SUBANG JAYA: Selepas lama mendiamkan diri, pelakon Ida Nerina bakal muncul menerusi program Liga Lawak Superstar (LLS) yang bakal disiarkan secara langsung di TV3 bermula Ahad ini.
Pengarah dan penerbitnya, Afdlin Shauki berkata, Ida akan bergandingan bersama Vanida Imran dan Adlin Aman Ramlie sebagai juri bagi program yang melibatkan 16 selebriti ini.
"Kita tahu, Ida sudah lama tidak melibatkan diri dalam televisyen dan rasanya pasti ramai peminat merindui dia.
"Alhamdulillah, pada mulanya Ida seperti berfikir panjang untuk menerima tawaran ini tetapi akhirnya dia bersetuju untuk beri kerjasama," katanya.
Afdlin ditemui pada majlis pelancaran program LLS di Hotel Empire di sini pada Rabu.
Tambah Afdlin, memandangkan Ida kini berkerusi roda, pihak produksi akan membantu pelakon itu daripada segi pergerakannya.
Mengenai program LLS, selama 16 selebriti akan dibahagikan kepada lapan kumpulan antaranya Kamal Adli, Iqram Dinzly, Syafiq Kyle, Akim Ahmad, Mikael Andre, Sheera Iskandar, Riezman Khuzaimi, Qazeem Nor, Idzham Ismail, Aidil Aziz, Anas Ridzuan, Aman Nassim dan Zalif Sidek.
Selain itu, pelawak seperti Azlee (Senario), Bell Ngasri, Aziz M. Osman, Ilya, Hamdan, Sathiya, Ropie, Didie Alias dan Farouk Hussein terlibat sebagai mentor kepada peserta.
“Ini merupakan sebuah program baharu yang memberikan sedikit kelainan kepada penonton dan juga artis. Banyak permainan yang memerlukan artis itu menggunakan mental dan fizikal untuk menyelesaikan sesebuah tugasan," ujarnya.
Sebelum itu, para peserta telah diberikan latihan fizikal selama dua hari pada 23 dan 24 September lalu di Lembah Pangsun, Pusat Eko dan Rekreasi, Hulu Langat, sebagai persediaan beraksi pada hari pertandingan nanti.
LLS yang bakal dihoskan sendiri oleh Afdlin Shauki dan Adibah Noor bersiaran bermula pukul 9 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: