Thursday, April 4, 2013

Filem Malaysia kembali 'panas'

BABAK romantis Aaron Aziz dan Maya Karin dalam filem Ombak Rindu yang turut menampilkan babak ranjang lakonan kedua-dua pelakon popular itu.


ADEGAN panas atau sensasi bukan lagi perkara baharu dalam industri perfileman tempatan. Jika diperhatikan banyak filem tempatan yang kini berani memaparkan adegan panas seperti Ombak Rindu, Jiwa Taiko, Embun, Klip 3gp, Perempuan, Isteri dan ..., Panas, Mantra dan ...Dalam Botol.
Itu hanya beberapa judul sahaja.
Terbaharu, menerusi trailer filem Mencari Cinta lakonan Rusdi Ramli dan Nora Danish yang bakal ditayangkan tidak lama lagi menampilkan adegan ranjang dengan tubuh mereka hanya ditutupi dengan selimut.
Filem Sembunyi: Amukan Azazil arahan Kabir Bhatia juga tidak ketinggalan meraih perhatian penggemar filem.
Meskipun filem tersebut telah ditayangkan pada 28 Mac lalu, namun sehari selepas itu telah tersebar adegan malam pertama perkahwinan antara Remy Ishak dan Diana Danielle yang telah dipotong daripada filem tersebut.
Ironinya, video itu dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube oleh produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.
Menurut Kabir, dia sendiri tidak tahu menahu mengenai penyebaran video tersebut dan beranggapan mungkin itu merupakan strategi pemasaran produksi terbabit.
Persoalannya, adakah adegan panas relevan untuk pembikinan filem di Malaysia?
Ikut pengarah - Erma Fatima
Mengulas tentang perkara itu, kata pengarah terkenal Erma Fatima yang pernah mengarah filem Embun, keperluan sesuatu adegan panas bergantung kepada matlamat dan jalan cerita sesebuah filem.
Menurutnya, jika hendak dibandingkan karyawan filem Melayu zaman dahulu lebih bebas dan berani memaparkan adegan panas berbanding sekarang.
"Saya akui karyawan dahulu lebih berani berbanding hari ini yang banyak pantang larangnya.
Saya tidak boleh beri komen betul atau salah. Akhirnya semuanya terletak kepada prinsip pengarah dan perjalanan jalan cerita itu sendiri. Apa yang cuba pengarah sampaikan kepada penonton," ujarnya.
Embun yang ditayangkan pada tahun 2002 dan menelan kos sebanyak RM3 juta telah menimbul kontroversi dengan adegan rogol.
Akui Erma sebagai pengarah filem itu, dia telah dikritik hebat kerana dalam adegan tersebut telah menampakkan punggung salah seorang pelakonnya iaitu arwah Izi Yahya.
AKTOR Zul Suphiaan tampil berbogel dalam filem, Mantra.


"Apa yang saya cuba sampaikan (menerusi babak tersebut) adalah kesengsaraan wanita tempatan ketika itu - fakta bahawa mereka menjadi pemuas nafsu tentera Jepun.
"Saya cuba gambarkan keadaan yang sebenar. Memang adegan itu dilakukan tetapi saya menggunakan teknik yang bersesuaian. Bukannya ada babak berbogel.
"Masalahnya masyarakat kita ketika itu suka melihat adegan rogol itu daripada keseluruhan filem itu sendiri. Saya hadapi kritikan dengan buat tidak tahu sahaja," katanya.
Bukan daya tarikan - Shuhaimi
Pengarah terkenal, Datuk Paduka Shuhaimi Baba pula menegaskan, perjalanan serta visual yang lahir daripada sesebuah filem bergantung kepada pengarah produksi itu sendiri.
"Penulis skrip yang mereka cerita itu dan pengarah pula yang bertanggungjawab untuk mengarah filem itu. Jalan cerita dan idea semuanya daripada mereka berdua.
"Jika perlu, adegan panas itu terpulang kepada pengarah bagaimana dia ingin mengolah adegan tersebut.
"Harus diingat, sebuah filem harus melalui proses suntingan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum sampai ke penonton," ujarnya.
Tambah Shuhaimi, adegan panas dalam filem tempatan bukan merupakan daya tarikan buat penonton untuk ke pawagam.
"Ini kerana ia (adegan panas) bukanlah budaya Malaysia. Penonton kita datang ke panggung wayang untuk berehat dan mereka lebih suka menonton filem komedi dan cinta dalam keadaan yang selesa.
"Mereka bukannya menonton adegan panas beramai-ramai yang mungkin membuatkan sesetengah penonton tidak selesa.
"Kalau mereka ingin menonton adegan panas, buka sahaja internet, banyak adegan lebih panas di dalam internet daripada filem tempatan.
"Jadi, adegan panas bukanlah satu tiket menarik penonton kerana penonton kita tidak akan tertarik untuk menontonnya," tegasnya yang sedang sibuk dengan pembikinan filem terbaharu berjudul Regalia.
Adegan panas sensitif - Osman Ali
Osman Ali pula cukup dikenali dengan filem Ombak Rindu dan Jiwa Taiko. Bagaimanapun, kedua-dua filem arahannya itu menampilkan adegan ranjang watak-watak utamanya.
Ombak Rindu menyaksikan babak ranjangl Aaron Aziz dan Maya Karin, manakala Jiwa Taiko menampilkan babak intim atas katil antara Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.
"Susah untuk saya jawab secara spesifik sama ada relevan atau tidak adegan panas dalam filem. Secara am, ada sebab kenapa sesebuah adegan itu diadakan atas dasar mengikut perjalanan cerita.
"Jika mengikut kebebasan berkarya, ia semua terpulang kepada pengarah. Namun, melihat senario negara kita dengan masyarakat Melayu dan beragama Islam, saya rasa adegan panas yang keterlaluan tidak perlu diadakan," katanya.
Ujar Osman yang mempunyai pengalaman dikritik hebat menerusi dua filem arahannya, dia sedar masyarakat Malaysia sangat sensitif tentang adegan panas.
"Kadangkala sebagai pengarah, kita terlalu teruja untuk menggambarkan realiti sesuatu adegan. Selepas melihat respons peminat, akhirnya saya sedar yang saya buat filem bukan untuk diri saya tetapi untuk pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya harus berpijak di bumi yang nyata, di mana filem itu dibikin dan ditayangkan.
"Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati dalam membikin filem untuk tontonan orang Malaysia.
"Jika perlu menggambarkan adegan berahi, saya harus memikirkan cara lain supaya tidak menyinggung mana-mana pihak," tegasnya.
Menurut Osman lagi, setiap pelakon mempunyai peminat tegar mereka sendiri. Jika adegan yang dilakukan pelakon pujaan bersifat negatif, peminat juga tidak akan berpuas hati.
"Peminat akan marah kenapa pelakon pujaan mereka melakonkan watak sedemikian rupa. Buat apa buat filem yang peminat tidak suka kerana yang akan pergi menonton adalah peminat kepada pelakon itu sendiri," ujarnya yang sibuk dengan penggambaran filem terbaharu, Pilot Cafe.
Ada batasan - Ana Dahlia
Aktres Ana Dahlia pernah mencetuskan kontroversi kerana keberaniannya mendedahkan belakang tubuh untuk filem Mantra.
Kini, dia mengakui telah belajar daripada kesilapan lalu.
"Adakalanya pelakon terleka dan akhirnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan. Hendak kata silap, tidak boleh juga sebab saya sendiri pernah terbabit dalam adegan panas.
"Saya sendiri mengambil iktibar. Setiap tindakan yang diambil ada kesan baik dan buruk. Terpulang kepada seseorang untuk melakonkan atau tidak, kerana sebagai manusia kita berhak untuk memilih," ujarnya.
Bagaimanapun, kini Ana enggan lagi melakonkan watak yang memerlukan dia mendedahkan tubuh badan di layar perak.
"Sekarang ada batasnya. Saya akan lihat skrip terlebih dulu, jika di luar batasan saya sebagai pelakon boleh fikir sendiri dan menolak tawaran tersebut," tuturnya.
BABAK malam pertama sepasang suami isteri dalam filem Sembunyi: Amukan Azazil lakonan Diana Danielle dan Remy Ishak di ranjang kini tersebar dengan meluas di YouTube.


Penonton harus faham - Nadiya Nisaa
Aktres popular Nadiya Nisaa mengatakan pelakon mempunyai hak untuk melakonkan atau menolak adegan panas.
Ujar Nadiya yang pernah melakonkan adegan ranjang bersama aktor Bront Palarae menerusi Jiwa Taiko, keperluan sesebuah adegan panas bergantung kepada jalan cerita.
"Saya sendiri pernah melakonkan adegan sedemikian. Adegan panas itu perlu untuk menggambarkan betapa liarnya watak yang saya lakonkan.
"Sebenarnya saya bersetuju untuk melakonkannya kerana telah diberitahu lebih awal oleh pengarah dan paling penting, saya lihat siapa pasangan saya.
"Saya dan Bront telah kenal lama dan memudahkan proses lakonan. Paling penting, saya harus selesa dengan diri saya sendiri.
"Jika tidak selesa, adegan itu tidak mencapai misi untuk memperlihatkan babak berahi antara watak itu. Sebaliknya, ia akan nampak pelik dan penonton pun jelik untuk menontonnya," ucapnya.
Tambah Nadiya, penonton sebenarnya tidak faham bagaimana sesuatu babak panas itu dilakukan. Pelakon Malaysia bukan seperti di Barat yang bebas berpelukan tanpa seurat benang.
"Adegan panas dilakukan dengan teknik kamera. Tiada istilah melakonkan adegan panas seperti ia benar-benar berlaku. Sebagai pelakon di Malaysia, saya faham batasan yang dibenarkan tetapi selepas disunting adegan itu kelihatan seperti benar berlaku," tuturnya.
Bimbang adegan panas - Rusdi Ramli
Aktor Rusdi Ramli mengakui dia bimbang kontroversi akan tercetus impak adegan ranjangnya bersama Nora Danish dalam filem Mencari Cinta.
Mengulas tentang adegan ranjang yang menjadi bualan hangat itu, kata Rusdi dia percaya pengarah mempunyai sebab yang kuat untuk mewujudkan adegan tersebut.
"Sebagai pelakon sudah menjadi tanggungjawab saya memenuhi kehendak pengarah. Bagaimanapun saya akui sedikit risau dan takut ketika melakonkan adegan tersebut.
"Saya tidak ada sebarang masalah melakonkan adegan panas yang dimaksudkan kerana Nora seorang pelakon yang bagus," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: