|
DAHULU, dua orang remaja yang meminati drama Korea sering kali bergegas ke rumah. Tujuannya adalah untuk menonton drama Korea kesukaan mereka yang ke udara di kaca televisyen pada pukul 8.30 malam.
Manusia memang mampu merancang tetapi adakalanya perancangan itu tidak membuahkan hasil. Remaja tersebut, Atikah Jalil, 21, dan Nur Athirah Roslan, 19, kerap terlepas episod kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Bagaimanapun, pada akhir tahun 2010, Athirah diperkenalkan kepada sebuah laman web yang menayangkan bahan hiburan dari Korea Selatan. Pada kelajuan yang sangat pantas, seleksi drama terkini tersebut dapat ditonton tanpa tersekat-sekat.
“Sejak itu, maaduu.com menjadi laman web kegemaran saya dan kini saya tidak lagi perlu kelam-kabut untuk pulang ke rumah,” ujarnya kepada Kosmo!
Setiap kali menonton, Athirah akan menghabiskan masa secara purata tiga jam di hadapan komputer dan menyifatkan antaramuka (layout) maaduu.com sungguh mesra pelayar Internet.
Bagi Atikah pula, dia mampu menghabiskan satu tajuk drama bersiri yang mempunyai 16 episod dalam tempoh satu atau dua hari.
Dia turut sama berkongsi pendapat dengan Athirah bahawa maaduu.com sangat pantas dan boleh ditonton mengikut kesesuaian waktu pelayar.
“Paling penting, ia menyediakan sarikata dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Berbanding laman web drama Korea lain, penonton perlu meneka sendiri jalan cerita,” seloroh Atikah.
Tempoh 48 jam
Keistimewaan yang terdapat pada laman web kendalian Play TV Asia Sdn. Bhd. itu adalah kepantasan drama iaitu disiarkan dalam tempoh 48 jam selepas tayangannya di televisyen Korea Selatan.
Jadi, maaduu.com adalah saluran yang pertama di Asia yang menyiarkan drama-drama terkini dari stesen televisyen Korea, Korea Broadcasting System (KBS) dan Munhwa Broadcasting Corporation (MBC).
Mengulas lanjut mengenai kelewatan yang ‘cukup memuaskan’ itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dennis Lee, 44, berkata, ia disebabkan oleh masa yang diperlukan oleh pihak maaduu.com memproses fail drama melalui proses pemampatan fail, menyediakan sarikata sehinggalah ia dapat disiarkan di laman web itu.
“Teknologi yang kami gunakan membolehkan sesebuah drama itu ditonton dengan cepat tanpa tempoh buffer seperti laman YouTube atau laman-laman video lain,” katanya ketika ditemui di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.
Teknologi yang digelar Pure Streaming yang digunakan pengendali laman web tersebut membolehkan sesebuah video boleh ditonton dengan saiz paling kecil iaitu 300 kilobait per saat.
Dennis turut memberi jaminan kepada pengguna Internet jalur lebar 3G, bahawa mereka pasti tidak akan mengalami kesulitan menonton drama Korea di laman web tersebut.
“Kualiti gambar pula sama seperti penonton sedang menonton drama daripada cakera padat digital (DVD) dan ia juga boleh ditonton di televisyen jika mempunyai sambungan Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI),” terang Dennis.
Untuk menjadikan laman web maaduu.com lebih interaktif dan membolehkan pengunjung bersosial dengan penonton lain, ia dipautkan dengan laman sosial Facebook.
“Jadi, kepada penonton yang mempunyai akaun Facebok dan telah mengklik pada fanpage kami, mereka dapat berbual melalui ruangan komen sambil menonton,” ujar Dennis.
Dalam laman fanpage Facebook, seramai 1.3 juta orang telah menekan butang Like dan angka tersebut dijangka terus meningkat.
Mudah
Bagi pengunjung baharu laman web maaduu.com, anda hanya perlu mendaftar sebagai pengunjung secara percuma dan boleh terus menonton drama pilihan.
Bagaimanapun, sebelum pengunjung dapat menonton pelakon Korea kesukaan masing-masing, sebuah video komersial perlu ditonton tanpa boleh dipercepatkan.
Terang Pengurus bersama maaduu.com, Syed Yazrine Shahab, 44, ia mempunyai tujuan yang sama dengan medium media lain iaitu memberi pendapatan kepada pengendali laman web.
Sehingga kini, para peminat hiburan Korea dapat menonton drama-drama yang disiarkan pada waktu perdana sehingga 2,000 jam dan jumlah tersebut akan terus meningkat.
Tajuk-tajuk drama yang disiarkan pula bermula pada tahun 2001 iaitu zaman orang ramai mula mengenali drama Korea seperti Winter Sonata dan Autumn In My Heart.
Setiap drama yang disiarkan tidak ada sebarang potongan atau kerja-kerja suntingan. Penonton juga dapat menonton terus-menerus sehingga episod tamat.
Ujar Yazrine, laman web tidak tertakluk dengan undang-undang penapisan Filem Negara atau Finas tetapi atas dasar tanggungjawab, pihaknya akan memastikan setiap drama yang ditayangkan mendapat kelulusan pihak penapisan Korea untuk tontonan keluarga.
Kepada semua penonton drama Korea, drama-drama yang disiarkan dalam laman web tersebut adalah percuma dan sah di sisi undang-undang. Penayangannya di Malaysia mendapat pengesahan pihak penyiaran Korea Selatan.
Dapat ilham
Ceritanya bermula apabila kedua-dua sahabat sejak daripada kecil, Yazrine dan Dennis, mengunjungi sebuah festival filem di Hong Kong tahun lalu yang turut menyediakan peluang pemasaran filem.
Di sana, mereka merapati agensi tersebut dengan membawa bersama sebuah idea iaitu menonton drama Korea secara dalam talian dengan percuma.
“Hujah kami ialah kebanyakan bahan hiburan dalam media baharu (Internet) adalah menyalahi undang-undang tetapi dengan idea yang kami bentangkan, ia akan mengurangkan muat turun haram dan sekali gus dapat mengumpulkan para peminat hiburan Korea,” terang Yazrine yang berasal dari Klang.
Kini maaduu.com telah berjaya mengumpul penonton berdaftar sehingga lebih 700,000 orang dengan bilangan pendaftar paling tinggi dalam lingkungan umur 15 hingga 34 tahun.
“Pada bulan Jun lalu, laman web kami sudah boleh ditonton di Singapura dan banyak lagi perancangan akan dibuat seperti memperbanyakkan bahan hiburan dan mahu menembusi negara Asia Tenggara lain,” tambah Yazrine.
Selain itu, pengendali maaduu.com kini dalam perancangan dengan pihak penerbit filem Korea, SJ Entertainment bagi membolehkan filem-filem mereka ditayangkan di laman web tersebut.
Rancangan bual bicara dan hiburan lain turut tersenarai dalam perancangan mereka untuk dijadikan antara bahan yang boleh dicapai di maaduu.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: