Monday, October 7, 2013

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

DIANA mengaku kesibukan suaminya, Zamarul membuatkan mereka jarang keluar bersama, namun Zamarul tetap pulang ke rumah.


HUJUNG minggu lalu dalam sebuah akhbar mingguan terdapat khabar angin yang mengatakan rumah tangga pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar yang dibina pada tahun 2009 itu sedang bergolak.
Semuanya gara-gara Diana yang dilihat sering bersendirian apabila menghadiri acara hiburan termasuklah persandingan pelakon Fouziah Gous baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, menurut khabar angin yang bertebaran, Zamarul dikatakan terlalu sibuk dan sudah lama tidak pulang ke rumah menjenguk isteri dan anaknya, Kashfi Haiqal, 3 tahun. Diana pula sering lihat berada di rumah ibunya di Shah Alam, Selangor.
Bagi mendapatkan pengesahan mengenai khabar angin ini, Kosmo! menghubungi Diana semalam dan ternyata dia cukup terkejut dengan khabar angin terbaharu itu. Bagaimanapun, Diana tidak menafikan dia sering bersendirian sejak kebelakangan ini.
Kosmo!: Benarkah rumah tangga Diana dan Zamarul sedang bergolak?
DIANA: Perkara itu tidak betul dan saya nafikan khabar angin tersebut. Kami masih bahagia dan rumah tangga saya berada dalam keadaan baik. Sebenarnya saya sendiri terkejut apabila tiba-tiba sahaja keluar berita seperti ini.
Sejauh manakah kebenaran yang mendakwa anda sering dilihat bersendirian tanpa suami menghadiri majlis-majlis hiburan?
Saya tidak nafikan memang saya selalu bersendirian ke mana-mana majlis hiburan dan majlis rasmi. Saya tidak boleh elak untuk keluar rumah sendirian kerana saya juga ada kerja yang harus diselesaikan, takkan kerana suami saya sibuk saya tidak boleh keluar rumah.
Khabar angin mendakwa, Zamarul sudah lama tidak pulang ke rumah manakala anda pula sering berada di rumah ibu di Shah Alam, Selangor. Benarkah?
Walaupun sibuk sehingga 3 pagi, suami saya tetap pulang ke rumah setiap hari. Kalau orang selalu lihat saya di rumah ibu, sebenarnya rumah saya, ibu serta kakak-kakak saya semuanya berdekatan. Kebetulan anak saya bersekolah dekat dengan rumah ibu, apa salahnya saya melawat ibu setiap hari.
DIANA RAFAR dan Zamarul Hisham masih bahagia sebagai suami isteri.


Jika kalian bahagia, bagaimanakah isu pergolakan rumah tangga ini boleh timbul?
Mungkin sebab memang orang selalu lihat saya sendirian dan kemuncaknya apabila saya hadir ke majlis persandingan Fouziah Gous seorang diri. Ramai rakan artis dan media bertanya di mana suami saya? Memanglah waktu itu, kami bercadang untuk hadir bersama tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia terikat dengan penggambaran. Mahu tidak mahu saya hadir seorang diri, memenuhi jemputan rakan saya.
Adakah kalian sudah berbincang mengenai khabar angin ini?
Setakat ini kami belum sempat berbincang lagi kerana cerita ini keluar secara tiba-tiba. Suami saya juga sibuk dengan kerja, cuma keluarga ada bertanya hal ini kepada saya, mereka juga terkejut tetapi selepas diterangkan keadaan sebenarnya mereka faham.
Isu rumah tangga bukan perkara yang remeh. Adakah anda tertekan dengan khabar angin ini?
Saya akui memang agak tertekan sebab saya tahu cerita ini pun daripada orang. Bila saya keluar tiba-tiba banyak mata yang memandang serong dan bertanyakan hal rumah tangga kepada saya. Sekarang saya masih kuat, saya takut jika khabar angin ini berlarutan, saya jadi tidak kuat.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?
Sekarang memang saya perlahankan kerjaya seni untuk beri tumpuan kepada keluarga tetapi saya masih berlakon dalam banyak telefilem. Jika tidak ada aral melintang, selepas ini saya akan terlibat dalam penggambaran drama bersiri untuk slot Samarinda. Selebihnya saya sibuk dengan urusan perniagaan dan tugas sebagai duta produk kecantikan Sumber Ayu dan Maixara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: