Monday, April 1, 2013

14 rumah musnah terbakar


BEGINILAH keadaan sebahagian daripada 14 rumah yang musnah dalam kebakaran di Tanah Merah semalam.


TANAH MERAH – Seramai 14 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Banggol Kemunting di sini musnah dalam kebakaran semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Zon Machang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 1.45 petang.
Menurutnya, seramai 16 anggota dari dua buah balai iaitu Tanah Merah dan Machang bersama tiga buah jentera telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.
“Pihak bomba mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran kerana kedudukan 14 buah rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: