Thursday, April 4, 2013

Najib umum bubar Dewan Rakyat

NAJIB bersalaman dengan barisan menteri Kabinet selepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk diadakan.
Najib berkata, permohonan untuk pembubaran Dewan Rakyat ke-12 itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah setelah beliau menghadap Seri Paduka pagi semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar menghadap sultan dan bertemu Yang Dipertua Negeri bagi mendapat perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Ia bertujuan agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara,” katanya ketika berucap mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya di sini semalam. Ucapan itu disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen Malaysia.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet lain yang rata-rata berpakaian sut gelap dan bertali leher merah.
DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April tahun 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional menang 55 daripada 71 kerusi DUN.
Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Dewan Rakyat.
Berdasarkan daftar pengundi sehingga Disember 2012, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara ialah seramai 13.3 juta orang.
Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN akan dipertandingkan di peringkat negeri.
Ketika Dewan Rakyat dibubarkan, komposisi di Parlimen menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), Pas (23) dan Parti Keadilan Rakyat (22).
Parti Sosialis Malaysia memiliki satu kerusi dan Parti Progresif Sabah (SAPP) menguasai dua kerusi, manakala lapan lagi kerusi disandang Ahli Parlimen bebas.
Sementara itu, Najib turut menyeru agar semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam proses pilihan raya kali ini supaya bertanggungjawab dengan mengamalkan demokrasi yang telah diamalkan di negara ini selama lebih lima dekad lalu.
“Amalan demokrasi Malaysia kekal dan berjaya walaupun bersifat sengit dan amat berdaya bersaing, namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.
“Saya menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan,” katanya.
Najib turut menyeru rakyat supaya insaf dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik kotor seumpama itu diguna pakai.
“Kesan akhirnya, proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk daripada parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat.
“Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: