kemampuan dia dan bakal suami.

“Saya tidak mahu meminta lebih kepada suami contohnya untuk dulang hantaran beg berjenama, kasut mahal dan sebagainya, cukup sekadar senaskhah al-Quran, mas kahwin dan cincin pernikahan kami.

“Buat masa ini, saya masih lagi meneruskan persiapan akhir, walaupun pernikahan hanya tinggal seminggu saja lagi, Insya-ALLAH, segalanya  akan dipermudahkan,” katanya yang  enggan mendedahkan lagi jumlah wang wang hantaran yang bakal diterima.

Dalam pada itu, majlis pernikahan Diana turut mendapat beberapa tajaan dari kenalannya. Antara yang terlibat ialah pereka fesyen Ezuwan Ismail, Fatimah Shaari Creation, Saiful Sin, Yakult, Shutterplace,  Samsultahir, Lea Henna Artist, dan Sri Gading Catering.

Diana penyayang - Mohd Habib

Sementara itu, Mohd Habib yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata, dia sangat berbangga kerana  bakal memperisterikan seorang wanita penyayang.

“ Sebelum ini saya memang mencari wanita yang dapat menyayangi keluarga saya dan saya lihat ciri-ciri itu ada pada Diana.

“Selepas dua kali kami bertemu, dia sangat mesra dengan keluarga saya. Selepas itulah saya terus minta keluarga meminangnya,” ujarnya.

Mohd Habib juga mengakui berdebar-debar menanti majlis pernikahan mereka dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar.

“Sememangnya saya berdebar untuk memperisterikan Diana dan saya sangat berdebar untuk memegang status suami selepas ini. Namun saya harap segalanya berjalan dengan baik dan doalah yang terbaik untuk kami,” ujarnya.