Wednesday, October 2, 2013

Infiniti Cinta lagu balas dendam



INFINITI membawa pengertian besar dalam kamus sains yang membawa maksud suatu kuantiti atau jumlah yang tidak terhingga. Begitu juga makna yang ingin disampaikan menerusi single terbaharu kolaborasi Zizan Razak dan Kaka Azraff, Infiniti Cinta.
Ditanya Zizan pengertiannya mengenai makna judul lagu yang dinyanyikannya itu, jawab Zizan ringkas, ia berkaitan perasaan sayang yang tiada penghujung dan usaha untuk memenangi hati seseorang tanpa henti.
Kisah tersebut juga diceritakan menerusi lagu ciptaan Audi Mok dan Omar K itu.
Menerusi klip video yang dilancarkan secara rasmi pada 25 September lalu, ia terkandung sebuah cerita pendek.
Kisahnya bermula apabila seorang Chef (Zizan) yang dimarahi oleh seorang pakar uji masakan dan keesokan harinya berjaya menghasilkan hidangan luar biasa enak hasil cinta pandang pertama dengan seorang pelanggan di restorannya.
Benar kata pengarah muzik video itu, Ghaz Abu Bakar, dia mahu menyuntik mood lokasi seolah-olah di kota metropolitan New York dan terbukti menerusi hasil kreativitinya video yang turut dimuat naik menerusi laman sosial YouTube telah ditonton hampir 100,000 pelayar dalam tempoh lima hari.
KAKA menafikan dia menumpang populariti Zizan.


Bangkit semula
Tidak serik selepas kontroversi lagu Bawaku Pergi awal tahun lalu yang didakwa menggalakkan provokasi remaja lari dari rumah, Zizan akui, Infiniti Cinta adalah lagu balas dendam!
"Tanya mana-mana penyanyi pun sudah tentu mereka mahukan sebuah lagu untuk masyarakat dengar. Tak sangka pula lagu sebelum ini (Bawaku Pergi) menjadi kontroversi.
"Lagu Infiniti Cinta ada kena-mengena dengan kehidupan seharian kita dan ini juga ibaratnya sebuah lagu balas dendam tapi bukan balas dendam dari sudut negatif.
"Saya mahu buktikan kami bukan penyanyi yang hanya mahu menyampaikan mesej-mesej negatif saja. Lagipun, kalau benar lagu Bawaku Pergi itu negatif, mustahil pula dapat tontonan sampai beratus-ratus ribu di YouTube," jelas Zizan yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran klip video Infiniti Cinta di Souled Out, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Zizan, dia tidak melihat kontroversi lagu Bawaku Pergi sebelum ini menjejaskan kerjaya atau perkembangannya sebagai penyanyi rap.
"Kontroversi itu tidak menjejaskan pun, malah ramai lagi yang suka. Perkara sebegitu tidak akan mematahkan semangat dan saya tidak akan mensia-siakan peluang kali kedua ini. Saya memandangnya dari sudut positif," katanya.
Zizan bagaimanapun tidak menolak seandainya dia ditawarkan untuk menyanyi solo dan mendapat sebuah lagu yang sesuai, namun dia akui kini masih selesa untuk menyanyi rap.
Juliana Evans
Begitu juga Kaka yang menjadi artis sulung menganggotai keluarga Wirefame Entertainment dua tahun lalu, katanya, kisah negatif Bawaku Pergi tidak pernah mematahkan impiannya untuk terus merakamkan lagu baharu.
"Saya memang peminat Zizan. Apabila dapat peluang untuk bekerja bersamanya sudah tentu sukar untuk saya tolak. Zizan mempunyai aura yang kuat dan bakat yang luar biasa.
DARAH SENI... Kaka merupakan anak saudara Ella.


"Apabila dia marah, dia marah dalam keadaan yang aman, lagipun saya sudah faham bagaimana dan bila dia boleh bergurau dan serius ketika bekerja," ujarnya yang berkenalan dengan Zizan menerusi pelakon jelita, Juliana Evans.
Tegas Kaka, dia tidak pernah terlintas untuk menumpang populariti Zizan memandangkan kedua-dua singlenya merupakan duet bersama pelawak kelahiran Terengganu itu.
"Zizan senang untuk bekerjasama dan banyak memberikan tunjuk ajar. Tidak pernah pula terlintas untuk saya menumpang tuah Zizan atau menjadi bayangan dia.
"Saya tidak memandang populariti kerana menyanyi itu memang sudah ada dalam diri saya," kata Kaka yang usai merakamkan sebuah single berjudul Terpulanglah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Bayang Ella
Beberapa kali mendengar vokal Kaka atau pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff dalam lagu Infiniti Cinta, terkesan sedikit lenggok dan vokal yang persis Ratu Rock, Ella.
Mengakui akan hakikat yang sukar disorok itu, kata Kaka, dia tidak boleh lari daripada terikut-ikut dengan ibu saudaranya, Ella.
"Saya susah nak lari, kalau ada bunyi-bunyi Ella saya tidak tahu tapi sejujurnya persembahan saya dalam lagu ini datang daripada diri sendiri.
KAKA mengakui yang dia adalah salah seorang peminat Zizan.


"Tidak boleh saya nafikan saya kadang-kadang terpengaruh dengan Ella kerana dialah hiburan saya sejak kecil dan dia juga saudara saya tapi saya tidak tiru Ella dan tidak mengambil apa-apa untuk menjadi diri saya hari ini.
"Mungkin akan ada sedikit sebanyak yang tertumpah, saya mengharapkan pendengar boleh menerima saya sebagai diri saya dan enggan dilihat atau dibayangi Ella," katanya yang menjadikan Ella sebagai ikon keluarganya.
Kaka bagaimanapun tidak boleh melenting apabila dikaitkan sering dibayangi Ella.
Kata Kaka, dek kata-kata itu dia seboleh-boleh mengelak daripada menyanyikan lagu Ella.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: