Kisah sebenar di sebalik pertempuran antara Rejimen Askar Melayu menentang Jepun atau yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu pada 14 Februari 1942 mungkin tidak akan diketahui atau tersorok dalam lipatan sejarah sekiranya Koperal Yaakob Bidin tidak berpura-pura mati bergelimpangan bersama askar Melayu ketika itu.
Disebabkan berpurapura mati itu, dengan izin ALLAH, Koperal Yaakob berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun yang marah dengan tentangan yang diberikan Kompeni C dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu dipimpin Leftenan Adnan Saidi.
Tindakan Koperal Yaakob itu dilakukannya bukan kerana beliau pengecut atau takut mati di medan perang kerana tiada istilaht takut dalam dirinya.
Koperal Yaakob perlu berpurapura mati demi memikul satu amanah berat daripada ketuanya, Leftenan Adnan Saidi yang menyedari ketika itu pasukannya berdepan dengan tekanan hebat tentera Jepun.
Apakah amanah yang diberikan Leftenan Adnan kepada Koperal Yaakob? Amanah itu dikatakan sangat berharga untuk negara terutama tatapan generasi kini. Kisah Koperal Yaakob yang berjaya menyelamatkan diri itu dan membawa amanah berat Leftenan Adnan diceritakan sendiri oleh cucunya kepada Sinar Harian.
Akhwan Hafis Akmal Hidzri, 28, berkata, kisah peperangan menentang Jepun itu sentiasa diceritakan arwah datuknya itu yang mesra dipanggil Tok.
Akhwan Hafis merupakan anak kepada Maimun iaitu anak kedua Koperal Yaakob.
Redah belantara
DARIPADA penceritaan arwah Tok, dia berpura-pura mati itu kerana takut tentera Jepun menyedari bahawa dia masih hidup. Namun berkat doa yang dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT, dia akhirnya dapat melepaskan diri dari medan pertempuran itu dan membawa amanat Leftenan Adnan kepada negara.
“Setiap kali Tok bercerita, air matanya tidak pernah kering kerana tidak dapat melupakan kezaliman tentera Jepun ke atas askar Melayu apatah lagi kepada Leftenan Adnan.
“Tok ada memberitahu, selepas sahaja tentera Jepun berjaya menangkap Leftenan Adnan dan hari semakin gelap, tentera Jepun berundur daripada kawasan pertempuran sengit itu,” katanya.
Akhwan Hafis berkata, selepas memastikan tentera Jepun sudah tiada, arwah Tok bergegas melarikan dan menyembunyikan diri daripada pengetahuan tentera Negara Matahari Terbit itu.
Menurutnya, arwah Tok terpaksa meredah hutan belantara dalam kegelapan malam ketika melarikan diri bagi menggelakkan dikesan tentera Jepun.
"Tok akan berjalan atau berlari sepanjang malam mengikut landasan kereta api dari dari Singapura menuju ke kampung halamannya di Tebing Tinggi, Sanggang dekat Temerloh.
"Apabila fajar mula menyingsing, Tok akan mencari tempat tersorok dalam hutan itu bagi bersembunyi daripada kehadiran tentera Jepun.
"Bagi mengalas perut, cerita Tok, dia hanya makan buah-buahan hutan dan minum air dari batang pokok ataupun air sungai. Mungkin latihan ketenteraan yang diikuti sebelum ini banyak mengajar dia mengenai ikhtiar hidup," katanya dalam nada sedih.
Cerita Ahkwan Hafis lagi, arwah Tok meneruskan rutin perjalanan jauhnya pada waktu malam dan bersembunyi pada sebelah siang, dan akhirnya selepas tujuh hari tujuh malam merempuh pelbagai dugaan, Koperal Yaakob akhirnya tiba Temerloh.
Setelah sampai ke kampung halaman, Koperal Yaakob segera melaporkan diri di kem tentera British dekat Mentakab. Selepas beberapa hari selamat pulang, seorang pegawai tentera British berjumpa dengannya dan mengambil segala maklumat berkaitan Pertempuran Bukti Candu untuk direkodkan.
“Tok saya berasa lega kerana berjaya menyampaikan amanat Leftenan Adnan kepada pihak tentera British dan dia merasakan seolah-olah satu beban yang cukup berat sudah terangkat daripada bahunya.
“Selepas siap direkodkan dan dibukukan, tentera British menyerahkan senaskhah buku yang lengkap mengenai sejarah pertempuran itu namun buku berharga itu rosak akibat dilanda banjir besar pada 1971,” katanya.
Leftenan Adnan diseksa kejam
AKHWAN Hafis berkata, masyarakat kini mengetahui Leftenan Adnan mati akibat ditembak tentera Jepun namun sebenarnya perwira negara itu mati dibunuh oleh tentera Jepun dengan kejam.
Menurutnya, sebelum ditangkap Leftenan Adnan sudah tahu bahawa nyawanya umpama telur di hujung tanduk dan beliau sempat berpesan pada Koperal Yaakob supaya berundur serta membawa sejarah perang itu untuk diketahui anak dan cucu cicit.
“Tok saya enggan berundur kerana dia mahu menjaga keselamatan ketuanya itu.
Namun, selepas didesak dan Leftenan Adnan ditangkap, dia merasakan perlu menjaga amanat itu sebaiknya.
"Tok juga bercerita dia sempat melihat bagaimana Leftenan Adnan diseksa tanpa belas kasihan. Tentera Jepun memang memburu Leftenan Adnan dan apabila mereka dapat menangkap Leftenan Adnan yang ketika itu cedera pada bahagian kaki, wira negara itu terus disepak, diterajang, ditumbuk dan sebagainya.
“Kemudian Leftenan Adnan itu diseret dan diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Akibat terlalu marah, tentera Jepun menikamnya dengan benet berkali-kali.
Setiap kali ditikam, Leftenan Adnan melaungkan kalimah ALLAHHU AKBAR dan darahnya mengalir ke bumi hingga beliau menghembus nafas terakhir,” katanya.
Friday, August 31, 2012
Bawa amanat Leftenan Adnan: Misi 7 hari, 7 malam
Anas (Mentor) Tutup Mulut Isu Curangi Kekasih
PETALING JAYA: Penyanyi Anas (Mentor 6) enggan mengulas tuduhan kononnya dia berlaku curang kepada kekasihnya yang dikenali lebih lima tahun lalu selepas dikatakan intim dengan seorang finalis program itu, Ana Syuhada Noor Asram.
Anas atau nama sebenarnya Anas Ridzuan, 23, berkata, perkara tersebut sama ada benar atau tidak adalah urusan peribadinya dan dia berhak untuk tidak memberikan komen lanjut berhubung tuduhan tersebut.
“Saya tidak mahu ulas lanjut mengenai perkara (curang) itu kerana ia adalah urusan peribadi saya. Saya mohon perkara itu dihormati,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Khamis.
Mengenai desas-desus kononnya dia sedang menjalin hubungan dengan Ana Syuhada, Anas berkata, keakrabannya dengan bekas protege kepada Ramlah Ram itu hanya berlandaskan hubungan persahabatan.
“Memang saya rapat dengan Ana sejak dalam Mentor lagi. Kami serasi dan dia banyak berkongsi ilmu mengenai aspek vokal tetapi hanya kawan biasa.
“Buat masa ini, kami belum sampai ke tahap bercinta. Saya memang menyenangi Ana tetapi banyak perkara yang perlu saya kenali sebelum memikirkan soal bercinta,” hurainya.
Ditanya mengenai perkembangan kerjaya, Anas berkata, dia bakal mempromosikan lagu sulungnya berjudul Hanya Dirimu di corong-corong radio dalam masa terdekat.
“Lagu berentak santai itu dicipta Audi Mok, Omar K dan mentor saya Faizal Tahir. Kini kami dalam proses pada peringkat akhir. Insya-Allah, selepas musim Hari Raya ini kami akan mula mempromosikan lagu tersebut.
“Kerjaya nyanyian saya bertambah baik dan semakin dikenali ramai. Saya mendapat undangan nyanyian di merata tempat secara konsisten sekarang,” ceritanya.
Anas kini sibuk dengan latihan teater berjudul Kawan-Kawan Yang Kita Suka (KKYKS) yang akan dipentaskan bermula 5 hingga 9 September depan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Teater arahan Fasyali Fadzly itu turut membariskan Karl Shafek, Fazleena Hishamuddin dan Ameera Ramly.
Maklumat lanjut, layari laman Facebook dengan carian Teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka dan Twitter #KawanKawanYangKitaSuka.
Sarimah ligat mengacara
APABILA terlalu banyak cerita peribadinya dijaja orang, ramai peminat seolah-olah terlepas pandang perkembangan karier seni penyanyi, pelakon dan pengacara versatil, Sarimah Ibrahim.
Hakikatnya, penyampai radio Red FM berdarah kacukan Melayu-Irish ini tidak menang tangan menerima tawaran mengacara daripada pelbagai pihak. Dia juga bakal muncul dengan biografi kisah hidupnya, sekali gus berjinak-jinak dalam perniagaan sebagai jaminan masa depannya.
Sarimah juga bersiaran dengan rakan setugasnya, Lil’Kev di Red FM setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 hingga 10 pagi setiap hari, sejak lebih enam bulan lalu.
Secara peribadi, Sarimah yang bermula dalam bidang pengacaraan mengakui sangat bersyukur kerana ramai pihak yang masih memberi kepercayaan kepadanya sebagai pengacara sehingga sekarang.
“Alhamdulillah, masih banyak tawaran mengacara pada setiap hujung minggu, setiap bulan sehinggalah tahun depan. Saya bersyukur sebab masih boleh ‘bersaing’ dan belajar banyak ilmu mengenai bidang pengacaraan dengan pengalaman mengacara di dalam dan luar negara.
“Bukannya mengacara lebih memberi kepuasan berbanding lakonan, sebaliknya mungkin sudah lama saya menjadi pengacara iaitu selama 16 tahun, sebab itu orang masih beri peluang kepada saya. Orang juga nampak saya lebih menyerlah sebagai pengacara kerana saya mengacarakan pelbagai acara atau majlis sama ada majlis formal atau biasa yang disiarkan secara langsung serta dirakamkan di dalam dan luar negara,” katanya.
Mengulas dakwaan, pengacara berwajah Pan Asian dan urban sepertinya kurang diterima peminat Melayu, Sarimah lebih suka melihatnya dari sudut positif.
“Saya diundang sebagai pengacara Melodi tapi pada waktu itu pengacara tetap sudahpun tandatangan kontrak tetapi bercuti pula ketika itu. Saya sendiri memang suka mengacara program hiburan seperti Melodi. Justeru, peluang mengacara program itu saya tidak tolak.
“Lagipun saya tak pernah mengacara bersama Zizan Raja Lawak dan ingin mencuba peluang itu. Nak tengok sama ada kami serasi atau tidak. Ternyata, kami seronok mengacara bersama ketika itu. Soal wajah Pan Asian pula, ramai artis popular sekarang berwajah kacukan dan yang tak ada darah kacukan pun nampak seperti berdarah kacukan juga.
“Bagi saya, penonton bukannya melihat pada wajah saja, sebaliknya bakat, tutur bahasa dan cara kita mendekati penonton serta personaliti seseorang artis itu juga diambil kira. Banyak lagi aspek penting diambil kira selain wajah,” katanya.
Sarimah juga berdebar menanti filem terbaru lakonannya, Apokalips arahan Mamat Khalid.
“Siapa kata saya sudah tidak berminat berlakon lagi? Kalau masanya sesuai, saya akan terima kerana memang rindu pada bidang lakonan. Karakter yang diimpikan ialah gadis kampung yang baik dan ayu atau watak berbeza daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini.
“Watak apapun saya terima kerana setiap watak adalah satu cabaran kerana bukan mudah untuk menghayati karakter baru. Pada masa sama, terlalu ramai pengarah yang saya ingin bekerja dan menimba ilmu dengan mereka. Saya tak memilih pun kerana semua pengarah kita bagus dan ada genre yang menjadi kekuatan masing-masing.
“Begitu juga teater, selepas beraksi dalam teater Tun Mahathir dan Mak Dara Nyonya, tahun lalu, saya terus jatuh cinta dengan bidang teater dan tidak menolak jika ada tawaran lagi selepas ini,” katanya.
Pada masa sama, Sarimah juga tidak melupakan cintanya pada bidang nyanyian. Buat masa ini, dia masih memilih beberapa lagu yang ditulis seorang dua penggubah lagu terkenal. Kemungkinan besar, dia akan menerbitkan album sendiri tanpa label dan genre muziknya pula lebih cenderung ke arah muzik Evanescence, Cranberries, Alanis dan balada.
Tidak lengkap, jika tidak menyentuh cerita peribadi pengacara jelita yang sudah lebih tiga tahun memegang status janda ini.
“Bukan mudah untuk mencari pengganti. Sebagai wanita, saya ingin mencari calon suami yang lebih baik, lebih serasi dan lebih sesuai sebagai teman hidup kerana saya bukan lagi wanita berusia 24 tahun yang cuma ingin romantik dan bercinta saja. Saya sudah matang sekarang dan lebih tahu apa yang saya mahu dan perlu dalam mencari seorang teman hidup.
“Saya tidak serik berkahwin lagi. Malah, saya sentiasa berdoa sekiranya diberi satu lagi peluang iaitu peluang kedua, saya akan berjaya mencari kebahagiaan dan cinta yang sejati buat selamanya. Saya memang seorang yang romantik tapi lebih matang soal cinta sekarang,” katanya yang menyambut lebaran di luar negara, tahun ini.
Tauke coklat Schocolates
DALAM diam, Sarimah kini sudah bergelar tauke coklat jenamanya sendiri, Schocolates yang bakal dilancarkan sebelum penghujung tahun ini.
Wanita muda berwawasan tinggi ini juga membuat kajian lebih setahun untuk merealisasikan perniagaan yang dirancangnya itu.
“Semuanya bermula selepas saya bercuti di Jepun dan Itali, tahun lalu. Secara kebetulan, saya mengambil kelas dan kursus berkaitan bidang kopi dan membuat coklat di sana.
“Saya banyak buat kajian mengenai asal usul kopi dan coklat. Apabila kembali ke tanah air, saya berasa teringin sangat nak menghasilkan coklat berkualiti tinggi dan tidak mahal untuk rakyat Malaysia kerana saya sendiri penggemar coklat.
“Saya pun mulakan bisnes dengan mencari pembekal yang bagus dan ada kredibiliti, ramuan halal, mempunyai rasa, kandungan coklat asli yang tinggi dan berkualiti. Saya mendapat idea menghasilkan bisnes secara online di bawah www.s-Chocolates.com,” katanya.
Sarimah ditemui pada majlis berbuka puasa bersama 26 orang peminat laman sosial twitter miliknya yang berlangsung di Restoran Delicious, Bangsar,
Ramadan lalu.
Tambah penuntut jurusan psikologi ini lagi, dia sudah lama cuba mendekati peminatnya menerusi twitter dan facebook, sekali gus mengeratkan lagi hubungan sedia ada.
“Saya juga mengadakan peraduan Reebok bersama pendengar Red FM dan pengikut twitter juga berpeluang memenangi kasut Reebok edisi terhad menerusi Red FM. Mereka yang hadir berpeluang merasai Schocolates buat pertama kalinya. Saya juga menghargai komen peminat yang memberi maklum balas menerusi soal selidik di sediakan pada majlis itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sarimah bakal muncul dengan biografi kisah
hidupnya terbitan MPH Publishing dan akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini.
Buku yang mula ditulis pada 2010 ini menceritakan pengalamannya sebagai wanita, isteri, janda, anak seni dan seorang insan biasa yang pernah mengharungi pelbagai rintangan dari segi peribadi dan kerjaya.
Penumpang ‘terbang’
NGERI...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat Hussain yang tersepit di tempat duduknya.
SAKIT...Kumutha terlantar di hospital akibat patah pinggang.
SLIM RIVER: “Kerusi tercabut dan saya tercampak ke bahagian depan bas. Dalam kesakitan, saya terpandang pemandu sudah tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduknya yang remuk.”
Demikian kata R Kumutha, 23, seorang daripada 12 penumpang bas yang cedera, empat daripada mereka parah dalam kemalangan meragut nyawa pemandu bas berkenaan di Kilometer 362.7, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Plaza Tol Slim River, di sini, jam 10.30 malam kelmarin.
Pemandu bas ekspres yang terbunuh itu dikenali sebagai Hussain Jaafar, 29 dan ketika kejadian bas terbabit dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Butterworth, Pulau Pinang.
Kemalangan berlaku apabila bas terbabit melanggar belakang sebuah treler dengan muatan besi seberat 30 tan itu sebelum menyeret treler itu sejauh lebih 100 meter.
Kumutha yang juga penuntut Sarjana Sumber Manusia, Universiti Selangor (Unisel) berkata, ketika kejadian dia sedang tidur tidak jauh dari pemandu bas itu.
“Saya tidak ingat apa yang berlaku dan hanya tersedar apabila saya tercampak. Saya tidak dapat bergerak dan berasa sangat sakit.
“Ketika itu, keadaan menjadi kelam-kabut dan ramai orang menjerit kesakitan serta meminta tolong,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, orang awam dan penumpang bas kemudian membantu memapahnya keluar dari bas berkenaan sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Slim River di sini.
Kumutha yang ditemui di Hospital Slim River (HSR) semalam berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan dan imbasan X-Ray memberitahu tulang pinggangnya patah dan dia perlu menjalani pembedahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dipandu Hussain gagal mengelak treler yang bergerak perlahan di depan.
Menurutnya, impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan kebanyakan kerusi penumpang di bahagian hadapan bas tercabut dan penumpangnya tercampak “Pemandu bas ekspres itu maut di tempat kejadian. Kedua-dua kakinya hancur akibat tersepit.
“Mayat pemandu bas dan empat penumpang yang parah serta lapan yang cedera ringan dihantar ke HSR,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Othman berkata, ada penumpang mendakwa bas itu dipandu keadaan terhoyong-hayang sebelum nahas dan kemungkinan pemandu bas berkenaan mengantuk.
Menurutnya, pemandu kedua bas ekspres itu dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati bas ekspres itu melekat di belakang treler.
Kerat mayat sebelum bakar
CARI BUKTI...anggota Unit Forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.
USUNG...anggota polis mengangkat mayat mangsa.
NIBONG TEBAL: Kepulan asap di sebuah lorong kecil berhampiran ladang kelapa sawit membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki terbakar dalam keadaan tanpa kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong di bahagian paha.
Mayat lelaki dipercayai mangsa pembunuhan kejam itu ditemui orang awam yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil, di sini, jam 9.45 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mat Nasir Salleh berkata, ketika ditemui sebahagian mayat masih terbakar itu dan mangsa hanya berseluar dalam.
Menurutnya, siasatan anggota forensik yang bergegas ke tempat kejadian gagal menemui dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit dan menganggarkan usia mangsa dalam 30-an.
2 manusia paling kerdil bertemu
CHANDRA bersama Jyoti mempamerkan edisi terbaru Buku Rekod Guinness yang turut memuatkan nama mereka.
KEUNIKAN Chandra dan Jyoti jelas dapat dilihat ketika mereka digandingkan dengan lelaki normal.
LONDON: Dua manusia paling kerdil di dunia dipertemukan untuk kali pertama bagi meraikan pertubuhan yang membantu mempopularkan ‘kelebihan’ mereka, lapor media semalam.
Lelaki paling rendah di dunia, Chandra Bahadur Dangi, 72, bersemuka dengan wanita paling rendah di dunia, Jyoti Amge, 18, sempena pelancaran edisi terkini buku Rekod Dunia Guinness.
Lelaki dari Nepal dan gadis warga India itu mencuri perhatian dunia apabila ketinggian mereka diiktiraf Rekod Dunia Guinness, baru-baru ini. Walaupun dipisahkan jurang usia yang besar, Chandra dan Jyoti tetap mesra bergurau dalam suasana santai ketika sesi fotografi untuk pelancaran buku berkenaan.
Kedua-dua mereka mengenakan pakaian tradisional masing-masing. Gambar itu juga mencipta rekod dunia tersendiri apabila - untuk kali pertama - lelaki dan wanita paling rendah dipertemukan secara langsung. Sebuah buku terkini Rekod Dunia Guinness yang diletakkan di antara Chandra dan Jyoti menyebabkan naskhah itu menjadi luar biasa besarnya walaupun pada hakikatnya, ia hanya setinggi kira-kira 30.5 sentimeter.
Jyoti - berasal dari Nagpur, India - mendapat pengiktirafan itu pada hari dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-18, pada 16 Disember tahun lalu.
Jyoti menghidap masalah tumbesaran, dikenali sebagai Achondroplasia, menyebabkan saiz badannya kekal setinggi 78.8 sentimeter.
Di sebalik keunikan itu, Jyoti menyimpan cita-cita tinggi dalam bidang hiburan dan mula membintangi beberapa filem Bollywood.
Dia dijadual melawat Britain bagi membantu pelancaran buku Rekod Dunia Guinness, bulan depan. Kata Jyoti, dia tidak sabar membuat kunjungan ke Britain. “Saya suka mengembara dan sejak mendapat pengiktirafan Guinness, saya berpeluang melawat banyak negara luar seperti Jepun dan Eropah,” katanya. Sementara itu, Chandra amat teruja apabila namanya tercatat dalam buku rekod dunia kali ini. “Ia jadi kebanggaan kepada saya, keluarga, kampung dan negara,” katanya. Dia dibesarkan di Kampung Rhimkola, 250 kilometer di barat Kathmandu sebelum keunikan fizikalnya dikesan dan mendapat pengiktirafan, Februari lalu. Chandra meninggalkan kampungnya untuk kali pertama dalam hidupnya apabila mengunjungi Kathmandu bagi membolehkan badannya diukur pegawai Rekod Dunia Guinness.
Lilitan ‘pelik’ bersesuaian personaliti
ANGGUN...gabungan gaya lilitan tudung ringkas serta rekaan busana menarik.
BAGI mereka yang baru berjinak-jinak untuk memakai tudung, mungkin tertanya-tanya fesyen bertudung yang ingin digayakan.
Adakah sesuai memilih rekaan tudung sebegini? Adakah perlu fesyen yang lebih ekstrem semata-mata untuk kelihatan bergaya?
-
RINGKAS...antara gaya lilitan mudah dan tetap menarik.
-
CERIA...kombinasi warna ceria menyerlahkan penampilan.
-
GAYA SERBAN...pilihan gaya bertudung untuk kelainan.
Tidak dapat dinafikan, pelbagai bentuk dan gaya terkini fesyen bertudung boleh diketengahkan bergantung kepada cita rasa sama ada menggunakan tudung sarung atau penggayaan selendang dengan lilitan menarik.
Itulah yang cuba diketengahkan butik Hijrah Chic dalam memberikan kelainan kepada mereka yang baru pertama kali mengenakan tudung.
Pengasasnya, Datuk Ruslina Baharum berkata, idea untuk mempelbagaikan fesyen bertudung menggunakan kain bawal dengan gaya ikatan ala selendang lahir atas minatnya sendiri.
Dia inginkan sesuatu yang baru dan menarik bagi memberikan kelainan kepada gaya fesyen bertudung serta tidak hanya terhad kepada satu peringkat usia.
“Paling penting, wanita terbabit berani untuk mencuba perkara baru kerana mungkin pada peringkat awal, rasa kekok kerana mencuba sesuatu yang berlainan sama sekali.
“Sebolehnya saya ingin mencipta satu perbezaan dalam fesyen tudung Muslimah agar pengguna boleh membuat pilihan sendiri. Tidak dinafikan, kepelbagaian gaya tudung di pasaran makin meluas dan berkembang,” katanya.
Menurutnya, wanita kini juga makin berani mencuba pemakaian tudung yang sebelum ini dianggap ‘pelik’ tetapi apa yang nyata, ia memberikan bentuk penampilan tersendiri bersesuaian dengan personaliti individu berkenaan.
Ruslina berkata, selain mengeluarkan jenama tudung, dia mengadakan kelas bagi membantu serta mengajar wanita melakukan lilitan tudung dengan teknik yang betul.
Hingga kini, terdapat 18 jenis lilitan tudung untuk digayakan dan ia juga boleh dipelbagaikan mengikut daya kreativiti masing-masing bagi menghasilkan bentuk baru yang lebih unik dan menarik.
“Selain tudung, saya juga akan mengeluarkan koleksi busana yang boleh disesuaikan dengan gaya tudung pilihan tidak lama lagi. Penggunaan kain yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran menjadi fokus utama saya antaranya kapas dan sifon bagi koleksi eksklusif,” katanya.
Zizan Nin Teruja Tinggal Di Rumah Baru
PETALING JAYA: Pelakon Zizan Nin memberitahu dia dan isterinya, Fazilah Hani Harun teruja kerana dapat berpindah ke rumah baru mereka di Ukay Perdana, Ampang dekat sini sejak awal Ramadan lalu.
Zizan berkata, mereka yang sebelum ini menetap di Kota Damansara di sini masih lagi dalam proses menghias kediaman itu yang akan mengenakan konsep moden.
"Akhirnya impian untuk memiliki kediaman impian kami berdua terlaksana dan kami cukup gembira akhirnya dapat berpindah ke rumah baru," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Zizan memberitahu walaupun mereka berdua gemarkan konsep moden tetapi isterinya menyerahkan kerja-kerja menghias rumah tersebut kepadanya.
"Isteri sentiasa sibuk dengan kerjayanya dan saya pula jika tiada sebarang penggambaran akan menghabiskan masa untuk menghias rumah," katanya.
Sementara itu, Zizan berkata, jika tiada aral melintang dia dan isteri ingin mengadakan rumah terbuka buat sahabat dan rakan media dalam masa terdekat ini.
"Dulu rumah di Kota Damansara tidak begitu selesa untuk menjemput rakan-rakan datang ke rumah. Jadi tahun ini kami suami isteri berhasrat untuk menjemput sahabat handai dan rakan media dalam sebuah majlis rumah terbuka," ujarnya.
Bercerita tentang perkembangan terbarunya Zizan berkata dia sedang meneliti beberapa tawaran lakonan dan menjangkakan akan kembali sibuk di lokasi penggambaran selepas Syawal.
Loji lupus bau busuk
GIAT DIBINA...Projek LRK Pantai 2 yang dalam pembinaan.
KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 2 yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2015 bakal memberi perubahan besar kepada kehidupan komuniti Pantai Dalam di sini, khususnya di kalangan lebih 17,000 penduduk sekitar loji berkenaan.
Menerusi teknologi ‘geotube desludging’ (pengosongan secara geotube), loji yang dibina di bawah tanah sedalam 15 meter itu tidak mengeluarkan bau kurang menyenangkan di persekitarannya seperti kebanyakan loji konvensional sebelum ini.
Malah, pembinaan taman rekreasi di atasnya mewujudkan satu kawasan riadah untuk penduduk, sekali gus menaikkan nilai hartanah kawasan terbabit.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Mohd Akhir Md Jiwa berkata, sejak sekian lama, penduduk setempat mahupun sekitar LRK Pantai 2 terpaksa menghidu bau busuk dari loji berkenaan yang menjejaskan keharmonian serta gaya hidup mereka.
Mengimbas kembali sejarah loji itu yang menggunakan kaedah lagun pengudaraan ketika mula dibina pada 1930-an, kata Mohd Akhir, kaedah berkenaan tidak lagi sesuai digunakan di kawasan penduduk berkepadatan tinggi khususnya Pantai 2 yang menampung kumbahan sebahagian penduduk ibu kota.
Menurutnya, berbanding hanya 550,000 penduduk setara (PE) yang ditampung loji itu sekarang, pembinaan loji menggunakan teknologi A20 dari China itu akan dapat mengendalikan sisa kumbahan untuk 1.4 juta PE mengikut sasaran sehingga 2035.
“Idea pembinaan loji ini tercetus sejak sekian lama selepas kami mula menyedari perlunya LRK baru untuk merawat jumlah kapasiti sisa kumbahan yang semakin meningkat akibat pertambahan PE di kawasan liputan loji.
“Ketika ini, ruang tanah di ibu kota semakin terhad dan operasi di bawah tanah dilihat sebagai alternatif terbaik yang bukan saja tidak mengganggu ruang, malah secara tidak langsung mengelak pencemaran bau untuk keselesaan penduduk.
“Menerusi LRK Pantai 2 yang baru ini nanti, kos operasi dan penyelenggaraan yang ditanggung juga dapat dijimatkan dengan kira-kira 25 peratus lebih rendah daripada sekarang,” katanya.
Mohd Akhir berkata, ketika ini LRK Pantai 1 bersebelahan loji berkenaan turut menanggung sisa kumbahan di beberapa kawasan sekitar antaranya Bangsar, Sentul dan sebahagian Petaling Jaya dengan kapasiti hanya 377,000 PE.
Namun, katanya, kaedah enap cemar aktif yang digunakan tidak begitu moden berbanding LRK Pantai 2 yang dibangunkan di tanah seluas 17 hektar sekarang.
“Projek LRK Pantai 2 ini membolehkan pengendalian kedua-dua loji yang meliputi kawasan kediaman dan komersial seperti kilang, pejabat serta hospital dapat diperkemaskan serta lebih terurus selain menjana kehijauan dengan pembinaan taman rekreasi di atasnya melalui ciri mesra alam,” katanya.
Antara kawasan penempatan yang terbabit secara langsung dengan loji berkenaan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, PPR Seri Pantai, PPR Pantai Ria, PPR Kampung Limau dan Kampung Dato’ Tatah.
Selain taman rekreasi, pelbagai kemudahan lain disediakan untuk penduduk serta pengunjung antaranya padang bola sepak, gelanggang futsal, gelanggang tenis, surau dan dewan komuniti.
Pada November tahun lalu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memeterai perjanjian dengan Beijing Enterprises Water Group (BEWG) bagi pembinaan loji rawatan kumbahan bawah tanah pertama negara iaitu Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 bernilai RM983 juta.
Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, loji rawatan kumbahan menggunakan teknologi hijau itu serta mempunyai kapasiti 320,000 meter padu sehari yang menyediakan keperluan rawatan sisa kumbahan untuk 1.8 juta penduduk di kawasan sekitar Lembah Klang sehingga 2035.
“Dengan adanya loji kumbahan baru yang lebih canggih ini, kerajaan akan menutup lebih 100 loji kumbahan kecil pada 2020 berikutan kos operasi loji ini terlalu tinggi,” katanya.
Artis Baru, Lama Kongsi Tuah Kemerdekaan Negara
PETALING JAYA: Impak 55 tahun kemerdekaan Malaysia dapat dilihat dengan jelas bukan sahaja pada pembangunan ekonomi dan sosial negara, malah turut dirasai segenap warga seni tanah air.
Bersempena sambutan hari kemerdekaan yang bertemakan Janji Ditepati pada Jumaat, mStar Online mendapatkan pandangan beberapa anak seni yang lahir pada zaman berbeza mengenai kebebasan dan perubahan yang dikecapi mereka dalam bidang kreatif.
Bintang filem veteran Datuk Aziz Sattar, 87, berkata, angka 55 yang melambangkan tempoh kemerdekaan negara adalah nombor keramat yang memberikan petanda baik kepada perpaduan dan kemakmuran.
“Kalau kita tengok angka 55 itu seperti simbolik kepada lima rukun Islam dan rukun negara. Apabila dua angka lima itu bergabung, ia seolah-olah memberikan hikmah baik kepada kebebasan dan perpaduan yang berterusan kepada Malaysia.
“Namun, apa yang penting adalah kita tidak kira generasi lama atau baru harus menghargai jasa pemimpin-pemimpin kita kerana pengorbanan dan jerih-perih merekalah membolehkan kita hidup dalam persekitaran yang majmuk, aman dan maju pada hari ini,” katanya.
Berkongsi pengalamannya berhubung perkembangan industri perfileman daripada era hitam putih hingga hari ini, Aziz berkata, karyawan seni perlu memanfaatkan kemudahan dan kemajuan teknologi bagi menghasilkan filem lebih berkualiti dan beridentitikan budaya bangsa.
“Dulu, filem kita disanjung tinggi kerana cerita dan kandungan yang mengangkat budaya hingga meninggalkan impak dari generasi ke generasi walaupun ia diterbitkan dalam kekangan modal dan teknologi.
“Maka, kelebihan teknologi dan kemudahan yang dimiliki anak seni hari ini wajar dimanfaatkan untuk membuat filem-filem yang lebih baik tetapi tidak melupakan identiti bangsa,” katanya.
Seniwati Latifah Omar, 74, pula menganggap anak seni pada hari ini amat bertuah kerana tidak merasai kesulitan dan pahit getir dialami penggiat seni pada zaman dahulu.
“Generasi seni pada hari ini cukup bertuah kerana hidup dalam kemewahan dan kebebasan. Mereka dapat bergerak dan berkarya dengan mudah serta dilimpahi pelbagai kemudahan.
“Saya masih ingat ketika awal pembabitan saya dalam bidang seni pada 1954, kami terpaksa menyorok dan berhati-hati untuk bergerak ke merata tempat untuk persembahan pentas.
“Kalau ada pun kesusahan dirasai generasi hari ini, ia tidak sesukar mana berbanding pada era sebelum dan 10 tahun selepas merdeka. Jadi, hargailah kemerdekaan ini agar ia berkekalan,” katanya yang kini menderita akibat penyakit ulser yang kronik.
Pengarah filem Saw Teong Hin, 50, pula berkata, industri perfileman semakin merdeka dan bebas beberapa tahun kebelakangan ini dengan penghasilan lebih banyak filem Cina dan India tempatan.
“Saya dapat rasai industri filem kita semakin bebas dan merdeka apabila ramai penggiat seni berani untuk menyertai pasaran. Ia adalah perkembangan yang baik dan semoga ia berkembang dan menjadi satu trend untuk masa akan datang,” katanya.
Pengarah filem kontroversi Tanda Putera iaitu Datin Paduka Shuhaimi Baba pula berkata, kemerdekaan ini turut dilihat pada pemikiran dan sikap warga industri seni tanah air yang kian terbuka.
“Banyak perubahan dapat kita lihat saban tahun pada industri seni kita. Warga seni makin bebas berkarya dan banyak bantuan dan sokongan diberikan khususnya di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Apa yang warga seni kecapi hari ini adalah hasil peninggalan karyawan terdahulu. Kami sebagai penggiat hari ini juga perlu terus mengembangkan industri untuk diwariskan kepada generasi akan datang juga,” katanya.
Merdekakan minda
Aktor popular Shaheizy Sam, 30, berkata, generasi seni pada hari ini bertuah kerana hidup dalam era yang selesa dan bebas. Justeru itu, katanya, generasi muda harus memerdekakan diri dalam segenap aspek agar kebebasan itu dicapai secara mutlak.
“Para artis pada hari ini bertuah apabila dapat berkarya dengan bebas dan tenteram dengan segala macam kemudahan dan kemewahan di sekeliling. Namun, kita tidak akan cukup merdeka jika pemikiran dan minda tidak bebas dan terbuka.
“Sebagai penggiat, kita perlu memerdekakan minda dan sikap sendiri terlebih dahulu sebelum berkongsi kerja kita dengan khalayak. Merdeka bukan sahaja dapat berkarya secara bebas tetapi minda terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan khalayak terhadap kerja kita,” katanya.
Pelakon baru Natashasheila Abdul Razak, 25, atau Tasha berkata, impak kemerdekaan dapat dilihat pada perkembangan golongan karyawan muda yang semakin menonjol ke hadapan.
“Seperkara yang menarik mengenai perkembangan industri seni kita dengan kemajuan negara adalah lebih ramai generasi muda turut serta, mengambil tahu dan menonjol dalam pelbagai aspek termasuklah bidang seni.
“Kalau kita lihat pada hari ini, lebih ramai pengarah, pelakon dan penyanyi muda seperti Syamsul Yusof, Pierre Andre, Najwa Latif dan Yuna menonjol dalam cabang masing-masing.
“Ini membuktikan generasi hari ini mempunyai daya saing yang tinggi untuk mencapai kemajuan dalam kerja mereka seiring dengan kemudahan, kesenangan dan teknologi di sekeliling kita,” katanya.
Jojo Goh Sedia Bersaing Dalam Industri Perfileman Melayu
PETALING JAYA: Pelakon utama filem 29 Februari, Jojo Goh sudah bersedia untuk menempa nama dalam industri perfileman Melayu bagi memantapkan lagi kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Jojo berkata, dia telah lama memasang impian untuk berlakon dalam filem berbahasa Malaysia dan memberitahu teruja apabila diterima untuk terlibat dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu.
"Saya baru terasa seperti seorang pelakon apabila dapat berlakon dalam filem 29 Februari kerana sebelum ini sering mendapat peranan dalam filem atau drama berbahasa Cina atau pun Inggeris.
"Kini saya rasa lengkap dan lebih yakin untuk memperkukuhkan lagi kerjaya saya di negara ini," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Jojo, dia bukan mengejar populariti semata-mata kerana baginya apa yang lebih penting kepercayaan pihak penerbit terhadap bakat yang dimilikinya.
Dalam pada itu, Jojo mendedahkan cabaran menjayakan watak Lily dalam filem yang sudah memulakan tayangan pada Khamis lalu amat sukar baginya kerana dia bimbang sebutan bahasa Malaysianya salah.
Jojo memberitahu, selepas mendapat tawaran berlakon dalam filem berkenaan dia mula menonton filem dan drama bahasa itu sebagai salah satu persediaan sebelum ke set.
"Sebagai rakyat Malaysia saya boleh bertutur dalam bahasa itu cuma untuk filem ini saya mahu memantapkan lagi sebutan tambahan pula Edry tidak mahu pelat Cina yang terlalu kuat.
"Walaupun pada mulanya agak sukar tetapi di sebalik itu saya semakin mahir dan tatabahasa saya juga bertambah baik," katanya.
Sementara itu, Jojo berkata, dia teruja dan gementar untuk menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam 29 Februari bersama Remy Ishak dan berharap mereka akan menyukainya.
Malah kata Jojo dengan kehadiran filem 29 Februari itu akan membuka ruang luas untuknya mengembangkan bakat lakonan dengan lebih serius.
4 Stesen Radio Kumpulan Media Star Siar Segmen Merdeka
PETALING JAYA: Semua empat stesen radio di bawah Kumpulan Media Star akanmenyediakan segmen kemerdekaan sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan Negara ke 55 yang disambut Jumaat (hari ini).
Sebagai permulaan, pemenang Pertandingan Hari Merdeka - yang telah dipromosikan diSuria FM, 988 FM, Red FM dan Capital FM, akan diumumkan sebelum pukul 12 tengah hari Jumaat yang antara lain menyediakan hadiah berupa RM5,000 untuk dimenangi.
Pertandingan, yang diadakan selama tiga hari bermula Selasa memerlukan pendengar untuk menjawab empat soalan harian dengan mengumpul gambar yang betul dalam gambar pada halaman laman pertandingan itu.
Menerusi segmen “Breakfast Show” di saluran Suria FM, Halim Othman, Nabil Ahmad dan Kenchana Devi akan bercakap mengenai sambutan kemerdekaan negara sekitar pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
"Pendengar digalakkan untuk mengemukakan puisi dan serta berkongsi pengalaman mereka berkaitan Merdeka," kata Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah.
Beliau berkata berita ringkas stesen itu juga akan menampilkan bahan berkaitan merdeka.
Dalam pada itu Pengarah Program 988, Lim Tock Peng pula berkata stesen itu mempunyai 15 hingga 20 saat klip pendek bagi memaparkan cerita kejayaan Malaysia.
Pada siaran pagi yang akan bersiaran pukul 9 pagi itu, stesen berkenaan akan menampilkan penulis lagu popular Taiwan iaitu Tan Kheng Seong atau lebih dikenali sebagai Ah Niu yang akan bercerita pengalamannya mencita kejayaan dalam bidang berkenaan.
Pengarah Program Red FM, Allan Cameron pula berkata deejay popular Sarimah Ibrahim dan Lil 'Kev akan mempunyai segmen Terbaik Malaysia bagi siaran “Breakfast Show.”
"Pendengar boleh menghubungi dan bercakap tentang perkara-perkara yang terbaik tentang Malaysia. Mereka juga boleh menghantar Tweet kepada kami di @iloveredfm," katanya.
Sementara itu Perunding Program Capital FM, Aanont Martin Robert Wathanasin,lebih dikenali sebagai Non, berkata stesen itu menyiarkan sebuah lagu Merdeka yang digubah khas oleh salah seorang penyampai mereka iaitu Liang sepanjang hari.
"Kami juga akan memainkan mesej Merdeka daripada penyampai kami danserta mengenai Malaysia," katanya.
Adele Kahwin Secara Rahsia
PENYANYI terkenal, Adele yang bakal melahirkan anak pertamanya dalam masa sebulan dilaporkan telah berkahwin secara rahsia dengan tunangnya iaitu Simon Konecki.
Majalah Life & Style melaporkan penyanyi lagu Someone Like You itu dilihat memakai sebentuk cincin perkahwinan di jarinya semasa dia dan Konekci keluar bersiar-siar di London baru-baru ini.
Sumber melaporkan Adele cuba menyimpan rahsia perkahwinan tersebut seperti mana yang dilakukan terhadap kandungannya yang tidak dapat dihidu oleh media sebelum ini.
"Dia adalah seorang wanita biasa yang inginkan sebuah keluarga dan mahu memberikan fokus kepada anak dan lelaki yang dicintainya," ujar sumber itu.
Gambar yang tersebar dalam majalah tersebut adalah yang pertama selepas penyanyi itu membuat pengakuan sedang hamil di dalam laman web pada bulan Jun lalu.
Bagaimanapun tiada khabar terbaru daripadanya sejak itu.
"Dia kelihatan gembira dan sentiasa tenang dalam menantikan kelahiran anak pertamanya," ujar sumber itu lagi.
Fouziah Gous berkecil hati
|
"SAYA sanggup lakukan apa sahaja untuk dia. Saya dengan dia memang sangat rapat. Malah, kami juga tidur bersama," akui Fouziah mengenai wasilah atau dalam erti kata lain, ikatan cinta terhadap ibu kesayangannya, .
Sebagai seorang isteri yang baru kehilangan suami, Fouziah faham mengenai perasaan sunyi dan kehilangan yang membelenggu ibunya. Disebabkan itu, setelah bapanya meninggal dunia 11 Ogos lalu ketika umat Islam bakal menyambut Syawal lapan hari lagi, Fouziah berjanji akan menjaga ibunya, Sajadi Ibrahim, 58.
"Saya seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga. Apa yang berlaku saya kena jaga ibu. Walaupun saya sedih dengan kehilangan ayah, saya tidak akan sekali-kali menangis depan dia. Saya tak mahu dia tahu saya bersedih," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.
Terpaksa menyambung penggambaran drama tiga hari yang lalu, menurut Fouziah, dia akan memastikan semua perkara yang melibatkan ibunya selesai sebelum keluar bekerja.
Masih bersedih dengan kematian bapanya, Mohd. Gous Agulam Dastagir, 75, pelakon yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 11 Disember ini juga mengakui berasa kecil hati kerana cerita kematian bapanya ditulis tanpa kenyataan daripada mulutnya sendiri.
"Saya minta maaf sebab tak dapat nak jawab panggilan telefon media masa ayah saya meninggal dunia. Bukan sengaja tetapi ketika itu saya benar-benar tidak berkesempatan. Malah, panggilan daripada teman-teman juga saya tidak angkat.
"Saya juga kecil hati sebab tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada mulut saya tetapi ada beberapa pihak yang menulis mengenai arwah yang mengatakan dia meninggal disebabkan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sedangkan ayah saya meninggal bukan disebabkan kedua-dua penyakit itu tetapi disebabkan penyakit tua," rungkainya mengenai isu tersebut ketika ditemui selepas majlis pratonton episod pertama drama Trilogi Cinta 2 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur, kelmarin.
Ingin menjernihkan situasi, jelas Fouziah, bapanya sememangnya sudah berusia iaitu 75 tahun. Badan bapanya semakin hari semakin lemah sehingga membuatkan lelaki kesayangannya itu lebih banyak terlantar.
Begitupun, dia mengakui tidak menjangkakan kematian ayahnya pada hari itu kerana bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda.
"Saya bersyukur kerana arwah meninggal pada bulan Ramadan dan proses pengebumian arwah sangat mudah dan cepat. Sebelum Zuhur dia meninggal tetapi selepas Asar dia sudah dikebumikan," ceritanya mengenai arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, Selangor.
Cinta ahli korporat duda
Masih belum reda dengan isu cintanya bersama seorang ahli korporat berstatus duda yang dikatakan bakal ke jenjang pelamin pada tahun ini, bekas pramugari itu mengakui, kadangkala berasa rimas tetapi dia tidak akan sekali-kali melatah dan marah dengan gosip yang melanda dirinya.
"Saya faham industri hiburan memang macam ini. Saya tidak akan melatah dan marah. Cuma, cukuplah perihal ini (cerita kahwin) ditulis lagi. Ia telah menyebabkan saudara-mara saya berasa kecil hati dan terkejut. Tolonglah, jangan tulis benda yang tidak benar yang kita sendiri tidak cakap," ucapnya yang mengakui lega kerana gosip tersebut tidak menyebabkan keluarganya berpecah-belah.
Sebelum ini, kecoh mengatakan Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) dalam Anugerah Skrin 2007 itu bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli korporat pada bulan Jun lalu.
Fouziah bagaimanapun menafikan gosip liar tersebut dengan menjelaskan dia sebenarnya terlalu sibuk dan terikat dengan penggambaran beberapa buah drama termasuk Trilogi Cinta 2 terbitan Suhan Movies.
Membawakan watak seorang gadis bernama Nurjinah yang berkahwin dengan seorang duda bernama Razif lakonan Rosyam Nor dalam Trilogi Cinta 2, Fouziah turut ditebak persoalan bagaimana jika karakter yang dibawanya bakal menjadi kenyataan pada dirinya.
Tenang dia menjawab. Katanya: "Saya cuma minta pada Allah agar dikurniakan seorang suami yang baik. Buat apa mencari masalah dengan berkahwin dengan lelaki yang kita tahu bakal mengundang masalah."
Trilogi Cinta 2
Bercerita mengenai wataknya dalam drama yang mencatat rating sebanyak dua juta itu, jelas Fouziah, ketika musim pertama drama Trilogi Cinta, watak Nurjinah lebih lembut tetapi untuk musim kedua ini watak Nurjinah agak tegas.
"Drama Trilogi Cinta musim kedua ini lebih mencabar kerana Nurjinah sudah berkahwin dan menjadi ibu. Di situ, dia perlu bermain dengan banyak emosi sebagai seorang isteri, ibu dan juga sebagai seorang kakak," ujarnya.
Tiada pengalaman sebagai seorang isteri, jelas Fouziah, dia banyak mendapatkan tip daripada teman-teman yang sudah berumah tangga bagaimana melakonkan watak sebagai isteri. Lebih-lebih lagi sebagai seorang isteri yang sarat menyimpan perasaan dan suka bermain dengan emosi.
Namun begitu, berlakon sebagai seorang ibu tidak mendatangkan masalah kepada Fouziah kerana dia mempunyai pengalaman menjaga anak-anak buahnya.
Erra tolak, Lisa terima
|
MENGIKUT perancangan asal, pementasan teater Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sepatutnya sudah mula dipentaskan di Istana Budaya semalam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55, tetapi ia terpaksa ditunda pada 14 September ini.
Walau bagaimanapun, perjalanan untuk merealisasikan teater yang menceritakan tentang tokoh negarawan terkemuka yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Bermula dengan keputusan Adlin Aman Ramlie yang menarik diri untuk mengarah teater berkenaan, terbaharu, aktres popular Erra Fazira yang sepatutnya memegang watak Dr. Siti Hasmah turut mengambil tindakan yang serupa.
Jika Erma Fatima menggantikan peranan Adlin selaku pengarah, watak tokoh negarawan itu pula kini bakal dipegang oleh pelakon Lisa Surihani yang baru kali pertama beraksi di pentas teater.
Ketika dihubungi Kosmo! semalam, isteri kepada Yusry Abdul Halim itu mengakui sangat terkejut dengan tawaran yang diterima, namun mengakui begitu teruja untuk terbabit dalam pementasan teater berkenaan.
Kosmo!: Bila Lisa ditawarkan untuk membawakan watak sebagai Dr. Siti Hasmah?
LISA: Saya telah dihubungi oleh pihak Istana Budaya. Saya telah diberitahu bahawa Kak Erma mahu saya membawakan watak ini setelah Erra terpaksa menolaknya kerana pertindihan jadual setelah tarikh teater ini ditunda.
Secara peribadi saya berpendapat bahawa Erra merupakan pelakon yang paling sesuai dengan watak ini berdasarkan pengalaman yang dimilikinya. Saya percaya dia mampu memainkan peranan sebagai Dr. Siti Hasmah dengan berkesan.
Apakah reaksi Lisa ketika mendapat tawaran tersebut?
Sudah tentu saya sangat terkejut dan seperti tidak percaya kerana saya langsung tidak mempunyai pengalaman dalam pementasan teater. Pada mulanya saya ingat ditawarkan watak kecil sahaja, tetapi tidak sangka pula saya dikehendaki membawakan watak seorang individu yang memang menjadi idola saya selama ini.
Namun, saya tidak mahu ramai yang salah sangka kerana saya tidaklah menggantikan Erra secara keseluruhan kerana saya sekadar membawakan watak Dr. Siti Hasmah semasa muda.
Sebenarnya pementasan ini membabitkan dua babak iaitu perjalanan ketika Dr. Siti Hasmah muda (babak pertama) dan dewasa (babak kedua). Jadi saya sekadar terbabit dalam babak yang pertama sahaja, manakala babak kedua pula dilakonkan oleh pelakon lain.
Kenapa Lisa bersetuju untuk beraksi dalam pementasan teater ini?
Sebelum ini saya pernah ditawarkan berlakon teater, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana mempunyai komitmen lain. Secara kebetulan pula jadual saya sekarang tidak terlalu sibuk dan akhirnya saya bersetuju untuk terlibat sama.
Namun, saya ada memberitahu pihak produksi bahawa sepanjang pementasan berlangsung dari 14 hingga 23 September nanti, ada dua hari yang saya tidak boleh terlibat kerana ada komitmen lain dan mereka bersetuju untuk menggantikan saya dengan pelakon lain.
Pementasan ini dijadualkan bakal berlangsung dua minggu lagi, adakah Lisa yakin mampu membawakan watak yang dibawakan ini?
Saya akui tempoh dua minggu memang sangat singkat untuk menjayakan sebuah pementasan teater, apatah lagi saya langsung tiada pengalaman. Saya anggap ia merupakan satu cabaran baharu yang berguna buat diri saya sebagai seorang pelakon.
Tidak dinafikan beraksi di hadapan kamera dan penonton secara langsung memang sangat berbeza. Namun, saya percaya kerjasama dengan semua pihak yang terlibat serta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman saya akan berusaha bersungguh-sungguh.
Adakah Lisa akan menerima tawaran untuk berlakon teater lagi pada masa akan datang?
Bagi saya itu semua bergantung kepada rezeki kerana pembabitan saya dalam teater ini juga berlaku pada saat-saat akhir. Selepas pementasan teater ini kalau ada tawaran lain yang diterima mungkin saya akan mempertimbangkannya.
Yuna meriahkan Himpunan Janji Ditepati
|
BERSEMPENA sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang disambut pada hari ini, suatu acara meriah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Himpunan Janji Ditepati.
Acara yang bermula pukul 3 petang hingga 12.30 malam ini menampilkan penghibur muda yang cukup berpengaruh dalam industri hiburan tanah air, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna.
Pembabitan Yuna itu sebagai tanda kebanggaannya menjadi anak Malaysia selain sokongan terhadap sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang terus mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian berbilang kaum selama 55 tahun.
Justeru, kesibukan mencipta nama di Amerika Syarikat bukan halangan buat Yuna untuk meluangkan secebis waktu untuk acara penuh bersejarah itu.
Selain Yuna, persembahan berkenaan turut dimeriahkan oleh ratu rock negara, Ella, selain Hafiz AF7, Stacy, Faizal Tahir, Nash Lefthanded, Suki, Daniel Lee dan Syeruthi.
Apa yang menarik, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diberi kepercayaan dan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan persembahan berkenaan termasuk sebuah lagi aktiviti iaitu perarakan dan perbarisan merdeka di Dataran Merdeka, pada pagi ini.
Terdahulu pada 13 Julai, pelancaran sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 sudah dilaksanakan.
Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, konsep yang diperkenalkan mengangkat tema keceriaan selain menyaksikan pembabitan generasi muda.
"Dalam menghidupkan suasana ceria fiesta, kami ingin mewujudkan interaksi pemimpin bersama rakyat. Menerusi pengisian persembahan pula, kami mengetengahkan lagu-lagu terkini dan segar yang memenuhi citarasa anak muda.
"Disebabkan itu, kami membariskan penghibur dalam kalangan generasi muda untuk membuat persembahan malah keseluruhan acara yang dijalankan menyaksikan pembabitan golongan Gen-Y.
"Golongan ini penting untuk mendapat pendedahan kerana merekalah yang akan memacu negara suatu hari nanti dan kesedaran perlu dipupuk dari sekarang. Saya melihat persembahan juga satu kaedah menggerakkan kebudayaan.
"Budaya bukan hanya perlu ditekankan atau bermula di sekolah, tetapi ia juga berupaya disemarakkan dengan acara seperti ini.
"Konteks kebudayaan meluas sebenarnya. Ia bukan sekadar tarian kebudayaan tetapi juga amalan dalam kehidupan misalnya hidup bersatu padu yang sinonim budaya Malaysia," katanya.
Tambah beliau, Himpunan Janji Ditepati disertai 8,500 peserta manakala perarakan dan perbarisan di Dataran Merdeka pula menghimpun 13,500 peserta. Sebahagian daripada mereka adalah artis kebudayaan di bawah JKKN sendiri.
Memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar seperti dirancang, kesemua jabatan di bawah JKKN Pusat iaitu 14 JKKN negeri mengambil bahagian berserta 200 pegawainya yang berdedikasi turun padang.
"Saya mewakili JKKN dan seluruh yang terbabit, mengharapkan acara yang dihidangkan bukan saja menghiburkan, menyerlahkan kebudayaan dan semestinya paling penting dapat memupuk semangat perpaduan sebagaimana disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yangmembawa dasar 1Malaysia.
"Marilah beramai-ramai membanjiri Stadium Nasional hari ini, kerana selain kita berhibur dengan persembahan penuh berwarna-warni, mendengar saranan Perdana Menteri, acara pada malam ini amat istimewa.
"Ini kerana turut diadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama, sebuah Proton Preve dan empat motosikal Modenassp tajaan Proton, dua tiket penerbangan pergi balik, Kuala Lumpur - London dan Kuala Lumpur - Sydney tajaan Sistem Penerbangan Malaysia, 50 Tablets tajaan Huawei Technologies dan 10 basikal Fixie.
"Pengunjung perlu mendaftar di khemah pendaftaran yang mana urus setia kami akan memberi kad raya/kemerdekaan kepada mereka.
"Pada bahagian hujung kad itu nanti ada tertera nombor. Nombor itu perlu disimpan sehingga pengumuman hadiah cabutan bertuah diumumkan di akhir majlis," katanya.
Bas percuma untuk warga KL
|
KUALA LUMPUR - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, kerajaan Persekutuan menghadiah perkhidmatan bas percuma kepada warga kota bagi destinasi tertentu di kawasan pusat bandar bermula hari ini.
Perkhidmatan bas percuma yang dikendalikan oleh Go-KL City Bus itu merupakan langkah terbaharu kerajaan bagi mempromosi pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pusat Perniagaan Daerah (CBD) di ibu negara.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, perkhidmatan yang menelan kos operasi kira-kira RM4 juta setahun itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta pengguna pengangkutan awam di ibu negara setiap tahun.
"Go-KL City Bus mempunyai 15 buah bas berwarna ungu melibatkan jarak perjalanan sepanjang 14 kilometer dan 25 hentian bas dalam kawasan CBD. Bas ini mudah dikenali kerana ada logo Go-KL City Bus serta tulisan percuma pada bas berkenaan.
"Bas yang beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam setiap hari ini dilengkapi kemudahan WiFi, sistem penentuan kedudukan global, sistem kamera litar tertutup dan mesra golongan orang kelainan upaya," katanya pada satu sidang akhbar di sini kelmarin.
Syed Hamid berkata, laluan pertama Go-KL City Bus melibatkan hentian bas di Suria KLCC, Angkasaraya, Pusat Penerangan Pelancongan (Matic), Hotel Concorde, Wisma Hup Seng, The Weld, Wisma Lom Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Monorel Raja Chulan, Wisma Rohas Perkasa, Citibank dan Wisma Athlan.
Katanya, laluan kedua melibatkan hentian bas di Pasar Seni, Bangkok Bank, Muzium Telekom, Menara Olimpia, Menara KL, The Weld, Wisma Lim Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Wisma Boustead, Wisma HLA, Simpang Bukit Ceylon, Muzium Telekom dan Kota Raya.
Menurut beliau, sebanyak dua lagi laluan Go-KL City Bus akan diwujudkan di ibu negara pada tahun ini sebelum ia dilaksanakan di bandar besar lain seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang bergantung kepada prestasi perkhidmatan itu di Kuala Lumpur.
Maxis catat perolehan RM4.445 bilion
KUALA LUMPUR - Maxis Bhd. (Maxis) mencatat perolehan sebanyak RM4.445 bilion pada setengah tahun pertama dengan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus berbanding RM4.291 bilion tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, segmen perniagaan bukan suara merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan tersebut dengan sumbangan sebanyak 62 peratus.
Turut menyumbang ialah segmen data dan panggilan Dail Terus Antabangsa selain beberapa langkah pasaran merentasi kategori produk yang telah dilancarkan sejak awal tahun lalu
Menurutnya, keuntungan selepas cukai bagi tempoh kewangan tersebut ialah RM1.039 bilion berbanding RM1.092 bilion dengan menyaksikan penyusutan sebanyak 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Penyusutan itu merupakan impak daripada pelupusan aset sebanyak RM125 juta dalam tempoh berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan prestasi kewangan suku kedua Maxis bagi 2012 di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Operasi Bersama, Suren Jeevaka Amarasekere.
Sandip menjelaskan, perolehan bagi suku kedua untuk tempoh kewangan itu ialah sebanyak RM2.216 bilion berbanding RM2.229 bilion tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai bagi suku berkenaan pula ialah RM630 juta berbanding RM767 juta tempoh yang sama sebelumnya.
Sementara itu, Sandip menerangkan, Maxis telah melantik Astro sebagai penyedia kandungan untuk produk terbaharunya, televisyen internet protokol (IPTV) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Kami telah menandatangani perjanjian bersama Astro pada hari ini (semalam) dan kami akan mengumumkan secara lanjut dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
Polis tumpaskan Geng Ah Chai
KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah dikenali Geng Ah Chai yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan samun kenderaan sejak awal tahun ini tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek di Damansara Damai dekat sini Selasa lalu.
Nama Geng Ah Chai tersebut diambil daripada gelaran salah seorang suspek yang dikenali sebagai Ah Chai.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, penangkapan bermula apabila polis mengesan salah seorang suspek berusia 26 tahun yang menggunakan kad kredit palsu untuk mengisi minyak di Damansara Damai pada pukul 12.30 tengah malam.
“Ekoran penangkapan lelaki itu, polis menahan pula dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun dan teman wanita suspek pertama berusia 25 tahun setengah jam kemudian,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Zakaria berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah didiami suspek di Damansara Damai dan menemui pelbagai peralatan untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti parang panjang dan pengumpil pintu.
Beliau berkata, turut ditemui pelbagai barangan curi termasuk 30 keping kad kredit, pelbagai jenis kunci kereta, komputer riba, puluhan kad sim telefon dan barang kemas.
Jelas Zakaria, berdasarkan penemuan pelbagai jenis kunci kereta itu polis tidak menolak kemungkinan suspek juga giat melakukan jenayah mencuri kenderaan.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah di sekitar Setiawangsa di sini sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri lalu.
Tambah beliau, dua suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah serta pecah rumah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Dua dituduh cuba bunuh, bakar gadis
|
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dakwaan cuba membunuh teman wanitanya dengan cara membakar remaja tersebut menggunakan petrol sehingga melecur dan luka sehingga 30 peratus pada anggota badannya.
Selain Mohd. Amir Mohd. Anuar, 19, turut didakwa ialah pengawal keselamatan, Muhammad Faiz Kamaruddin, 24. Mereka mengaku tidak bersalah.
Mereka didakwa cuba membunuh Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, dengan membakarnya di sebuah kawasan semak di belakang Puspakom, Wangsa Maju pada pukul 3.15 pagi, 13 Ogos lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mohd. Amir yang bekerja di Hotel Sheraton, di sini diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid manakala Muhammad Faiz belum melantik peguam.
Hakim S. M Komathy Suppiah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli.
Pegawai penyiasat, Inspektor Chua Sze Yuan ketika dipanggil mahkamah berkata, mangsa kini koma di Hospital Kuala Lumpur namun sempat mendakwa kedua- dua tertuduh yang melakukannya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, dalam kejadian itu, Nurul Firzanah melecur dari muka hingga ke pusat. Mangsa yang tidak lagi bersekolah sejak berusia 14 tahun itu pada mulanya pergi ke rumah ibu angkatnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sebelum keluar berjumpa teman lelakinya untuk bersahur.
Thai cipta rekod mengurut dunia
BANGKOK - Seramai 641 tukang urut mengurut 641 orang secara serentak selama 12 minit di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Record.
Acara mengurut beramai-ramai itu dianjurkan Kementerian Kesihatan Awam Thailand bagi mempromosikan industri spa dan urut di negara ini.
Rekod lama dicatatkan di Australia pada tahun 2010 apabila 263 diurut serentak selama lima minit.
"Ia mudah kerana ini (mengurut) kami lakukan pada setiap hari untuk hidup," kata salah seorang tukang urut wanita, Chayanan Chanwuttisawan, 53, yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
"Saya tidak pernah menyangka kami mempunyai peluang untuk diiktiraf seperti ini," tambahnya.
Thailand memang terkenal sebagai 'ibu kota mengurut' di dunia.
Menteri Kesihatan, Wittaya Buranasiri berkata, dia mahu industri mengurut memberi lebih banyak pendapatan kepada negaranya.
Gunung berapi 140 juta tahun ditemui
|
|
HONG KONG - Sekumpulan ahli geologi Hong Kong semalam mendedahkan peta dan tinggalan gunung berapi gergasi yang meletus 140 juta tahun lalu.
Gunung berapi gergasi itu terletak di tenggara Hong Kong.
Diameter gunung tersebut ialah 18 kilometer dan ia dikenali sebagai Gunung Berapi Besar Pulau Tinggi.
Hakisan dan cuaca menyebabkan hanya sedikit tinggalan gunung itu dapat dilihat seperti di Kepulauan Kwo Chau.
Menurut agensi berita Bernama, Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Sivil Hong Kong membuat pengumuman rasmi tentang penemuan itu semalam.
Seorang jurutera di jabatan itu, Denise Tang berkata, gunung tersebut pernah menghamburkan 1,000 kubik kilometer debu.
Motosikal tandas bergerak sejauh 300 kilometer
TOKYO - Syarikat pengeluar motosikal tandas di Jepun semalam menyatakan ia boleh bergerak sejauh 300 kilometer (km) jika diisi penuh dengan najis dan kumbahan haiwan.
Ia dianggap sebagai motosikal pertama dijana dengan najis sebagai bahan bakar di dunia.
Motosikal itu mempunyai tiga roda dan mempunyai mangkuk tandas di tempat duduk.
Namun, pihak pengeluar motosikal itu, TOTO menyatakan orang yang menunggangnya tidak mengeluarkan najis untuk membolehkan ia bergerak.
"Minyak bio yang dijadikan bahan bakar itu tidak dihasilkan daripada najis manusia.
"Ia adalah daripada najis dan kumbahan ternakan," kata jurucakap syarikat tersebut, Kenji Fujita.
Motosikal itu dipamerkan di bilik pameran syarikat tersebut di pinggir Tokyo.
Menurutnya, para pelanggan amat berminat dengan kenderaan tersebut dengan sebahagian mereka merakamkan gambar.
Setakat ini motosikal itu tidak akan dijual.
Pemandu 101 tahun langgar kanak-kanak
LOS ANGELES - Sembilan orang kanak-kanak cedera empat daripada mereka parah apabila seorang pemandu lelaki berusia 101 tahun merempuh mereka di luar sebuah sekolah di sini, kata beberapa pegawai dan saksi.
Seorang jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles, Erik Scott berkata, dua lagi orang dewasa turut cedera dalam nahas yang berlaku pada Rabu lalu.
Pemandu itu, Preston Carter berkata, dia hilang kawalan manakala brek keretanya gagal berfungsi.
"Saya minta maaf," katanya kepada seorang jurukamera stesen televisyen ABC7.
Stadium Merdeka kian dilupakan
Stadium Merdeka yang menjadi saksi kemerdekaan Malaysia dan lokasi acara sukan bertaraf dunia kini semakin dilupakan.
|
BIARPUN jarak kediaman Datin Paduka Wan Intan Wan Ahmad Tajuddin di Pelabuhan Klang, Selangor dengan Stadium Merdeka 37.3 kilometer, perasaannya pasti bercampur-baur setiap kali teringatkan kenangan di bangunan ikonik itu.
Matanya berkaca manakala perbualan Wan Intan yang sentiasa ramah dan bertenaga walaupun usianya sudah menjangkau 81 tahun serta-merta terhenti dan dalam nada tersekat-sekat dia meneruskan kata-kata.
Pengalaman nenek kepada empat orang cicit itu bukan calang-calang. Beliau merupakan insan bertuah kerana berada di Stadium Merdeka ketika Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.
"Sehingga sekarang, imej Tunku saat beliau melaungkan perkataan merdeka masih jelas pada pandangan mata saya," ujar Wan Intan yang ketika tarikh keramat itu terjadi, dia baru berusia 26 tahun.
Suasana ketika itu sangat hebat. Dengan kapasiti penonton seramai 20,000 orang, Stadium Merdeka dipenuhi lautan manusia tanpa mengira kaum sambil memberi gambaran pada waktu itu.
Tambah Wan Intan, sebelum pengisytiharan, Tunku Abdul Rahman memberikan ucapan. Pada waktu itu suasana di stadium menjadi begitu sunyi kerana semua tekun mendengar amanat Tunku.
Wan Intan yang kini menetap di Kampung Raja Uda, Klang masih aktif melakukan kerja-kerja kebajikan terutamanya melibatkan anak-anak yatim.
Beliau dan adiknya, Wan Intan telah menempuh perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sehari sebelum 31 Ogos.
Detik penurunan bendera Union Jack pada pukul 12 tengah malam pada 31 Ogos 1957 juga sempat disaksikan oleh kedua-dua beradik itu.
Berlangsung di Padang Sultan Sulaiman yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka, orang ramai memenuhi kawasan padang sehingga tidak nampak rumput, kata Wan Intan.
Di stadium pula, mereka bertuah kerana dapat duduk di hadapan pentas yang menempatkan acara pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.
Pengalaman berada pada acara tersebut benar-benar memberi pengajaran dan kesedaran kepadanya sepanjang hayat mengenai jerih-perih pejuang dahulu menuntut kemerdekaan.
Stadium Merdeka yang terletak di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur itu dibina pada 25 September 1956 dan siap sepenuhnya pada 21 Ogos 1957.
Pada awalnya, stadium tersebut dibina bertujuan sebagai lokasi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu sekali gus menjadi lambang kepada status kemerdekaan Malaysia sehingga kini.
Kata Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Tunku Abdul Rahman memberi idea untuk membina sebuah stadium untuk acara tersebut selain menjadi tempat orang ramai berkumpul.
Tambahan pula, Tunku merupakan seorang yang aktif bersukan terutamanya ketika menuntut di Universiti Cambridge, United Kingdom.
Sesuai dengan fungsinya sebagai kemudahan sukan, Stadium Merdeka menjadi lokasi penting dalam penganjuran banyak acara sukan berkelas antarabangsa.
|
|
Bertaraf antarabangsa
Sepanjang dekad 60-an hingga 80-an, Stadium Merdeka begitu gah dan meriah dengan aktiviti sukan terutamanya bola sepak melalui penganjuran Pesta Bola Merdeka.
Perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan Kemerdekaan dianjurkan setiap tahun selepas tarikh 31 Ogos. Ia bertaraf antarabangsa dan mendapat perhatian orang ramai.
Selain itu, Stadium Merdeka juga menjadi tempat utama dalam penganjuran sukan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEA) dan Sukan Malaysia (Sukma). Bagi acara bukan balapan pula, Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar dan Stadium Negara serta Stadium Chin Woo menjadi tumpuan.
Pesara juruteknik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Khalib Mat, 63, yang bertugas di bahagian luar studio kerap berada di Stadium Merdeka ketika zaman kegemilangan lokasi sukan itu.
Ujarnya, hampir 90 peratus program yang dianjurkan di Stadium Merdeka berbentuk sukan. Premis tersebut dijaga sebaik mungkin terutamanya di bahagian padang rumput.
Setiap kali acara sukan dianjurkan, orang ramai berpusu-pusu seawal pukul 4 petang untuk memasuki stadium. Suasana sesak begitu jelas kelihatan mungkin kerana pintu masuk tidak banyak manakala penonton begitu ramai.
"Ketika itu tidak banyak syarikat yang membawa artis-artis antarabangsa ke Malaysia untuk mengadakan persembahan.
"Tempat acara yang besar pula tidak ada kecuali Stadium Merdeka. Jadi, acara-acara sukan menjadi hiburan bagi rakyat Malaysia pada waktu itu," ungkap Khalib ketika ditemui di rumahnya di Bangi, Selangor.
Pada masa itu, para pengulas sukan seperti Hasbullah Awang dan Rahim Razali begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia manakala pemain bola sepak misalnya, Allahyarham Mokhtar Dahari menjadi bintang pujaan.
Tambahan pula, bola sepak Malaysia ketika itu amat digeruni pasukan lawan seperti dari Korea, kata lelaki dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu.
Acara besar
Tugas Khalib semasa berkhidmat dengan RTM adalah membuat susun atur keseluruhan litar elektrik dalam bilik penyiaran setiap kali ada acara luar studio dibuat.
Bukan untuk RTM sahaja, jika terdapat syarikat penyiaran luar yang mahu membeli hak siaran, lelaki yang mula bekerja di Kuala Lumpur pada tahun 1977 itu turut bertanggungjawab.
Selain sukan, terdapat beberapa acara berbentuk keagamaan dianjurkan di situ seperti sambutan Maulud Nabi, dan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa serta kebangsaan.
"Hanya majlis tilawah yang menyebabkan padang rumput rosak kerana pentasnya dibina di tengah-tengah padang," ceritanya.
Ketika itu majlis tilawah diadakan di tempat terbuka menjadikan suasananya sangat berlainan, penonton pula begitu ramai memenuhi ruang hadapan pentas.
"Sukar untuk menggambarkan perasaan tersebut lebih-lebih lagi ia diadakan pada bulan Ramadan," kenang Khalib lagi.
Namun, selepas banyak lokasi sukan mula wujud, aura Stadium Merdeka mula malap. Ia semakin jelas apabila Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dapat menampung kapasiti kira-kira 100,000 orang pada tahun 1998 dibuka.
Bukan sahaja stadium itu sendiri, tetapi kawasan sekelilingnya turut sama hilang secara beransur-ansur seperti restoran berdekatan.
"Dahulu, terdapat sebuah restoran menjual lauk kari kepala ikan yang sangat terkenal tetapi sudah ditutup ketika saya ke sana baru-baru ini," ceritanya lagi.
Barangkali, terdapat ekspo-ekspo diadakan di Stadium Merdeka tetapi tidak dapat memberi impak meriah sama seperti sekitar tahun 70-an dan 80-an.
Stadium bersejarah itu pernah dirancang untuk dirobohkan bagi memberi laluan pada pembinaan projek komersial bersepadu bernilai RM1 bilion.
Namun, kata Kay Kim, ia dibatalkan selepas mendapat banyak tentangan daripada orang awam.
|
Bangunan bersejarah
Berbanding memori Wan Intan dan Khalib terhadap Stadium Merdeka yang bersifat semangat kebangsaan, generasi sekarang agak berbeza jika diteliti tujuan mereka ke bangunan bersejarah itu.
Bermula abad ke-21, banyak konsert telah dianjurkan seperti kumpulan Linkin Park, Mariah Carey, Avril Lavigne, Justin Biebir, Big Bang dan banyak lagi di stadium yang mendapat pengiktirafan sebagai bangunan warisan kebangsaan pada tahun 2003.
Peminat muzik berkumpulan, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 28, pernah dua kali ke Stadium Merdeka untuk menonton konsert kumpulan Muse dari United Kingdom.
"Saya memang meminati Muse dan pasti ke lokasi kumpulan itu mengadakan konsert. Selain di Kuala Lumpur, saya pernah menonton konsert Muse di Singapura," katanya yang berasal dari Kedah.
Selain konsert Muse yang diadakan pada tahun 2007, Nur Aina juga pernah ke Stadium Merdeka untuk bekerja di belakang tabir untuk acara muzik terbesar Malaysia, Rock The World.
Nur Aina mempunyai pendapatnya sendiri mengenai Stadium Merdeka yang kerap diadakan konsert di situ. Muzik kedengaran sangat jelas apabila diadakan di Stadium Merdeka, mungkin kerana ruangnya yang kecil berbanding Stadium Nasional.
Disebabkan pentas dibina di atas padang, hanya separuh bahagian stadium akan dipenuhi penonton dan penonton yang kelihatan ramai serta bersesak menjadikan suasana bertambah menarik bagi peminat muzik live band.
"Stadium Merdeka merupakan tempat yang selesa untuk berkumpul tanpa tujuan seperti mendengar muzik," ujarnya yang ke Stadium Merdeka bersama-sama rakan-rakan yang mempunyai minat sama.
Gerbang perkahwinan pada tarikh keramat
|
SETIAP bakal pengantin sudah pasti mahu mengabadikan hari bahagia mereka dengan cara yang terindah. Justeru, sudah menjadi kebiasaan kebanyakan pengantin dilihat lebih gemar memilih tarikh, bulan dan tahun yang istimewa.
Selain itu, ada juga yang melangsungkan perkahwinan beramai-ramai termasuk pada Hari Kekasih. Paling menarik apabila ada yang tidak ketinggalan memilih tarikh 31 Ogos yang turut menjadi tarikh penting negara bebas daripada belenggu penjajahan.
Melihat keunikan tarikh 31 Ogos, Mohamad Rashid Roslan, 25, dan Nurul Aina Danyal, 24, turut memilih tarikh tersebut.
Ikatan percintaan kedua-dua pasangan itu yang terjalin lebih kurang empat tahun akan dinoktahkan di jenjang pelamin hari ini walaupun pada asalnya mereka memilih tarikh Hari Malaysia 16 September 2012.
“Oleh kerana kebetulan jiran Nurul Aina juga akan mengadakan majlis perkahwinan pada tanggal 16 September, maka selepas berbincang, kami membuat keputusan untuk bernikah pada Hari Merdeka.
“Kami yakin keputusan yang dibuat ialah satu momen yang akan diingati selama-lamanya dan kami turut bersyukur kerana kedua-dua pihak tidak mempunyai masalah dengan tarikh tersebut apatah lagi ia jatuh pada hari keramat,” kata Mohamad Rashid ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih manis, menambahkan koleksi tarikh bersejarah dalam hidup mereka, apabila tanggal 16 September tetap dipilih untuk majlis menyambut menantu di Jalan Gombak nanti.
|
|
Kakitangan swasta itu dan pasangannya menyifatkan mereka berasa amat bertuah kerana setiap kali ulang tahun perkahwinan mereka, semua rakyat Malaysia akan bercuti.
Ketika ditanya mengenai persiapan perkahwinannya, menurut anak jati Kuala Lumpur itu, hampir 95 peratus persiapan telah dilakukan.
Dalam pada itu, hampir 1,500 saudara-mara dan kenalan dijemput dari seluruh Malaysia. Bagi majlis akad nikah tersebut, Rashid membawa 11 dulang hantaran berbalas dengan 13 dulang hantaran daripada pengantin perempuan.
Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di rumah Nurul Aina di Taman Desa Permai, Padang Nenas, Kuala Terengganu ketika seluruh rakyat Malaysia bersemangat merayakan Hari Kebangsaan.
Pasang bendera
Ketika ditanya sama ada akan memasang bendera ketika majlis akad nikah dan majlis persandingan nanti, Mohamad Rashid berkata, kedua-dua pihak sememangnya bercadang untuk berbuat demikian.
Lagipun, bapa kepada Nurul Aina amat menitikberatkan soal pemasangan bendera kerana dia merupakan bekas anggota Polis Hutan.
Mahu menambahkan lagi erti detik 31 Ogos dalam hidup mereka, Mohamad Rashid dan Nurul Aina turut menyimpan niat agar mendapat cahaya mata sempena Hari Merdeka tahun hadapan.
“Jika itu berlaku, ia memang satu bonus, jadi kami boleh menyambut tiga perkara pada tarikh tersebut iaitu Hari Merdeka, ulang tahun perkahwinan dan hari lahir anak,” katanya secara berseloroh.
Sementara itu, ibu Mohamad Rashid, Hashimah Hashim, 51, berkata, dia dan suaminya cuma berharap semua sanak saudara dan kenalan dapat menghadiri majlis perkahwinan anak sulung mereka.
Lagipun, ia merupakan cuti kelepasan kepada seluruh rakyat Malaysia sekali gus memudahkan memperingati ulang tahun perkahwinan anaknya itu kelak.
“Apapun, kami suami isteri berharap majlis tersebut berjalan dengan lancar,” katanya yang akan berangkat ke Kuala Terengganu pada awal pagi 31 Ogos memandangkan majlis akad nikah akan diadakan selepas solat Isyak.
Kisah hidup Tok Ujang
Ujang Mormin, 91, merupakan satu-satunya saksi peperangan menentang Jepun yang masih hidup sehingga kini. Dia juga pernah bersama Leftenan Adnan menentang Jepun di Singapura.
AKTIVITI harian Ujang Mormin sangat ringkas, bermula awal pagi untuk beribadat. Hidup bersendirian pada usia 91 tahun menjadikan dia lebih gemar makan di luar berbanding memasak sendiri.
Masih mampu memandu kereta, dia yang menetap di Rumah Rakyat Sikamat, Negeri Sembilan kadangkala akan ke Desaru untuk menikmati makan tengah hari.
Katanya, makanan yang dijual di situ sedap. Kemudian, dia pulang untuk tidur sebentar dan pada petangnya, Ujang yang lebih mesra dipanggil Tok Ujang berkebun di halaman rumah.
"Tiada apa yang boleh dibuat pada waktu malam selepas solat dan makan malam jadi, tidur awal," katanya sambil menambah dia akan tidur sekitar pukul 9 hingga 10 malam.
Walaupun telah pun berusia hampir 100 tahun, dia masih lagi berkebun di halaman rumah, memangkas dahan-dahan pokok malah masih mampu memegang cangkul menggembur tanah.
Tiada sebarang keistimewaan jika dilihat daripada pandangan mata kasar, namun ketika warga emas itu berumur 21 tahun, dia pernah bersama Leftenan Adnan menentang Jepun di Singapura.
Bercakap dalam loghat Negeri Sembilan, Ujang yang mesra dipanggil sebagai Tok Ujang boleh menceritakan saat-saat beliau dan rakan sepasukan dipanggil untuk bertugas.
"Semasa bercuti selepas tamat latihan di Port Dickson, kami dipanggil balik untuk bertugas di depoh yang terletak di Singapura," kenang Tok Ujang ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan.
Sasaran pertama
|
British ketika itu menyangka pihak Jepun akan menyerang Singapura dahulu tetapi sebaliknya berlaku apabila Kota Bharu, Kelantan menjadi sasaran pertama.
Disebabkan perkara tersebut, tentera dibawa ke Pahang dan menggunakan taktik undur serta bertahan, pasukan yang dianggotai Tok Ujang bergerak semakin ke selatan seterusnya ke Singapura.
"Perasaan ketika itu bercampur-campur. Ada takut dan berani. Rasa takut akan kalah tetapi apabila melihat rakan sepasukan gugur di medan perang, semangat menjadi berkobar-kobar," ujarnya.
Setakat ini, Ujang merupakan satu-satunya saksi peperangan menentang Jepun yang masih hidup sehingga kini. Selepas Singapura jatuh ke tangan Jepun, Ujang hidup secara gerila sehelai sepinggang selama dua bulan.
Pada malam 14 Februari itu, British menasihatkan anggota tentera yang masih hidup untuk melakukan dua perkara iaitu menyerah diri untuk menjadi tawanan perang atau berundur ke dalam hutan. Opsyen kedua dipilih Ujang.
Gaji kecil
|
|
Sepanjang berada di dalam hutan Singapura, Ujang mendapat perlindungan daripada sebuah keluarga yang menetap di Jalan Seranggon.
Kemudian dia menyusup ke stesen Tanjung Pagar sebelum menaiki kereta api ke Rembau, Negeri Sembilan dan menetap di situ selama setahun.
Pada tahun 1943 sehingga 1944, Ujang ke Johor Bahru, Johor dan menetap di sana bersama kakaknya sambil bekerja sebagai pemotong kayu balak dengan pihak Jepun.
|
|
"Bekerja dengan Jepun sangat susah. Gaji terlalu sedikit iaitu sebanyak $15 dengan sekati beras kapur," ceritanya.
Beras kapur merupakan beras paling rendah kualitinya, ia dicampur dengan kapur barus supaya tahan lama. Kuantiti kapur yang terlalu banyak sehinggakan apabila tangan dimasukkan ke dalamnya, tangan menjadi putih.
Ujang meminati bidang ketenteraan kerana tertarik dengan adat istiadat pemakaian tentera yang dipanggil baju mufti.
Di kampungnya, terdapat lima orang yang memohon untuk menjadi tentera tetapi hanya dua orang yang lepas menjadi tentera dan salah satunya ialah Ujang.