Thursday, October 10, 2013

Hunny tidak lupakan nyanyian




HUNNY mahu meneruskan perjuangan sebagai penyanyi dengan mencuba genre baharu seperti hip hop dan R&B.


APABILA melihat kepada perkembangan dalam industri muzik tempatan sekarang ini, tidak dinafikan terdapat beberapa orang penyampai radio yang telah memilih nyanyian sebagai bidang kerjaya.
Sekadar menyebut beberapa nama seperti Adibah Noor, Dina Nazir, Aril AF dan Zahid AF, sudah tentu mereka perlu berhadapan dengan risiko dan cabaran getir yang terpaksa dilalui.
Paling ketara pastinya lagu-lagu mereka yang kurang disiarkan di stesen-stesen radio lain memandangkan status mereka sebagai seorang penyampai di sesebuah stesen radio tersebut.
Bagi seorang lagi penyampai radio stesen berbahasa Inggeris, Fly FM, Hunny Madu beranggapan bahawa ia seharusnya tidak perlu menjadi halangan besar kerana masih banyak medium lain yang boleh digunakan.
"Saya akui lagu-lagu saya agak jarang dimainkan di stesen radio lain tetapi saya anggap ia sebagai satu cabaran yang perlu dilalui sekiranya mahu menjadi seorang penyanyi yang berjaya serta menghasilkan produk berkualiti.
"Lagipun dengan teknologi yang ada sekarang ini, terdapat beberapa cara lain yang boleh digunakan seperti promosi menerusi YouTube. Saya berpendapat bahawa ia merupakan satu pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak menafikan bahawa peranan stesen radio itu masih lagi penting buat penyanyi tetapi Hunny enggan menjadikan kesukaran yang terpaksa ditempuhi itu akan mematahkan semangatnya untuk terus bergelar penyanyi.
Menceritakan lebih lanjut mengenai kariernya dalam bidang nyanyian, Hunny menyatakan yang dia masih lagi terus aktif. Bagaimanapun, tawaran yang diterimanya sekarang ini menjurus kepada bidang pengacaraan dan penyampai radio.
Ujar Hunny, apa yang dilakukannya sekarang ini semuanya disebabkan minat. Lantaran itu dia terpaksa membahagikan masa agar ia dapat berjalan dengan lancar dan tidak menjejaskan sebarang aktiviti yang dilakukan.
"Mungkin ramai peminat menyangka yang saya seperti sudah merajuk untuk terus aktif menyanyi gara-gara pernah meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan pencalonan untuk Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18).
"Sebenarnya saya sudah melupakan perkara tersebut dan ingin memohon maaf atas ketelanjuran kata-kata saya dahulu. Sejujurnya saya tidak merasakan kekurangan mendapat tawaran membuat persembahan nyanyian berpunca daripada isu tersebut," luahnya.
Akur dengan kehendak banyak pihak yang lebih kerap menawarkannya menjadi pengacara, Hunny sedar bahawa perkara berkenaan berlaku gara-gara dia pernah melupakan seketika bidang nyanyian kerana berbadan dua pada tahun lalu.
Menurutnya, dalam keadaan dirinya yang hamil agak membataskannya untuk melakukan banyak aktiviti, akhirnya keputusan dibuat bagi memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan sahaja.
"Itu antara punca utama saya tidak aktif menyanyi dan bukan disebabkan merajuk kerana kekecewaan yang melanda semasa AIM 18.
"Kini, saya sudah kembali aktif menyanyi dan tawaran nyanyian yang diterima semakin banyak," jelas selebriti berusia 29 tahun itu.
Album baharu
Pada tahun 2011, impian Hunny Madu untuk menghasilkan album telah terlaksana dengan terbitnya album berjudul Pulau Janji yang mengandungi sebanyak 12 buah lagu termasuk Melayu dan Inggeris.
Antara lagu-lagu tersebut seperti 3 Perkara, Bayangkanlah, Out There, Ting Ting, Dari Masa Hadapan, Shake, Miss Strong, Pulau, Berlari dan Luxe Life serta dua buah lagu duet iaitu Kisah Kita bersama Anuar Zain dan Hey R yang menampilkan Najwa Mahiaddin.
"Kalau menceritakan tentang album berkenaan, saya bersyukur kerana mendapat maklum balas positif dari- pada peminat. Meskipun dari segi penjualan tidak begitu memberangsangkan, saya telah melakukan yang terbaik dengan kelainan yang ditampilkan.
"Pada masa yang sama saya amat gembira kerana mendapat peluang untuk berkolaborasi dengan Najwa dan Anuar. Saya cukup meminati vokal kedua-dua penyanyi tersebut dan ia merupakan satu penghargaan buat diri sendiri kerana kesudian mereka untuk bekerjasama dengan saya," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai penerbitan album baharu pula, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan, dia sedang mencuba genre muzik baharu dan mahu fokus untuk menghasilkan lagu-lagu hip hop dan R&B yang dapat memenuhi cita rasa peminat.
Jelas Hunny, dia mempunyai sasaran tersendiri untuk meletakkan penyanyi rap wanita setanding dengan lelaki dan kini dia sedang dalam proses menyiapkan beberapa buah lagu bersama penyanyi rap wanita terkenal iaitu Kayda Aziz yang juga anak kepada penyanyi Sheila Majid.
"Sebenarnya saya dan Kayda tergolong dalam kumpulan Hip Hop yang dikenali sebagai Flow Fam XXII. Selain kami berdua, terdapat individu lain yang menyertai kumpulan ini seperti Sona One, Karmal, Dose Two, DJ Guibo, Sleeq dan Akeem," jelasnya.
Ujarnya, menerusi gandingannya bersama Kayda juga, mereka bakal melancarkan beberapa buah single baharu dalam masa terdekat sebelum tampil dengan album baharu nanti.
Tiada halangan
Tanggal 12 Disember 2012 pastinya menjadi detik yang paling membahagiakan buat Hunny Madu apabila dikurniakan cahaya mata sulung perempuan yang diberi nama Eva Medina.
Bercerita tentang kehidupannya setelah hampir setahun bergelar seorang ibu, Hunny memberitahu, jadual hariannya sangat ketat kerana perlu memberi perhatian antara kerjaya dan keluarga.
"Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan yang dilalui sekarang ini. Apatah lagi dengan memiliki suami yang cukup memahami karier dan langsung tidak menghalang karier saya sebagai penyanyi, pengacara dan penyampai radio.
"Walaupun mempunyai jadual yang ketat dalam kehidupan seharian, namun saya akan memastikan dapat meluangkan masa secukupnya bersama suami dan anak. Ada kalanya perasaan rindu terhadap Eva juga selalu dirasai apabila keluar bekerja," ujar isteri kepada Khairul Azhar Abdul Wahid itu.
Ditanya mengenai perkembangan aktiviti terbaharunya pula, Hunny memberitahu, dia baru sahaja selesai menjadi pengacara untuk program tanggungjawab sosial (CSR) anjuran produk Ayam Brand pada minggu lalu.
"Sebenarnya saya bukanlah duta kepada produk Ayam Brand, sebaliknya sebagai rakan artis untuk produk tersebut dan merupakan kerjasama saya yang kedua bersama mereka.
"Sebelum ini saya pernah menyertai program CSR yang dianjurkan iaitu pergi melawat ke rumah anak-anak yatim," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: