![]() |
APABILA menyentuh tentang sisi peribadi wanita yang bernama Raja Azmi Raja Sulaiman, dia antara selebriti wanita yang tidak pernah lekang daripada dilanda dengan cerita sensasi.
Pernah mengalami kegagalan dalam ikatan perkahwinan terdahulu bersama bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek, penerbit sensasi itu pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki dalam hidupnya.
Bagaimanapun, pencariannya untuk mencari jejaka yang sesuai sebagai teman hidupnya menemui titik noktah apabila dia memilih pemain basis kumpulan CRK, Mohd. Eddie Ghazali sebagai suami.
Kalau diimbas tentang perkenalan Raja Azmi, 54, dan Eddie, 45, sehingga mereka menjalinkan hubungan cinta, ia tidaklah seperti kisah pasangan muda yang bercinta, apatah lagi kedua-duanya pernah berkahwin sebelum ini.
Hanya mengambil masa selama lima bulan untuk mengenali hati budi masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang pada Julai lalu dan kini pasangan tersebut sah bergelar suami isteri.
Berkesempatan bertemu dengan pasangan pengantih baharu itu selepas majlis akad nikah, Raja Azmi meluahkan rasa syukurnya apabila hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang dicintai akhirnya terlaksana.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan dengan sekali lafaz sahaja saya bergelar isteri kepada Eddie. Saya juga terharu dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang memeriahkan majlis kami ini.

SUASANA indah pemandangan lokasi majlis resepsi perkahwinan Raja Azmi dan Eddie yang berlangsung di Istana Budaya.
"Sebenarnya saya tidak menyangka akan dirai dalam sebuah majlis yang meriah, malah berterima kasih kepada pihak Istana Budaya yang telah sudi menaja lokasi majlis ini," ujarnya yang cukup anggun dengan busana hasil rekaan pereka fesyen Leslie Varayan bernilai RM30,000.
Menjadi pasangan pengantin pertama yang berpeluang mengadakan majlis perkahwinan di Istana Budaya, penerbit filem ...Dalam Botol itu memberitahu ia merupakan sesuatu yang di luar jangkaannya sama sekali.
Ujarnya, dalam satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani, dia telah meluahkan keinginannya untuk mengadakan sebuah majlis di lokasi yang sering menjadi tumpuan untuk pementasan teater.
"Saya sekadar menyatakan keinginan sahaja yang terpendam di hati sahaja, tetapi tidak sangka pula Abang Joe (Juhari) terus bersetuju. Ternyata ia merupakan satu kenangan yang cukup bermakna buat saya dan suami," ujarnya.
Berkenaan dengan perkahwinan kali keduanya itu pula, Raja Azmi meluahkan harapan agar tidak lagi dilanda dengan sebarang cerita kontroversi demi membina sebuah keluarga yang bahagia.
Menurutnya, sekarang ini dia telah bertemu dengan insan bergelar suami yang mampu menemaninya sepanjang masa dan yakin bahawa Eddie merupakan pilihan terbaik buat dirinya dengan berkat sokongan anak-anak tercinta.
"Perasaan gembira yang tersemat di hati saya boleh diumpamakan seperti melahirkan cahaya mata pertama dahulu. Ia suatu perasaan yang agak sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Namun begitu, saya sedar tanggungjawab yang harus dipikul kini bertambah besar. Selain kembali bergelar seorang isteri, kini saya juga perlu menjadi ibu kepada lima orang anak," ujarnya.
Sepanjang perkahwinan Raja Azmi dan Jalani dahulu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, manakala Eddie yang menduda selama lima tahun sejak kematian isteri mempunyai dua orang anak, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19.

UNIK. Majlis resepsi Raja Azmi dan Eddie dipenuhi suasana romantis.
Tidak sempat
Ketika ditanya tentang perancangan mereka selepas berakhir majlis resepsi, Raja Azmi menyatakan dia dan suami sepatutnya merancang untuk berbulan madu di Desaru, Johor.
Bagaimanapun, ia tidak dapat direalisasikan buat masa ini memandangkan dia mempunyai komitmen lain, tetapi bersyukur kerana Eddie memahami situasi yang dilaluinya sekarang ini.
"Sebenarnya saya akan terlibat dengan penggambaran program realiti masakan terbitan Astro iaitu All Stars MasterChef Malaysia pada 16 Oktober ini, iaitu tiga hari setelah majlis pernikahan kami berlangsung.
"Jadi, memang tidak sempat untuk kami pergi berbulan madu sekarang kerana penggambaran pastinya mengambil masa yang lama. Nasib baik suami tidak kisah dan biarlah kami berbulan madu di rumah sahaja," jelasnya.
Sementara itu, Eddie yang berada di samping isteri tercinta sewaktu ditemubual berkata, selama lima tahun bergelar duda dia tidak menyangka akan kembali mendirikan rumah tangga.
Ujarnya, ketika kali pertama bertemu dengan Raja Azmi pada awal tahun lalu, dia sudah dapat merasakan kelainan serta tertarik dengan sifat keibuan yang dimiliki sepanjang mengenali penerbit filem itu.
"Ketika mula-mula saya ambil keputusan untuk berkahwin, ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang terkejut. Namun begitu, mereka masih memberikan sepenuh sokongan untuk memperisterikan Raja Azmi.
"Mengenai jarak usia kami yang agak jauh berbeza, bagi saya ia bukanlah satu isu yang harus diperbesarkan kerana sekarang ini ia sudah menjadi satu perkara yang normal," jelasnya.
Tetamu istimewa
Sesuatu yang menarik dan sedikit mengejutkan semasa berlangsungnya majlis perkahwinan tersebut, antara tetamu istimewa yang kelihatan hadir ialah Jalani Sidek, bekas suami Raja Azmi sendiri.
Biarpun para wartawan diberi masa yang agak terhad untuk menembual Jalani, namun bekas pemain badminton negara itu sempat memberi kenyataan berhubung perkahwinan bekas isterinya itu.
"Saya percaya Raja Azmi telah membuat pilihan yang terbaik dalam hidupnya dengan memilih Eddie sebagai suami. Sebagai bekas suami saya harap hubungan mereka akan terus berkekalan sehingga akhir hayat.
"Sebelum mereka mendirikan rumah tangga saya sudah beberapa kali bertemu dengan Eddie. Saya lihat dia seorang lelaki yang baik dan percaya dia mampu membahagiakan kehidupan Raja Azmi," ujarnya.

JALANI (kiri) turut hadir pada majlis perkahwinan bekas isterinya ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status terkininya sekarang ini bersama wanita bernama Zaleha yang turut menemaninya ke majlis perkahwinan berkenaan, Jalani enggan mengulas lanjut.
"Sekarang ini merupakan majlis untuk meraikan hari bahagia bekas isteri saya, jadi tidak sesuai untuk saya memberikan sebarang komen. Kalau dah tiba masanya nanti barulah saya akan beritahu," jawabnya ringkas.
Raja Azmi dan Jalani pernah mendirikan rumah tangga selama 28 tahun ketika berkahwin pada tahun 1984. Bagaimanapun mereka mengambil keputusan untuk bercerai secara baik pada bulan Jun 2012.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: