![]()
AMAN memilih untuk memperkenalkan dirinya kepada penonton menerusi lakonan terbaik berbanding dikenali kerana kontroversi murahan.
|
AMAN NASSIM menceburi dunia lakonan bukan secara semberono. Dia juga tidak mengharap menjadi popular.
Sebaliknya jejaka berumur 24 tahun itu sudah mencongak masa depannya untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjaya. Justeru, Aman memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam dunia seni.
Pemilik nama penuh Abdul Rahman Nassim itu merupakan graduan Diploma Teater daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Dia menamatkan pengajian kira-kira dua tahun lalu tetapi kini bergelar pelakon sepenuh masa.
"Saya memilih bidang pengajian itu kerana mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya. Pengajian dalam bidang teater banyak membantu saya mengasah bakat lakonan dan menambah kemahiran," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.
Dia meletakkan sasaran untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjayanya berbanding mengejar nama. Menurutnya, populariti jatuh ke No. 2 kerana menganggap hal itu sebagai bonus buat mereka yang rajin berusaha.
"Kalau kita berjaya buktikan yang kita adalah seorang pelakon hebat, popular itu akan datang juga. Ia sebagai satu kitaran kerana boleh hadir dan pergi begitu sahaja.
"Justeru, saya tidak mahu menjadi popular semata-mata tetapi ingin membuktikan dahulu bahawa saya boleh melakukan yang terbaik. Jika kita buktikan bahawa kita pelakon yang berkualiti, itu sudah cukup untuk membuka mata penerbit dan pengarah," ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.
Disebabkan memikirkan masa depannya juga, Aman yang memiliki ketinggian 178 sentimeter itu memilih dunia lakonan komersial berbanding bergiat di pentas teater.
"Itu bukan bermaksud teater tiada masa depan. Cuma, teater sedikit sukar berbanding pelakon komersial yang mendapat pulangan yang lebih.
"Keutamaan saya kini adalah untuk memberi tumpuan bergelar pelakon berjaya dahulu. Namun, teater juga penting kerana di situlah ruang untuk seorang pelakon mengasah kemahirannya," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun kariernya dalam bidang ini bermula sejak dua tahun lalu, namun, nama pelakon muda itu hanya mekar baru-baru ini.
Pelakon yang pernah terlibat dalam beberapa buah drama termasuklah Cinta Gadis Igal-Igal dan Sebenarnya Saya Isteri Dia itu mengaku bahawa penonton sudah menyedari kehadirannya dalam industri perfileman setelah menjayakan watak Muaz dalam drama Derhaka Seorang Madu di saluran TV3.
"Syukur, walaupun masih ramai yang tidak ingat nama saya, tetapi sudah ada yang mula memerhatikan lakonan saya selepas terlibat dalam beberapa buah drama.
"Pastinya, ia akan menjadi batu loncatan untuk saya menonjolkan diri kepada khalayak. Sebab itu juga, saya menjadi lebih yakin untuk mendedahkan diri kepada rakan-rakan media. Sekurang-kurangnya apabila ditemu ramah, saya boleh bercerita tentang produk lakonan," katanya yang mengagumi bakat lakonan Zamarul Hisham dan Faizal Hussein.
Dalam perkembangan sama, Aman merupakan salah seorang peserta yang terlibat dalam rancangan Liga Lawak Superstar yang dibarisi para pelawak tempatan dan pelakon di saluran TV3.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: