• Acu besi terhadap ibuTertuduh (dua, kiri) dikawal kemas anggota polis untuk dibawa ke penjara bagi menjalani hukuman itu

KOTA BHARU - Tindakan luar batasan seorang penganggur mengejar ibu sambil mengacu besi ketika mangsa membaca al-Quran, menyebabkan dia dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh, Mohd Anuar Hamid, 30, dari Peringat di sini, mengaku salah.

Kejadian berlaku di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Padang Mengkali, Peringat pada jam 10.30 pagi, 29 Ogos lalu.

Ketika itu, ibu tertuduh, Mariam Semail, 64, sedang membaca al-Quran dimarahi dan dihalau tertuduh yang baru bangun daripada tidur.

Apabila ibunya bertanya ke mana dia hendak pergi jika keluar dari rumah itu, tertuduh kemudiannya berang dan bertindak mengacu besi.

Wanita itu ketakutan lalu melarikan diri tetapi dikejar tertuduh. Dia kemudian buat laporan berikutan takut perkara lebih buruk berlaku kerana sebelum ini tertuduh pernah mengacu golok kepadanya.

Pada prosiding semalam, Mohd Anuar mulanya menafikan fakta kes itu, namun, menukar pengakuan selepas Nik Habri mahu memanggil ibunya untuk menjalankan perbicaraan.

Nik Habri kemudian mengarahkan hukuman berkuat kuasa serentak daripada tarikh dia ditahan, hari kejadian. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.