PETALING JAYA: Saluran 8TV bakal menyiarkan Field Trip USA musim kedua yang akan menemui penonton bermula Rabu pukul 9.30 malam.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan NTV7, Airin Zainul, Field Trip USA adalah sebuah rancangan pengembaraan realiti yang wajib ditonton oleh semua golongan kerana ia memaparkan budaya dan tempat baru di Amerika Syarikat.
“Jika anda minat mengembara dan menerokai budaya serta tempat-tempat baru, ini adalah rancangan yang wajib anda tonton,” ujarnya.
Airin berkata, seramai 49 pelajar dari negara ini telah dibawa berkunjung ke Amerika Syarikat, Januari lalu tetapi hanya sembilan remaja sahaja akan dipaparkan aktiviti mereka dalam program ini.
Ia bakal memaparkan cara mereka mengadaptasi dan menyesuaikan diri apabila tinggal di tempat asing dengan persekitaran, budaya, makanan dan cuaca berbeza.
“Meneroka bumi Amerika menerusi mata pelajar-pelajar muda ini pasti menarik perhatian penonton dengan perkara-perkara yang cukup menyeronokkan.
"Pelajar yang terpilih dalam rancangan ini akan berkongsi pengembaraan dan pengalaman mereka di negara asing.
"Banyak proses yang mereka perlu lalui selama berada di sana yang pastinya membuat mereka lebih menghargai dan rindukan negara sendiri,” katanya.
Peserta program pertukaran pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini turut ditempatkan di kawasan berbeza-beza di negara itu bersama keluarga angkat masing-masing.
Field Trip USA musim terbaru ini juga dijangka lebih meriah dengan kehadiran Qushairi Razali yang juga dikenali sebagai Qi sebagai hos.
Qi akan melihat Amerika dari kaca mata dan fikiran sembilan orang pelajar ini.
Program realiti 30 minit ini akan bersiaran selama 10 minggu dan kemunculan musim kedua adalah bukti bahawa ia telah menarik minat penonton.
Field Trip USA pernah dicalonkan dalam beberapa anugerah antaranya Fresh TV Serie, Favourite TV Host selain berjaya memenangi Favourite TV Program dalam majlis Shout! Awards 2009.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: