Wednesday, September 14, 2011

Zulfazli kongsi ilmu solekan


Zulfazli bersama pasukan jurusolek yang menjadi anak didiknya.


ADAKAH anda bersolek semasa keluar bekerja? Sama ada tebal atau nipis, yang penting tetap bersolek supaya wajah tidak nampak pucat lesi, tidak bermaya.

Bersolek menjadikan wanita nampak segar, menarik, cantik dan lebih penting memberikan keyakinan diri.

Kanak-kanak sekecil berumur dua tahun pun sudah tahu erti bersolek dan seronok apabila bibir disapukan sedikit gincu bibir.

Ada wanita menggunakan hanya beberapa jenis alat solek yang perlu. Namun terdapat juga yang mempunyai set alat solek yang lengkap.

Jurusolek selebriti, Zulfazli Suhadi berkata, bersolek bukan sekadar mewarnakan alat solek pada wajah tetapi juga harus mengetahui pemilihan warna dan penggunaan teknik solekan yang betul.

Katanya, seseorang wanita itu bukan sahaja ingin nampak cantik tetapi pada masa yang sama yakin dengan penampilan diri.

Sebaliknya jika teknik solekan tidak betul akan nampak hodoh dan lebih tua daripada usia sebenar.

Hasrat ingin membantu ramai wanita mengetahui teknik solekan yang betul inilah membuatkan Zulfazli membuka kelas solekan khusus untuk para wanita.

Kelas solekan yang bermula sejak tahun 2000 lagi itu kini telah berjaya melahirkan beratus jurusolek mahir yang sekarang telah berjaya dalam bidang masing-masing.

''Kebanyakan wanita yang mengikuti kelas solekan saya adalah terdiri daripada mereka yang berkerjaya tetap.

"Walaupun mereka memperoleh pendapatan tetap setiap bulan namun kerana minat ingin mengetahui teknik solekan yang betul, mereka sanggup meluangkan masa bagi mengikuti kelas solekan ini,'' ujarnya yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Zulfazli lagi, ramai yang berminat mempelajari teknik solekan yang boleh mengubah wajah biasa menjadi lebih cantik.

Kadang-kadang mereka belum lagi mempunyai perancangan masa depan sama ada hendak menjadi mak andam atau jurusolek artis namun apa yang penting mengetahui solekan betul supaya wajah sendiri boleh ditata rias cantik.

''Sebenarnya sebelum solekan dimulakan, perkara asas yang perlu diketahui ialah jenis kulit anda, ke mana arah tuju solekan anda, tema yang dibawa dan warna bagaimana yang paling sesuai.

''Selain itu, saya turut mengajar mengenai pengetahuan tentang produk solekan dan bahan-bahan yang digunakan.

''Solekan yang akan dilakukan kepada seseorang haruslah bersesuaian dengan jenis dan warna kulitnya, umur, latar belakang dan acara yang hendak dihadiri.

''Juga penggunaan bedak asas untuk siang dan malam dan bedak asas yang sesuai dengan jenis kulit.

''Ini kerana setiap orang adalah berbeza dan solekan di antara seseorang tidak sama dengan seseorang yang lain,'' kata Zulfazli yang telah 21 tahun menjadi jurusolek selebriti.

Ujarnya, kelas solekannya diadakan di salon miliknya yang terletak di Puchong. Bayaran yang dikenakan bagi setiap pelajar ialah sebanyak RM1,000 bagi 10 kali kehadiran.

Para pelajar, jelasnya, perlu membeli alat solek sendiri yang lengkap bagi memudahkan sesi solekan semasa di dalam kelas.

Selain mengadakan kelas solekan di Puchong, Zulfazli turut menerima undangan untuk mengajar solekan kepada mereka yang tinggal di selatan tanah air, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Bagi kawasan selatan, kelas solekan ini diadakan di Johor Bahru bagi memudahkan pelajar-pelajar di sana.

Tambahnya, pada masa depan beliau merancang untuk membesarkan kelas solekannya dan membuka pula kelas dandanan rambut dan dandanan pengantin dan membentuk imej.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: