Thursday, October 17, 2013

Peluang meneroka planet marikh


PELAJAR tekun mendengar soalan ketika berlangsungnya pertandingan akhir NSC 2013.


SUASANA di Bangunan Mikrosatelit, Planetarium Negara hingar-bingar dengan kehadiran pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Suria, Kuala Lumpur. Perasaan teruja terpancar pada wajah masing-masing dengan mulut mereka kelihatan terkumat-kamit seperti sedang menghafal sesuatu.
Kumpulan pelajar seramai 20 orang itu merupakan insan yang bertuah kerana berpeluang berinteraksi secara langsung dengan seorang angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Komunikasi antara pelajar berusia sembilan hingga 11 tahun itu dengan angkasawan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), Luca Parmitano berlangsung selama 11 minit. Jangka masa singkat itu memaksa para pelajar berkenaan bersiap sedia dengan soalan yang hendak dikemukakan.
“Ia pengalaman yang sangat bermakna dan menyeronokkan dalam hidup saya. Tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman sebegini,” ujar Alvindren Alfred, 11, ketika ditanya mengenai perasaan berinteraksi bersama angkasawan tersebut.
Waktu berinteraksi yang singkat disebabkan oleh kedudukan ISS yang menghampiri orbit Malaysia. Saluran komunikasi antara ISS dan bumi hanya boleh dicapai selepas ia betul-betul berada pada sesuatu orbit.
Disebabkan itu, penerima siaran perlu menunggu ISS berada dalam kedudukan yang tepat bagi mengadakan komunikasi.
Kebenaran
Menurut Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad, siaran komunikasi tersebut perlu mendapat kebenaran daripada ISS terlebih dulu yang prosesnya memakan masa selama setahun.
“Pihak Planetarium Negara sangat bertuah kerana setiap tahun kita diberi peluang untuk berinteraksi bersama ISS,” ujarnya ketika ditemui pada program sempena Minggu Angkasa Sedunia 2013 di Planetarium Negara baru-baru ini.
SISTEM radio amatur digunakan untuk berkomunikasi bersama angkasawan yang berada di ISS.


Lebih istimewa, pada tahun ini, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mendapat slot pada waktu petang berbanding negara lain yang sebahagiannya perlu menunggu hingga lewat malam.
“Dahulu, ketika Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berada di ISS, kami hanya dapat menghubungi beliau pada awal pagi,” imbasnya.
Bagi Muhd. Arshad Muhd. Syamem, 9, dia telah menghafal soalan yang hendak ditanyakan kepada Parmitano.
“Sebelum dapat bercakap dengan angkasawan itu, kami perlu menunggu lama membuatkan saya penat dan bosan.
“Namun begitu, saya tetap teruja kerana ia peluang sekali dalam seumur hidup,” katanya.
Bagi menjimatkan masa dan mengelakkan gangguan ketika berinteraksi, soalan para pelajar itu telah diberikan lebih awal kepada pihak ISS.
Antara soalan yang ditanyakan pelajar termasuk bagaimana seorang angkasawan merawat diri jika jatuh sakit di angkasa lepas? Parmitano menjawab, ISS mempunyai doktor yang akan merawat mereka.
Radio amatur
Komunikasi tersebut dilakukan dengan menggunakan fasiliti radio amatur yang terdapat di Bangunan Mikrosatelit. Ia dikendalikan oleh pemegang lesen radio amatur di bangunan itu, Sangat Singh.
Pada masa sama, para pelajar berpeluang berinteraksi bersama saintis di Pusat Misi Kawalan (MCC) di Innsbruck, Austria menggunakan aplikasi Google Hangout di Google Plus.
MCC merupakan pusat yang mengawal Stesen Penyelidikan Padang Pasir Marikh di Utah, Amerika Syarikat. Ia merupakan satu pusat uji kaji yang meletakkan beberapa orang saintis dalam satu kren dan menjalani kehidupan seperti berada di Planet Marikh.
Melalui perbualan itu, pelajar berpeluang menanyakan soalan kepada salah seorang saintis MCC iaitu Joshua Nelson. Beliau bukan sahaja menjawab soalan daripada pelajar, malah sempat bergurau senda bersama mereka.

AKSI Parmitano ketika berada dalam kapal angkasa di ISS.


Acara lain
Salah satu soalan yang mencuit hati diberikan oleh Muhd. Arshad yang bertanyakan kesahihan kewujudan makhluk asing di angkasa lepas.
Nelson menjawab, dia sendiri turut mencari jawapan tersebut. Justeru itu, dia mengajak pelajar-pelajar untuk mencari jawapannya dengan meneroka angkasa lepas.
Sempena Minggu Angkasa Sedunia yang dianjurkan oleh Angkasa, beberapa acara lain turut diadakan selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 Oktober lalu.
Antaranya, Cabaran Angkasa Peringkat Kebangsaan Piala Perdana Menteri dan telesidang bersama Stesen Penyelidikan Padang Pasir Marikh.
Bagi Hairun Fatini Roslan, 11, dia lebih seronok ketika berkomunikasi dengan Nelson kerana dapat melihat secara visual dan melihat pejabat MCC melalui video.
“Walaupun sekejap, saya dapat melihat wajah Nelson dan berinteraksi dengan beliau secara maya,” katanya.
Guru pengiring, Sabrina Safarrudin, 32, berpendapat aktiviti di Angkasa itu memberi banyak manfaat kepada para pelajar kerana mereka dapat mempelajari subjek sains secara lebih menyeronokkan.
“Mereka sangat teruja apabila diberitahu bakal berinteraksi bersama seorang angkasawan. Malah, para pelajar bersungguh-sungguh menyediakan soalan termasuk bertanyak kepada guru subjek sains,” ujarnya.
Tambahnya, ketika dalam kelas lagi, para pelajar terbabit menunjukkan rasa seronok dengan bertanya beberapa soalan mengenai angkasa lepas.
“Selain itu, semua pelajar membawa buku nota dengan inisiatif sendiri ke Planetarium Negara. Menurut mereka, buku nota itu untuk ditulis maklumat yang bakal dijadikan jurnal,” kata Sabrina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: