Wednesday, September 28, 2011

Kota Tinggi muncul juara Bahas Ala Parlimen


Pasukan bahas Kota Tinggi bergambar selepas muncul juara Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah-sekolah Menengah peringkat negeri pada Karnival Pra-Universiti Ke-4 di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 27 Sept. - Daerah Kota Tinggi muncul juara Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah-sekolah Menengah peringkat negeri menewaskan pasukan Daerah Kulaijaya sempena Karnival Pelajar Pra-Universiti ke-4 di Dewan Seri, SMK Tun Habab di sini kelmarin.

Kejayaan itu membolehkan pasukan Kota Tinggi membawa pulang hadiah termasuk piala pendebat, piala iringan dan sijil penghargaan.

Lebih membanggakan seorang pendebatnya, Nuraishah Abdul Wahab, 18, dipilih sebagai pendebat terbaik pertandingan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Majlis Perhubungan Pengetua Tingkatan Enam Johor.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah (JPNJ), Abd. Aziz Redzuan. Turut hadir Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak.

Sementara itu, Nur Ashikin bersyukur dan gembira atas kejayaan tersebut kerana tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan tersebut.

Menurutnya, kejayaan pasukannya amat bermakna dan ia dicapai menerusi kerja keras, dedikasi dan semangat berpasukan yang teguh.

"Kami bertuah kerana sokongan guru-guru dan tunjuk ajar rakan bagi memantapkan persediaan pasukan untuk pertandingan ini," kata anak kelima daripada lapan beradik dari Kampung Gembut, Tanjung Sedeli, dekat sini.

Karnival dua hari itu bertujuan menggalakkan pelajar mengasah dan meningkatkan kemahiran bertutur, pengucapan awam dan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia (BM) dan bahasa Inggeris (BI) di samping melonjakkan keupayaan untuk melakukan kajian berkaitan isu semasa serta sukan.

Ia diharap dapat membentuk generasi muda mempunyai semangat berpasukan, berkeyakinan diri dan berdaya saing selain memupuk semangat juang yang tinggi dan mampu menghadapi cabaran hidup.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan melibatkan 192 peserta. Kategori Public Speaking dimenangi Jeremy Chiew V Jin dari Johor Bahru, manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Luar, Batu Pahat, Nurernan Ida Abd. Razak muncul johan pertandingan pengucapan awam.

Pertandingan Boling Lelaki dan Perempuan masing-masing dimenangi pasukan Daerah Kota Tinggi dan Batu Pahat, manakala Bola Petanque diraih Daerah Batu Pahat (lelaki) dan Pontian (perempuan).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: