Wednesday, April 3, 2013

Aqasha buka syarikat produksi

AQASHA mengakui dia kini lebih selektif memilih watak yang ditawarkan demi menjaga hati isterinya.


ADA khabar terbaharu tentang aktor kacak pemilik nama Firdee Akassya Rosli atau lebih popular dengan panggilan Aqasha. Dia kini sedang sibuk dengan syarikat produksi filem, Camwerk Studios.
Diam tidak diam, kata Aqasha, sudah mencecah usia setahun perniagaan produksi Camwerk Studios yang diusahakan bersama Sein dan Zain (anggota kumpulan Ruffedge) sejak bulan Mac tahun lalu.
"Selama 13 tahun dalam industri berada di depan kamera, mungkin sekarang sudah sampai masa untuk saya mencari aspek lain dalam industri perfileman atau televisyen.
"Syarikat kami menyediakan khidmat produksi filem, televisyen, dokumentari dan video korporat pada mulanya dan kini semakin berkembang untuk menyediakan kemudahan pascaproduksi," katanya.
Aqasha ditemui pada majlis pelancaran filem Langgar di Restoran Carney Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini yang hadir memberikan sokongan terhadap sahabat baiknya, Sein selaku pengarah produksi tersebut.
Dalam pada itu, Aqasha, 32, memberitahu, syarikatnya akan terlibat dengan pembikinan sebuah filem selepas Hari Raya Aidilfitri sekitar bulan Ogos nanti.
Filem genre aksi itu juga merupakan arahan Sein (Syed Hussein) dan Aqasha juga akan menjadi sebahagian daripada pelakon utama.
Profesional dengan Umie
Ditanya perkembangan terkini selain sibuk menguruskan perniagaan yang diasaskan dengan kos ratusan ribu ringgit itu, jawab Aqasha, dia usai menjalani penggambaran telefilem arahan Erma Fatima berjudul, Aku Tahu.
Menerusi telefilem itu, Aqasha akan bergandingan dengan Erra Fazira dan pelakon yang pernah dikaitkan bersama sekitar penghujung tahun 1990-an, Datin Paduka Umie Aida.
"Berlakon bersama nama-nama besar dalam industri adalah penghargaan besar buat saya dan penggambaran berjalan lancar.
"Saya melakonkan watak lelaki simpanan Umie dan tiada masalah untuk melakonkan watak itu kerana masing-masing meletakkan profesionalisme dalam bekerja. Senang untuk saya bekerja dengan dia kembali," ujarnya selepas kali terakhir berlakon bersama Umie menerusi drama Haryati 10 tahun lalu.
Aqasha dalam pada itu meluahkan keterujaan menimang cahaya mata keduanya lima bulan lalu. Katanya, bayi perempuan yang diberi nama Alaena Ayesha melengkapkan keluarganya.
"Alhamdulillah, Allah memberikan kesenangan kepada kami sekeluarga dan rezeki yang tidak pernah putus. Saya bahagia bersama keluarga yang kini semakin bertambah besar," kata bapa kepada Alehandra Ahmad yang kini berusia dua tahun.

AQASHA dan Umie Aida dalam dua babak filem, Embun lakonan mereka.


Hormat isteri
Mengakui kini lebih selektif memilih watak dalam drama mahupun filem, kata Aqasha, dia perlu menghormati perasaan isterinya yang barangkali cemburu melihat dia bermesra dengan aktres lain.
"Dia sedia maklum dan faham tuntutan kerja saya dan saya mahu menjadi seorang suami yang bertimbang rasa. Maka, saya perlu memilih karakter yang sesuai dengan saya.
"Saya rasa watak-watak romantik sudah boleh dilepaskan kepada pelapis baharu dalam industri kita yang tidak kurang bakatnya dan saya sudah sedia untuk memikul watak yang lebih matang.
"Saya akan kurangkan menerima tawaran watak romantik lagi kerana menghormati isteri saya. Bukan tolak terus tapi perlu dibincangkan dengan lebih teliti sejauh mana romantik itu.
"Dia tidak pernah cakap apa-apa tapi saya takut dia simpan dalam dan memendam perasaan. Bimbang sampai masa nanti meletup!" katanya yang kali terakhir melakonkan watak romantik menerusi drama Dejavu Di Kinabalu bersama Tiz Zaqyah tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: