Saturday, October 12, 2013

Fauzi niat tolong Noni, malu didakwa skandal

FAUZI NAWAWI sudah tidak mahu lagi dikaitkan dengan kontroversi mempunyai skandal bersama perempuan lain.


HAMPIR tiga tahun ‘bersih’ daripada sebarang gosip mempunyai hubungan sulit dengan wanita, pelakon sensasi Fauzi Nawawi, 40, sekali lagi dikaitkan mempunyai hubungan sulit. Kali ini, pelakon itu dikaitkan dengan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima, Nonny Nadirah Zainuddin atau Noni.
Fauzi dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan Noni selepas pelakon dan penyanyi berusia 28 tahun itu berlakon dan bekerja di bawah syarikat milik Fauzi dan isterinya, Lisdawati iaitu Perfect Illusion Corporation Sdn. Bhd.
Sebelum ini, Fauzi sering kali dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita.
Jika Noni sudah menafikan hubungan tersebut, bagaimana pula dengan Fauzi?
Ikuti luahan Fauzi ketika ditemui pada sesi penggambaran drama Dia Suamiku siaran Astro Prima (saluran 105) di Bukit Jelutong, Shah Alam.
KOSMO!: Anda sekali lagi dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Kali ini dengan Noni pula. Sila komen?
FAUZI: Saya terkejut bila orang sekali lagi mengaitkan saya dengan wanita. Setelah hampir tiga tahun tanpa sebarang cerita panas dengan wanita, tiba-tiba saya dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan Noni. Ini semua salah faham. Saya dengan dia sekadar rakan sekerja, tidak lebih daripada itu. Kami tidak pernah ada hubungan peribadi.
Bagaimanakah boleh timbul salah faham itu?
Noni banyak bekerjasama dengan saya. Dia juga sudah membintangi dua drama di bawah arahan saya iaitu Aiman Tempe dan Kiambang. Kami juga sama-sama terlibat dalam jentera pilihan raya malah, Noni sendiri merupakan model kepada produk Aqua Therapy milik syarikat saya dan isteri, Lisdawati, Perfect Illusion Corporation Sdn. Bhd.
Ibarat perumpaan, ‘jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang?’
Saya juga pelik dalam ramai-ramai artis yang pernah bekerjasama dan menimba ilmu lakonan dengan saya seperti Reen Rahim, Ika Nabella dan Agnes Wong, kenapa Noni yang dikaitkan. Saya tidak pernah keluar berdua dengan dia (Noni). Kami juga tidak pernah bergambar berdua kecuali dalam majlis-majlis yang meminta kami untuk bergambar bersama.
Jika begitu kenapa anda dituduh mempunyai hubungan sulit dengan Noni?
Mungkin mereka anggap perkara itu (mempunyai hubungan sulit) sudah sinonim dengan saya. Pantang nampak saya rapat dengan wanita, terus dituduh mempunyai hubungan.
UJAR Fauzi, orang suka menyalah anggap hubungan baiknya dengan wanita.


Dalam ramai-ramai artis yang pernah bekerja dengan anda, tetapi Noni nampaknya sering kali bekerjasama dengan anda. Komen?
Saya nampak Noni ada bakat. Dia juga seorang diri di sini kerana keluarganya semua di Sabah. Sebagai salah seorang kawan, tidak salah sekiranya saya menolongnya. Lagipun saya banyak pengalaman dalam bidang lakonan. Pengalaman yang saya ada ini lebih baik dikongsikan. Bukannya boleh dibawa mati.
Apakah perasaan anda bila sekali lagi dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan wanita?
Saya sebenarnya malu. Bila sudah berumur 40 tahun, saya sudah serik dan tidak mahu terbabit dengan kontroversi yang macam ini. Saya sangat malu dengan anak sulung saya, Nurul Hainil Fatihah, 18. Dia yang merupakan pelajar tahfiz pernah menegur dan bertanya mengenai gosip-gosip saya dengan artis wanita sebelum ini. Saya juga takut gosip sebegini boleh jejaskan hubungan baik saya dengan rakan-rakan perniagaan kerana kini saya sudah berkecimpung dalam bidang tersebut.
Bagaimanakah pula dengan penerimaan Lisdawati berhubung perkara ini?
Walaupun dia tidak pernah marah dan melenting bila suaminya sering kali dikaitkan dengan wanita, tetapi saya tahu perasaan dia. Sudah tentu dia berasa risau dengan semua gosip itu lebih-lebih lagi kesemua artis wanita yang dikaitkan dengan saya lebih muda daripada dia.
Apa yang dia cakap setiap kali perkara ini timbul?
Dia nasihatkan saya supaya kurang rapat atau baik dengan wanita. Dia kata orang akan ambil kesempatan.
Beralih pada soalan lain, boleh kongsikan mengenai perkembangan dunia seni anda sekarang?
Saya masih menunggu filem pertama arahan saya keluar iaitu Pak Pong terbitan 9 Country Creativitiy Sdn Bhd. Filem genre komedi, aksi dan fiksyen itu dibintangi oleh Datuk Eizlan Yusof, Saiful Apek, Lisdawati, Marsha, Siti Saleha, Amber Chia, Syawal AF, Joey dan saya sendiri.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: