Saturday, April 20, 2013

Amirbahar hadapi hukuman mati




KUALA LUMPUR – Anak saudara kepada Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram semalam didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Sabah atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
Datu Amirbahar, (gambar) bakal berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dia yang dianggap sebagai Menteri Pertahanan Kerajaan Kesultanan Sulu juga didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Amirbahar, 49, dari Jolo, selatan Filipina didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 9 Februari dan 23 Mac lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditangkap pada 23 Mac lepas ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Suluk di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pendakwaan diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu, Shukor Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: