• Rozita Che WanRozita Che Wan

KECANTIKAN dan kesihatan adalah satu perkara yang subjektif untuk diulas. Ada sesetengah pihak berpendapat, kecantikan sangat berkait rapat dengan kesihatan dalam seseorang itu.

Bagi kaum wanita pula, biasanya apabila usia mula mencecah 40-an, kecantikan mula diketepikan dan hal-hal ehwal keluarga pula mula diberi perhatian.

Malah ada ketikanya, ada wanita berpendapat, pada usia 40-an, tidak sesuai lagi buat seseorang wanita itu bergaya cantik.

Namun berbeza bagi dramatis terkenal, Rozita Che Wan, biarpun usianya sudah menginjak ke 40 tahun Mac lalu, namun dia masih kelihatan cantik dan ramping bak wanita berusia awal 20-an.

Tidak hanya dengan bentuk tubuh yang ramping dan kulit yang halus, Rozita atau mesra di sapa Che Ta pula masih mengekalkan gaya muda yang menyebabkan dia nampak jauh lebih muda dari usia sebenar.

Mari ikuti rahsia dan cara Che Ta menjaga kecantikan kulit dan tubuh badan.


Sebagai selebriti apa definisi cantik dan sihat bagi anda?

ROZITA 
: Bagi saya kecantikan itu adalah sesuatu perkara yang universal. Jika kita sihat dalaman, secara tidak langsung wajah kita akan nampak cantik dan segar. Jika kita sakit, wajah kita akan nampak kusam dan tidak bermaya.


Pada usia mencecah 40 tahun, anda masih kelihatan cantik, apa rahsianya?

ROZITA :
 Secara jujurnya tiada apa-apa rahsia yang saya amalkan. Cuma saya selalu fikir muda dan gembira sentiasa, saya tidak pernah fikir saya sudah berusia 40 tahun dan saya tidak suka fikir masalah. Pendek kata, saya sentiasa 'happy go lucky'.


Bagaimana cara anda menjaga kecantikan kulit dan wajah?

ROZITA : 
Sama seperti orang lain, saya selalu mencuci wajah, pakai krim, toner dan sebagainya. Pada masa lapang pula saya akan memakai mask (topeng) bagi memastikan kulit sentiasa segar. Cuma pada waktu pagi, saya akan cuci muka terlebih dahulu dengan air sejuk dan ia memang saya amalkan semenjak remaja lagi.


Ada sesetengah artis mengambil suntikan untuk mengekalkan kecantikan, anda bagaimana?

ROZITA 
: Setakat ini saya belum terfikir lagi untuk mengambil suntikan kerana Alhamdulillah kulit saya tidak mengalami sebarang masalah. Malah saya juga tidak pernah melakukan facial di pusat kecantikan sebaliknya hanya melakukan perkara asas di rumah sahaja.


Ramai orang mengenali Che Ta dengan tubuh yang langsing, tetapi pernahkah anda mengalami masalah berat badan?

ROZITA 
: Pernah tetapi ketika saya mengandung dulu, berat saya daripada 45 kilogram (kg) naik sehingga 90 kilogram. Tetapi biasalah mengandung, kemudian saya berjaya turunkan berat semula. Sekarang kalau badan naik pun hanya dua atau tiga kilogram, bila rasa badan naik, saya akan mula jaga pemakanan. Berat saya sekarang 50kg.


Bagaimana rutin pemakanan harian anda?

ROZITA : 
Saya seorang yang mengambil berat tentang bentuk tubuh saya tetapi itu tidak bermakna saya mengamalkan diet yang ketat sehingga jadi macam kucing, makan ikan sahaja 24 jam (ketawa).

Saya masih mengambil nasi dua kali sehari tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Saya juga tak ambil makanan segera dan makanan ringan. Tetapi sayur hijau dan ikan adalah makanan kegemaran saya.


Ada ambil suplemen?

ROZITA : 
Saya hanya ambil suplemen dari Rich Beauty dan tidak ambil apa-apa suplemen tambahan lain.


Dengan jadual seni yang padat, sempatkah anda luangkan masa untuk bersenam?

ROZITA : 
Secara jujurnya, tidak. Tetapi saya bersenam dengan cara lain seperti kemas rumah, cuci bilik air kerana apabila kita bersenam, secara tidak langsung, pori-pori di muka akan menjadi kecil. Jadi bukan sahaja badan sihat, tetapi wajah kita pun akan jadi cantik.


Adakah anda gemar manjakan diri di spa dan salun?

ROZITA 
: Tidak. Jika ada masa terluang, saya lebih gemar duduk di rumah, mengemas rumah, memasak, menjahit. Jadi untuk kecantikan diri sendiri, saya lebih gemar beli lulur, mask serta serum untuk rambut dan buat sendiri di rumah.


Berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan wajah dan tubuh?

ROZITA :
 Saya rasa tak sampai RM100 sebab produk Safi Rania saya dapat percuma, jadi saya cuma perlu perlu mask, serum dan yang sampingan lain sahaja.

Jadi sekarang siapa kata saya 'high-maintenance' (ketawa)? Cuma saya banyak lebihkan duit saya pada baju, kasut, beg kerana bila kita pakai cantik, secara tidak langsung kita akan nampak cantik.


Jika tertekan, apa yang gemar anda lakukan?

ROZITA :
 Kalau saya tertekan, saya suka pergi membeli-belah, tapi lepas itu tertekan sebab duit banyak habis pula (ketawa). Tidaklah. Saya tak pernah rasa tertekan.

Kalau ada masalah, saya tidak pernah fikir dan biar ia selesai sendiri, kalau asyik fikir pun, akhirnya pada wajah banyak kedut-kedut sebab banyak sangat nak difikirkan. Sebenarnya hidup kita tidak rumit cuma kita merumitkan.


Apa perkembangan terkini anda sekarang?

ROZITA :
 Saya dah mula memperlahankan karier seni saya dan tidak lagi menerima tawaran drama kerana mahu memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinan.

Cuma saya masih terlibat dengan program Primadona dan Ratu Rania. Saya akan cuti sehingga Januari 2014 dan selepas itu baru saya akan kembali berlakon. Buat masa ini, telefilem lakonan saya, Kalung Kak Dara akan disiarkan di TV3, Sabtu ini.


5 PERKARA MENGENAI CHE TA 


1. Seorang yang 'happy go lucky'.
2. Mudah lupa.
3. Bukan pencinta gajet dan Che Ta tidak pandai dengan IT.
4. Gemar duduk di rumah.
5. Tidak suka fikir masalah.