Thursday, April 4, 2013

Kaji gajah daripada tahi


NAJIS gajah mempunyai bentuk bulat berketul.


SETIAP dua minggu sekali, Steven Lim Boon Hock, 50, pergi ke lokasi-lokasi tertentu di Kompleks Hutan Belum-Temengor (BTFC) bagi meninjau dan melakukan kerja-kerja penyelidikan berkaitan gajah seperti pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau merupakan Pengurus Projek Lapangan Pengurusan Dan Ekologi Gajah-Gajah Malaysia (MEME) memberi fokus kepada dua bahagian iaitu pemakanan dan kehidupan koloni haiwan darat terbesar itu.
MEME merupakan sebuah badan bebas bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan penyelidikan mengenai gajah di Malaysia.
Sebaik kaki Steven dan dua orang pembantu berketurunan Orang Asli memijak daratan dipanggil sira gajah selepas perjalanan menaiki bot lebih sejam, bau wangi buah mangga begitu menusuk hidung.
“Sekarang sedang musim buah dan ini merupakan makanan kegemaran gajah,” ujar Steven kepada penulis sambil memegang buah mangga. Buah-buah mangga ranum yang gugur kelihatan merata-rata di permukaan tanah.
Garam galian
Sira gajah mempunyai landskap berbukit dan merupakan tempat gajah mendapatkan nutrisi tambahan dengan menggali tanah yang mengandungi tinggi garam galian.
“Gajah juga merupakan frugivora dan pasukan kami sedang dalam kajian untuk menentukan jenis buah yang menjadi makanannya,” terang Steven. Frugivora bermaksud haiwan yang makan buah sebagai makanan utama.
Kajian dijalankan dengan melihat pada najis gajah yang ditinggalkan di kawasan tersebut. Najis gajah berbentuk bulat berketul-ketul.
Bahan buangan itu mempunyai fiber. Hasil diet gajah yang makan rumput gajah atau napier membuatkan tahi seperti berbungkus. Jika dibungkas, biji benih daripada buah yang dimakan boleh ditemui.
Menurutnya, gajah-gajah di BTFC sangat sihat kerana rumput napier yang tumbuh di kiri kanan Lebuh Raya Timur-Barat memberi sumber makanan yang cukup.

GAJAH ini ditemui penulis bersama rombongan MEME di tepi Lebuh Raya Timur-Barat pada waktu malam baru-baru ini.


Sebab itulah, pemandu yang ‘bertuah’ melalui jalan itu pasti bertembung dengan gajah yang melintas pada waktu malam.
MEME juga menjalankan kerja-kerja ad hoc seperti mengadakan rondaan jika mendapat informasi daripada penduduk kampung Orang Asli.
Selain kajian terhadap pemakanan gajah, MEME menjalankan program pemakaian kolar yang dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
Ia bertujuan untuk memantau dan menyelidik pergerakan dan laluan yang sering digunakan gajah terutamanya di tempat-tempat yang berlaku konflik antara gajah dan manusia.
“MEME telah memasang kolar pada 15 ekor gajah dan kami menyasarkan 50 ekor kesemuanya dalam tempoh tiga tahun,” ujar Steven.
Konflik manusia-gajah pernah direkodkan pada tahun 1895 apabila kawasan hutan mula diteroka dan gajah ditangkap dan dijinakkan.
Keadaan konflik paling teruk pernah berlaku sekitar tahun 70-an hingga 80-an kerana pada waktu itu banyak kawasan hutan dibuka untuk tujuan pertanian seperti kelapa sawit dan getah.
“Sebanyak 549 kes aduan konflik gajah dilaporkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sepanjang tahun 2012,” kata Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Konservasi Biodiversiti, Perhilitan, Salman Saaban ketika dihubungi melalui e-mel.
Terdapat tiga usaha utama yang dijalankan oleh Perhilitan dalam menangani masalah tersebut iaitu tembak-halau, tangkap-pindah dan pemasangan pagar elektrik.
Teknik tembak-halau digunakan di kawasan konflik yang terletak berdekatan dengan hutan luas. Tembakan ke udara dilepaskan bagi menakutkan kumpulan gajah, seterusnya melarikan diri ke dalam hutan dan tidak mengganggu lagi.
Tangkap dan pindah pula digunakan bagi menangani masalah konflik di kawasan pertanian yang berhampiran dengan habitat gajah yang terkepung.
“Gajah terlibat ditangkap ditembak dengan ubat pelali dan dipindahkan ke habitat yang lebih luas serta sesuai,” terangnya lagi.
Antara habitat yang lebih sesuai seperti di Taman Negara, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Negara Endau-Rompin.
Kaedah pemasangan pagar elektrik khusus bagi mengatasi masalah gangguan di perkampungan yang berhampiran dengan kawasan hutan di kampung-kampung Orang Asli di Hutan Temengor.
Gajah ada perasaan sedih
“Setakat ini, langkah-langkah yang diambil telah berjaya menyelesaikan konflik gajah di kawasan-kawasan berkenaan,” kata Salman membuat kesimpulan.
Gajah mempunyai daya ingatan yang kuat terutamanya sesuatu yang memberi ia kesakitan atau bahaya, kata Veterinar Zoo Negara, Dr. Muhamad Danial Felix, 46.
CCTV dipasang bagi merakam pergerakan dan kelakuan kumpulan gajah.


Malah, mamalia daratan terbesar itu juga memiliki perasaan sedih. Ia dibuktikan secara saintifik melalui kajian terhadap air kencing yang diambil ketika gajah mengalami tekanan.
Terdapat satu tempoh masa berkala apabila gajah jantan akan menunjukkan perlakuan yang sangat agresif. Waktu itu dipanggil musth, ketika tahap testosteron berada pada peringkat tinggi.
“Waktu ini kebanyakan orang memanggil gajah naik minyak dan ia berlaku setiap tahun,” katanya.
Musth dapat dikesan dengan melihat sejenis cecair yang keluar daripada kelenjar temporal gajah. Haiwan itu boleh menjadi ganas kepada manusia walaupun sebelum ini bersikap mesra.
Gajah hidup secara berkumpulan antara 10 hingga 15 ekor yang terdiri daripada betina dan anak-anak. Gajah jantan akan menyertai kumpulan apabila mahu mengawan.
Gajah betina bunting sehingga 24 bulan dan menjaga anak sampai mencapai usia antara empat hingga lima tahun.
Gajah terbahagi kepada dua spesies iaitu gajah Afrika dan Asia yang boleh dikenal pasti melalui ciri fizikal seperti saiz badan dan bahagian kepala yang gajah Asia yang berbonggol, manakala Afrika tampak rata.
“Perbezaan itu tiada fungsi asas, cuma adaptasi terhadap persekitaran,” ujar Muhamad Danial ringkas.
Dalam dunia liar, gajah boleh mencapai usia lebih 60 tahun.
Gajah pigmy yang boleh ditemui di Sabah pula barangkali subspesies gajah Asia selepas perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pada tahun 2003.
Awal tahun ini, Malaysia dikejutkan apabila bangkai 10 ekor gajah pigmy ditemui mati akibat diracun di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau, Sabah.
Kesemuanya dipercayai satu keluarga dan dijumpai mati di tiga lokasi tidak jauh antara satu sama lain sejak 29 Disember 2012 hingga 24 Januari lalu.
Imej seekor anak gajah yang mendekati ibunya yang telah terbungkam sungguh menyayat hati. Ia bukti jelas bahawa haiwan tersebut sangat mengenali ibunya dan tahu rasa sedih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: