Saturday, April 6, 2013

Jentera teknologi pintar

BMW HP4


TANGGAL 27 Mac lalu, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) secara rasminya memperkenalkan senjata 1,000cc terbaharunya.
Jentera supersports itu sudah pasti memberi saingan sengit kepada pengeluar-pengeluar motosikal Jepun dan Itali. Apa lagi jika bukan HP4.
Secara umumnya, HP mendokong maksud High Performance. Produk dengan lencana itu bukan sekadar sebuah motosikal berprestasi tinggi.
Ia sebenarnya telah disuntik dengan teknologi termaju ciptaan pengeluar kenderaan dari Jerman itu. BMW HP4 ialah model keempat dalam keluarga HP selepas HP2 Enduro, HP2 Megamoto dan HP2 Sport.
Bezanya, motosikal terbaharu itu menggunakan khidmat enjin empat silinder sebaris. Model sebelumnya dipasang enjin boxer.
Ia telah dipertontonkan sewaktu Pameran Antarabangsa Intermot 2012 di Cologne, Jerman. Sekali pandang, anda akan mengetahui model itu adalah versi model S 1000 RR dengan pakej penambahbaikan.
Jentera dengan salutan cat berwarna biru, hitam dan putih itu menduduki tangga teratas dalam kategori satu liter berhubung soal berat.
Berat keseluruhan HP4 jika mengambil kira sistem brek Race ABS, tangki petrol 90 peratus penuh dan semua bendalir adalah 199 kilogram (kg). Jika berat kering, ia cuma 169kg.
Penurunan berat itu disumbang oleh dua komponen utama. Pertama, penggunaan sistem ekzos titanium penuh Akrapovic yang mengurangkan berat sehingga 4.5kg.
Ekzos itu berperanan meledakkan tork pada peringkat pertengahan (mid-range torque).
Keduanya, rim aloi tempa tujuh jejari berserta spoket yang mengikis berat sebanyak 2.4kg berbanding model S 1000 RR.
Selain mengurangkan berat, rim ringan itu membantu mempercepatkan pengemudian roda, sekali gus meningkatkan aspek kawalan jentera.

DARI kiri: Ketua Motorrad BMW Malaysia, Fazli Hisham Shukor dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Gerhard Pils pada majlis pelancaran model HP4 di Sepang, Selangor baru-baru ini.


Teknologi DDC
HP4 merupakan motosikal pertama yang mempunyai sistem suspensi semi-aktif yang dikenali sebagai Dynamic Damping Control (DDC).
Sistem itu akan menyesuaikan serapan hentakan secara automatik dalam tempoh 10 milisaat sewaktu tunggangan.
Maknanya, DDC akan mengeraskan suspensi hadapan mengikut kesesuaian apabila anda membrek mengejut. Monoshock belakang pula dikeraskan ketika memecut.
Suspensi bertukar menjadi lembut apabila terpaksa meredah laluan tidak rata dan berlubang.
Penyerap hentak juga diselaras apabila mengambil selekoh. Pengubahan tahap redaman dibuat secara elektrik.
DDC dihubungkan kepada empat jenis mod enjin sedia ada iaitu Rain, Sport, Race dan Slick. Pilihan mod dibuat dengan menekan butang pada hendal.
Rain untuk permukaan basah, Sport untuk jalan biasa dan Race untuk litar lumba. Mod Slick boleh juga digunakan di litar jika mengguna pakai tayar jenis licin.
Andai memilih mode Rain dan Sport, DDC mengubah tetapan redaman suspensi ke peringkat maksimum untuk keselesaan apabila menyusuri laluan luar bandar.
Pantulan redaman bertukar keras gaya tunggangan sport jika memilih mode Race dan Slick. Ia lebih sesuai digunakan jika berada di atas litar lumba.

INSTRUMEN meter HP4 analog dan digital memaparkan pelbagai maklumat dan tetapan enjin kepada penunggang.


HP4 ialah model pertama dalam rangkaian produk motosikal BMW yang didatangkan bersama ciri Launch Control bersama pengesan wheelie.
Apabila Launch Control diaktifkan, tork enjin akan dikurangkan jika sistem mengesan roda hadapan terangkat. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya wheelie (tunggangan dengan tayar depan terangkat) semasa memecut atau pada saat-saat memulakan perlumbaan.
HP4 menggunakan enjin S 1000 RR. Hasil ledakan kuasa kuasa maksimumnya mencecah 193hp pada 13,000rpm.
Kuasa kilas yang mampu dijana adalah setinggi 112Nm pada putaran 9,750rpm. Kelajuan boleh melebihi paras 200 kilometer sejam.
Untuk pasaran Malaysia, jentera itu didatangkan dalam dua varian itu HP4 dan HP4 Competition. Perbezaannya melibatkan beberapa perkara.
Versi HP4 Competition dilengkapi komponen gentian karbon pada badan, spoiler enjin (bahagian bawah enjin) dan alas kaki. Ia kelihatan lebih sporty.
Tuil brek dan klac pula boleh dilipat. Rim aloinya berwarna biru. Untuk HP4, kedua-dua tuil tidak boleh dilipat dan rimnya berwarna hitam.
Harga runcit atas jalan tidak termasuk insurans bagi BMW HP4 ialah RM144,444 seunit. Bagi HP4 Competition pula, harganya 158,888 sebuah.
Peruntukan kedua-dua varian HP4 untuk Malaysia hanya 55 unit bagi tahun ini. Percaya atau tidak, 42 unit sudah ditempah sebelum hari pelancarannya.
Inilah motosikal pintar yang berjaya menetapkan standard baharu dalam industri motosikal global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: